Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Thursday, June 24, 2010

Sungai Duri Plantations Sdn Bhd Memajukan Kawasan Tanaman Padi di Mambang

Misi Pekan jelapang padi

CETEK pengalaman di bidang pertanian bukan penghalang kepada Datuk Normala A Kahar, 47, untuk terbabit dalam projek tanaman padi secara komersial seluas 60.7 hektar di Kampung Mambang, Pekan, Pahang.

Selaku Pengarah Urusan Syarikat Sungai Duri Plantations Sdn Bhd, dia kini memikul tanggungjawab memulihkan kawasan sawah terbiar di Pahang khususnya di Pekan menggunakan teknologi Korea.

Minat dalam bidang pertanian menjadi antara pendorong kuat kepadanya menceburi projek tanaman padi secara komersial walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Menerusi projek percubaan bermula Januari lalu, ia kini sudah mengeluarkan hasil yang memuaskan seperti dijangkakan iaitu kira-kira tujuh tan metrik sehektar.

"Selain memenuhi kehendak peribadi, projek ini juga antara usaha menambahkan lagi pengeluaran beras negara yang kini banyak bergantung kepada negara jiran seperti Thailand.

"Tanpa usaha menambah pengeluaran beras negara, kerajaan akan terus menerus mengimport beras dengan jumlah banyak setiap tahun," katanya yang sebelum ini terbabit dalam perniagaan hartanah.
Dia yang berasal dari Bentong, Pahang, berbangga apabila percubaan pertama mengeluarkan padi dengan jumlah banyak dibuktikan kepada pelbagai pihak yang sebelum ini kurang yakin dengan perancangannya.

Menurutnya, dia menggunakan lima pakar termasuk seorang doktor dari Korea bagi menjayakan projek percubaan ini malah pengalaman yang dimiliki ternyata memberi kejayaan membanggakan.

Sumber : www.hmetro.com.my

read more...

Empat peserta Felcra Sri Makmur tercicir terima saham

Seramai empat peserta termasuk seorang warga emas yang menghidap penyakit strok sejak 13 tahun menerima saham Felcra Sri Makmur yang diserahkan dalam majlis ringkas di sini.

Ahli Dewan Undangan Pulau Manis, Khairuddin Mahmud berkata, empat penerima berkenaan adalah peserta yang layak menerima saham tetapi tercicir daripada senarai.

Menurutnya, masalah itu diselesaikan sepenuhnya walaupun mereka ini tercicir daripada kumpulan pertama yang telah pun mendapat saham Felcra sejak beberapa tahun lalu.

“Setiap peserta yang terbabit diberi kawasan tanah seluas 1.6 hektar setiap seorang oleh Kerajaan Negeri dan ia dikelolakan oleh Felcra Sri Makmur Berhad yang bertanggungjawab terhadap urusan berkaitan.

“Penyerahan saham ini lewat diadakan bukan disengajakan tetapi ekoran peserta sama ada isteri atau suaminya meninggal dunia sebelum majlis menandatangani perjanjian penyerahan saham dilakukan,” katanya ketika ditemui di sini.

Khairuddin berkata, sumbangan yang diberikan membuktikan pihak pengurusan berkaitan tidak lepas tangan apabila ada peserta yang tercicir daripada senarai.

“Kita berusaha untuk menyelesaikan masalah peserta yang masih tidak menerima saham Felcra dan segala urusan berkaitan diselesaikan secepat mungkin bagi mengelak peserta yang layak daripada menerima tekanan hidup.

“Saya berharap sumbangan yang diterima menjadi pendorong semangat kepada penerima untuk terus menyokong usaha kerajaan membantu rakyat selain menggunakannya untuk kebaikan diri dan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau turut menasihati penerima saham bijak menggunakan wang yang diterima bagi kegunaan seperti modal permulaan dalam mengembangkan prospek perniagaan kecil-kecil yang dijalankan.

Sumber : Sinar Harian
read more...

Peserta Felcra Sri Makmur kerugian RM12,000 disamun enam lelaki

2010/06/11
KUANTAN: Seorang lelaki terkejut selepas suis lampu rumahnya di Felcra Sri Makmur, Pekan yang disangka dibuka ibunya rupanya adalah perbuatan sekumpulan enam penyamun. Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian pada 5.30 pagi semalam itu, mangsa berusia 38 tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi suis lampu berkenaan.

