2. Pengerusi lajnah tanah dan pembangunan Wilayah parti Islam itu Mazlan Aliman berkata, pihaknya mendapat aduan terdapat peneroka yang hanya mendapat RM200 sahaja untuk tempoh tiga bulan.
3. "Jumlah ini terlalu rendah dan tidak masuk akal. Biasanya kalau 5 ekar tanah, boleh dapat keuntungan RM2,000 sebulan," katanya.
4. Felcra membayar dividen - pendapatan yang ditolak kos perladangan - kepada penerokanya empat kali setahun atau setiap tiga bulan.
5. Anggota jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, aduan yang sama diterima daripada enam negeri dengan kes yang paling banyak di Perak.
6. Jumlah peneroka yang akan tampil ke mahkamah bagi tujuan itu tidak didedahkan buat masa ini.
7. "Kita jangkakan saman itu akan dibuat selepas raya ini," katanya lagi.
'Koperasi tak daftar'
8. Menurut Mazlan, saman itu akan menjadikan kes Mohamad Ramli Sanji lawan Felcra yang menyaksikan peneroka di Perak itu menang dalam samannya dua minggu lalu.
9. Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Mazlan mendakwa masalah pengurusan Felda berpunca apabila peneroka tidak dimaklumkan jumlah pendapatan peribadi mereka.
10. "Peserta tidak tahu jumlah pendapatan mereka sebab dikira secara lump sum (dicampur semua sekali).
11. "Contohnya dia umum pendapatan (semua peneroka) RM200,000, tanpa memaklumkan mengikut tan (diperoleh peneroka)," kata Mazlan.
12. Beliau juga mengkritik pemberian kuasa yang besar kepada Koperasi Felcra bagi menjalankan urusan itu sehingga kuasanya didakwa "lebih besar daripada ibu pejabat Felcra" sendiri.
13. "Koperasi Felcra ini lagi pun tidak didaftar. Jadi ia tidak diaudit dan tidak ada siapa hendak semak," dakwanya sambil memberitahu fakta itu diketahui hasil maklumat yang diberitahu mahkamah dalam perbicaraan Mohamad Ramly.
14. Mazlan mengesyaki, kegagalan Felcra membayar dividen tinggi kepada peneroka ekoran pengurusannya yang didakwa membelanjakan wang secara tidak sepatutnya dan tidak hanya urusan berkaitan pengurusan ladang.
15. Perkara itu, dakwanya, termasuk perbelanjaan lawatan pegawai Felcra ke pelbagai tempat dan acara sambutan pihak kenamaan yang memakan belanja besar.
sumber: www.malaysiakini.com
Ulasan:
Nampaknya Felcra mula memasuki era yang lebih sukar kerana terpaksa menghadapi cabaran daripada generasi kedua iaitu anak-anak peserta yang lebih berilmu.
Walau pun ada beberapa perkara yang diutarakan oleh Pas tidak berpaksi kepada kenyataan yang sebenar tetapi terdapat lebih banyak fakta yang mempunyai merit untuk diberi pertimbangan dari sudut undang-undang seperti perisytiharan pendapatan dan kutipan hasil ladang yang tidak diisytiharkan. Kos sebenar pembangunan ladang dan lot rumah, jadual pembayaran balik yang tidak pernah dibentangkan dan banyak lagi isu-isu yang melingkari hubungan antara peserta dengan Felcra.
Penulis sendiri pernah membangkitkan isu ini dalam entri terdahulu bertujuan membantu Felcra mengesan masaalah akar umbi dikalangan peserta tetapi Felcra mengambil pendekatan negatif dengan bertindak menyiasat siapa penulis dengan cara cuba menekan Sdri Nurulhuda Mat Kilau seperti yang diluahkan oleh beliau melalui facebook Felcra Sri Makmur sehingga menggelabah kawan tu dan menghantar mesej nak saman penulis jika tidak mengeluarkan identitinya daripada blog ini. (Tujuan penulis meletak biodatanya yang diambil daripada laman alumni sebuah IPTA ialah kerana menghargai beliau adalah salah seorang anak Felcra Sri Makmur yang berjaya dalam bidang akedemik. Bagaimana pun sebagai menghormati kehendak beliau, biodatanya telah penulis hapuskan).
Sepatutnya Felcra mengutip maklumat yang penulis dedahkan dan melihat isu itu bagi mencari penyelesaian.
Mulai sekarang, Felcra hendaklah lebih profesional dalam semua aspek. Jika selama ini Felcra mendabik dada mencanangkan Felcra mengamalkan sistem saham dalam mengurus dan mentadbir tanah-tanah peserta, maka semua aspek pengurusan tanah itu mestilah berpaksikan kepada sistem saham profesional dengan setiap ladang disediakan penyata kewangan tahunan yang meliputi perincian setiap sen pendapatan dan perbelanjaan, sepertimana amalan syarikat-syarikat baik besar mahu pun kecil.
Felcra mesti berubah minda. Bila ada rungutan atau aduan terhadap sesuatu perkara, jangan sibuk mencari siapa yang mendedahkan isu tersebut, tetapi selidiklah ke akar umbi kenapa isu itu timbul dan cari jalan penyelesaian.
Nampaknya mulai sekarang, masa tidak akan cukup bagi Felcra untuk menghadapi kes-kes yang dibawa ke mahkamah.
Sehingga ini semua kes mahkamah yang dihadapi Felcra, setakat yang diketahui, semuanya kalah seperti di Perlis, kes pertama di Teratak Batu Kelantan dan kini berhadapan dengan kes kedua, di Johor dan terbaru di Perak.
Diharap pengurusan tertinggi Felcra mengambil iktibar daripada beberapa kes yang telah dilalui bagi membaikpulih sistem urustadbir tanah-tanah pesertanya.
Sekarang bukan lagi masa mendodoi lagu-lagu merdu untuk mengaburkan sesuatu kerana generasi pertama peserta Felcra telah beransur-ansur diganti oleh generasi yang lebih berilmu bahkan setaraf atau lebih, berbanding kakitangan Felcra.