Kerajaan negeri Terengganu meluluskan tanah seluas 40 hektar untuk tapak rumah  generasi kedua Felcra Bukit Kapah, di Hulu Terengganu bagi mengelak mereka berhijrah ke tempat lain.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata antara sebab generasi kedua Felcra itu berhijrah ke merata tempat kerana tiada tempat khusus bagi mereka untuk mendirikan rumah.

"Kita harap generasi kedua Felcra akan terus kekal berada di situ untuk terus mengusahakan tanah keluarga mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah yang dimajukan oleh Felcra daerah Hulu Terengganu hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Peserta Felcra Mohd Fauzi Mohd Tahir.

Ahmad berkata di kawasan Felcra Bukit Kapah terdapat banyak kawasan atau tanah-tanah kosong yang tidak diusahakan untuk dijadikan tapak rumah generasi kedua Felcra di situ.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata Felcra akan mengagihkan dividen kepada 90,000 peserta Felcra di seluruh negara termasuk di Terengganu sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah dividen tersebut.

Beliau berkata pada tahun lepas Felcra mengeluarkan dividen RM837 juta termasuk RM54 juta di Terengganu.

Mohd Fauzi berkata di Terengganu setakat ini Felcra telah memajukan kawasan seluas 21,000 hektar melibatkan 5,900 peserta.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen dan yang terbaru meluluskan tanah seluas 120 hektar di Bukit Tuman, di Hulu Terengganu untuk dimajukan oleh Felcra tahun lepas.

Pada majlis tersebut, 653 peserta daripada sembilan projek Felcra di Hulu Terengganu menerima hak milik tanah masing-masing daripada Ahmad.

- Bernama