"Mangsa hanya membiarkan sahaja kerana menyangka itu adalah ibunya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, mangsa tersentak apabila melihat seorang lelaki yang tidak dikenali berada di hadapannya dengan bersenjatakan sebilah pedang. Katanya, tangan mangsa kemudiannya diikat sebelum dibawa ke bilik ibunya yang kemudian turut diikat.

Noor Asyikin berkata, ketika suspek mengeledah rumah tersebut, ibu mangsa berusia 62 tahun menjerit dan membuat bising sebelum mulutnya ditutup dengan kain oleh salah seorang daripada lelaki terbabit.

Kesemua mereka kemudian melarikan barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa bernilai kira-kira RM12,000, katanya.

Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek masuk ke dalam rumah melalui tingkap di bahagian belakang rumah yang sedang dalam proses pengubahsuaian.

-Bernama

-Penjelasan Penulis

Mangsa samun diatas itu ialah Halimah binti Said atau dikenali sebagai Ngah Lima, balu kepada arwah Teh Lazam. Rumahnya adalah bersebelahan dengan rumah Pak Itam Mat Yunus, bekas Tok Empat Felcra Sri Makmur.
read more...

Wednesday, June 23, 2010

CADANGAN PEMBANGUNAN PERUMAHAN JENIS SESEBUAH DI KAWASAN FELCRA SRI MAKMUR

PENILAIAN AWAL KESAN KEPADA ALAM SEKITAR
CADANGAN PEMBANGUNAN PERUMAHAN JENIS SESEBUAH BERSERTA KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR DAN AWAM DI KAWASAN FELCRA SRI MAKMUR, MUKIM PENYOR, DAERAH PEKAN, PAHANG DARUL MAKMUR OLEH FELCRA BHD



RINGKASAN EKSEKUTIF

Pengenalan

Felcra Bhd telah melantik Masa Environmental Consultant Sdn Bhd sebagai perunding EIA untuk Cadangan Perumahan Jenis Sesebuah Berserta Kemudahan Infrastruktur dan Awam di Kawasan Felcra Sri Makmur, Mukim Penyor, Daerah Pekan, Pahang Darul Makmur yang berkeluasan 127.22 ekar (51.5 ha).

Tapak projek terletak bersebelahan dengan kawasan perumahan sediada Felcra Sri Makmur. Kajian EIA ini disediakan untuk memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JAS Negeri
Pahang mengikut peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling. Laporan Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar (PEIA) ini disediakan berdasarkan kepada item 7 Schedule of Environmental Quality (Prescribed Activities) (Environmental Impact Assessment) Order, 1987 yang mensyaratkan mana-mana pembangunan perumahan yang merangkumi keluasan 50 hektar dan ke atas perlu menjalankan kajian EIA.

Penilaian Kesan Alam Sekitar ini telah dijalankan untuk mengenalpasti keadaan asal alarn sekitar di tapak projek serta kawasan yang berhampiran. Seterusnya menilai kesan-kesan ke atas alam sekitar yang mungkin timbul akibat daripada aktiviti pembinaan dan operasi projek serta mencadangkan langkah-langkah pengawalan dan penebatan kesan tersebut.

Latar Belakang Projek
Felcra Bhd Bercadang membangunkan kawasan perumahan baru bagi generasi kedua Felcra Sri Makmur yang melibatkan pembinaan 462 unit kediaman, 12 unit gerai dan lain-lain kemudahan awam.

Kawasan pembangunan ini akan dimajukan di empat kawasan yang dikenalpasti sebagai Sektor 1 hingga Sektor 4.

Keadaan Alam Sekitar Sediada

Guna Tanah
Kawasan tapak projek terdiri daripada kawasan tanaman kelapa sawit (rujuk Rajah 3.1 dan Foto 3.1) dan sedikit semak samun. Disekitar tapak projek terdapat perumahan sediada Felcra Sri Makmur , kawasan pertanian dan rezab pembangunan akan datang. Di sekitar kawasan perumahan sediada ini terdapat kemudahan-kemudahan awam seperti masjid, dewan, sekolah
rendah, stesen minyak, mini market dan lain-lain kemudahan.

Laluan masuk utama ke Tapak Projek ialah melalui jalan Kuantan- Maran dan seterusnya melalui jalan ke Kampung Belimbing/Felcra Sri Makmur. Akses ke tapak projek pula adalah melalui jalan ladang dan jalan-jalan perkampungan Felcra Sri Makmur sediada.

Topografi
Tapak projek terletak di kawasan yang berbukit dan beralun sederhana. Rajah 3.3
menunjukkan pelan topografi bagi tapak projek.
Bagi Tapak Sektor 1, topografinya sedikit berbukit dengan kawasan tinggi berada
pada aras 53.3 meter dan mendatar ke kawasan rendah di timur tapak pada aras 30
meter (kawasan paya). Sektor 2 dan 3 berada pada kawasan rendah dan terdapat
juga kawasan yang berpontensi banjir (di bawah 30 m). Sektor 4 pula, sedikit berbukit
dan bercerun sederhana.

Saliran
Sungai utama di sekitar tapak projek ialah Sg. Lengkor. Ianya mengalir daripada
utara tapak projek seterusnya ke Sg. Pahang (3.5 km hilir tapak projek) di bahagian
selatan dan terus ke Laut Cina Selatan di bandar Pekan (Rajah 3.5). Di bahagian
Tapak Sektor 3 terdapat Sg. Pasir yang merupakan anak Sg. Lengkor. Tiada takat
pengambilan air di sepanjang Sg. Lengkor.

Kualiti Air, Udara dan Bunyi
Analisis kualiti air telah dijalankan dengan mengambil sampel air Sg. Lengkor di
sekitar tapak projek dan juga Sg. Pahang di bahagian hilir tapak projek. Sebanyak 6
stesen kualiti air telah dikenalpasti seperti di Rajah 3.6.
Pengiraan Index Kualiti Air-JAS (DOE-WQI) menunjukkan kesemua sampel air sekitar
tapak projek berada dalam Kelas II ( bersih). Purata WQI bagi Sg. Lengkor ialah 85.3,
manakala purata WQI Sg. Pahang ialah 80.6.

Nilai TSP di stesen kualiti udara berada pada paras 29 ug/m3. Nilai ini adalah sesuai
untuk persekitaran luar bandar dan dibawah piawaian JAS (260 ug/m3).
Secara amnya paras bunyi di tapak projek dan sekitarnya berada diantara 50.5
dB(A) – 52.9 dB(A). Paras bunyi ini adalah dibawah piawaian JAS untuk paras bunyi
luar bandar di waktu siang (55 dB(A).

Kesan Alam Sekitar dan Langkah Pengawalan

Hakisan Tanah
Kesan:
Tanah yang terdedah atau yang tiada terdapat tumbuhan penutup bumi di
permukaannya akan menyebabkan masalah hakisan yang akan memberi kesan
terhadap kualiti air. Hakisan tanah mungkin berlaku selepas kerja pembersihan
tanah. Air larian permukaan boleh membawa mendapan yang mungkin memberi
kesan ke atas kawasan dan jalan raya yang berhampiran. Dalam keadaan yang
terburuk tanpa langkah pengawalan adalah dianggarkan kadar kehilangan tanah
sebanyak 550 tan/ha/tahun. Kadar hakisan ini boleh dikurangkan dengan
langkah-langkah pengawalan hakisan tanah seperti berikut.

Langkah Pengawalan:

• Pemaju perlu menyediakan Pelan Kawalan Hakisan dan Pemendakan (ESCP)
dan sistem perparitan yang mencukupi.
• Amalan `Best Management Practises (BMPs)’ yang akan digunapakai dalam
mengurangkan kesan hakisan dan kelodakan seperti di Jadual 5.2.
Jadual 5.2 : Ringkasan `Best Management Practises ’ (BMPs) bagi Mengawal
Hakisan dan Sedimen

Saliran
Kesan:
Penukaran gunatanah daripada pertanian kepada perumahan akan meningkatkan
kadar air larian permukaan terutama semasa kerja-kerja pembesihan tapak.
Langkah Pengawalan:
• Cadagan Pelan Sistem Saliran bagi tapak projek perlulah dikemukakan
kepada JPS Pahang. Cadangan sistem saliran hendaklah menggunakan
Garis Panduan Saliran Mesra Alam Malaysia (Urban Stormwater Management
For Malaysia).
• Penyediaan zon penampan atau rizab sungai selebar 10 m ke 20 m di
sepanjang Sg. Lengkor
• Pembinaan kolam takungan yang juga bertindak sebagai perangkap lumpur
semasa kerja-kerja pembersihan tapak. Kolam takungan ini bertindak sebagai
alat kawalan banjir, di mana ia akan mengumpul air larian permukaan
semasa hujan lebat dan menjadikan aliran dikawasan hilir kepada aliran asal
sebelum kerja-kerja pembersihan tapak.
• Penyediaan sistem saliran yang efektif.
• Rumput/tanaman penutup bumi yang ditanam akan dikekalkan yang juga
bertindak sebagai peyerap air larian permukaan. Air larian permukaan akan
meresap di dalam tumbuhan penutup bumi ini seterusnya meresap ke dalam
tanah sebagai air bawah tanah. Ini dapat mengurangkan kesan
peningkatan aliran puncak di kawasan hilir.

Pencemaran Udara
Kesan:
Operasi kerja tanah akan menjana debu daripada aktiviti pembersihan tanah dan
pengangkutan.

Langkah Pengawalan:
• Penggunaan lori penyembur air untuk membasahkan permukaan tanah di
dalam kawasan projek dan juga kawasan yang mernpunyai banyak
pergerakan kenderaan dan peralatan.
• Lori pengangkut yang keluar dari tapak projek perlu dicuci tayarnya
terlebih-dahulu untuk mengelak penjanaan kesan tanah ke luar tapak
projek. Takungan air (wash trough) perlu disediakan di pintu keluar/masuk
tapak projek untuk tujuan ini.

Pencemaran Air
Kesan:
Air larian permukaan yang membawa mendapan, lepasan bahan cemar minyak
dan gris dari kenderaan berat boleh mempengaruhi kualiti air di kawasan yang
berhampiran semasa peringkat pembinaan projek. Pelepasan air kumbahan
domestik dari perumahan yang siap didiami pula dijangka akan menurunkan kualiti
air Sg. Lengkor.

Langkah Pengawalan:
• Pemaju disarankan menyediakan sistern perparitan dan
perangkap-mendapan di bahagian tanah rendah di tapak projek.
• Penggunaan rawatan kumbahan yang terkini seperti sistem rawatan air sisa
mekanikal berpusat bagi memastikan efluent yang keluar daripada logi
pengolahan kumbahan (LPK) mencapai standard A sepertimana yang telah
ditetapkan oleh JAS.

Pencemaran Bunyi
Kesan:
Bunyi bising juga boleh terhasil akibat dari operasi di tapak projek melalui
aktiviti-aktiviti seperti pegerakan kenderaan berat semasa kerja kerja-kerja tanah
yang melibatkan pembersihan tapak, pemotongan dan penambakan tanah. Aktiviti
kerja tanah boleh menghasilkan kadar bunyi setinggi 80 dB(A), dan akan
berkurangan mengikut jarak iaitu kurang dari 55 dB(A) pada jarak 120 m. Penduduk
di sempandan tapak projek akan menerima kesan bunyi bising terutama semasa

kerja-kerja tanah.
Langkah Pengawalan:
• Penjanaan bunyi bising boleh dikawal atau dikurangkan dengan
menghadkan waktu berkerja pada waktu siang sahaja.
• Selain dari itu, lori yang keluar dan masuk ke tapak projek tersebut juga perlu
ditetapkan had kelajuan yang sesuai.

Sisa Pepejal
Kesan:
Sisa pepejal meliputi sisa biomas semasa pembersihan tapak, sisa-sisa bahan binaan,
sampah sarap, juga sisa-sisa terjadual. Sisa-sisa ini jika tidak dilupuskan dengan
sempurna akan mencemarkan kualiti air, tanah dan memburukkan pandangan.

Langkah Kawalan:
• Biomas akan dilupuskan di tapak projek.
• Buangan terjadual seperti minyak enjin dan gris terpakai perlu dilupuskan
mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan di dalam Peraturan-peraturan
Kuaiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.P.U(A) 139..

Kesan Lanjut dan EMP
Aktiviti pembinaan projek ini secara langsung dan tidak langsung akan menjejaskan
keadaan alam sekitar kawasan yang terlibat. Ini berlaku akibat dari pelbagai kerja
tanah dan operasi kawasan tersebut. Walaupun pelbagai langkah pengawalan
telah dan boleh dicadangkan, namun demikian beberapa kesan alam sekitar
terutama dari segi kualiti air akan tetap tertinggal. Sehubungan dengan itu, kajian ini
juga menyarankan beberapa Iangkah pengawasan alam sekitar yang perlu diambil oleh pihak pemaju. Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) ini melibatkan pemonitoran
kuaiti air, udara dan bunyi semasa peringkat pembinaan dan operasi.

Rumusan dan Kesimpulan

Adalah dijangkakan terdapat kesan ke atas alam sekitar pada setiap aktiviti projek.
Walaubagaimanapun, kesan ini akan dapat dikurangkan/diatasi dengan mengambil
langkah-langkah kawalan yang bersesuain selain mengamalkan pengurusan alam
sekitar yang berkesan. Di antara jangkaan kesan ketara ialah:
i) Kesan yang paling ketara ialah semasa peringkat pembersihan tanah
dan penyediaan tapak . Tanah yang dibersihkan tanpa apa-apa pokok
akan terdedah kepada hakisan dan pemendakan yang serius.
ii) Berdasarkan penggunaan USLE, adalah dijangkakan kadar hakisan akan
meningkat sehingga 550 tan/ha/thn sekiranya kesemua tapak dibersihkan
serentak dan dibiarkan gondol tanpa apa-apa langkah kawalan hakisan.
Walaubagaimanapun kesan hakisan ini boleh dikurangkan dengan
langkah-langkah kawalan seperti pembersihan mengikut peringkat dan
berjadual, perlaksanaan pelan ESCP, tanaman rumput/penutup bumi
dan penyediaan perangkap lumpur.
iii) Lain-lain kesan semasa penyediaan tapak adalah penurunan kualiti air,
kualiti udara, kebisingan dan peningkatan air larian permukaan.
iv) Jangkaan kesan ketara semasa peringat operasi adalah menurunan
kualiti air akibat daripada janaan air kumbahan dan juga pencemaran
sisa-sisa pepejal.
v) Kesan lanjut daripada projek ini dijangka melibatkan penurunan kualiti air Sg. Lengkor, kesan daripada janaan air sisa.
vi) Pengawasan kualiti air Sg. Lengkor dan pelepasan daripada kolam
perangkap lumpur perlulah dijalankan semasa peringkat pembinaan dan
operasi projek bagi parameter seperti pH, DO, COD, BOD & TSS, total Nitrogen dan Phosphorus.

Cadangan pembangunan projek ini jika diluluskan akan dapat membantu dalam
mempertingkatkan penawaran perumahan di kawasan berkenaan. Malahan ianya
juga boleh memenuhi permintaan terhadap perumahan yang kini amat diperlukan
oleh generasi kedua penduduk Felcra Sri Makmur.

Sebagai rumusan, pembangunan tapak projek ini mengikut kajian Kesan Penilaian
Awal Alam Sekitar yang telah dijalankan memberikan kesan yang minima kepada
alam seikitar sekiranya pihak pemaju mematuhi dan menjalankan langkah-langkah
pengawalan yang telah dicadangkan dengan sempurna.
read more...

Koperasi Peserta Felcra Sri Makmur Menaiktaraf Stesyen Minyak

Setelah ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu, Koperasi Peserta Felcra Sri makmur berjaya melangkah kehadapan dengan menaiktarafkan stesen minyaknya. Dengan kerjasama syarikat Smart, rupabentuk stesen minyak milik koperasi ini telah setanding dengan setesen minyak yang lain dan menjadi serba lengkap dengan kemudahan asas yang sepatutnya seperti pam angin, tandas dan peruncitan.

Tahniah kepada ALP dan tenaga penggeraknya.
read more...

Contect

Bagi menghantar artikel atau sebarang info, sila gunakan email berikut:

kancil3@hotmail.com
read more...

Pembangunan Awal Felcra Sri Makmur

Pada masa ini Kampung Felcra Sri Makmur terdiri dari komponen Felcra Sri Makmur Peringkat Satu, Peringkat 2 dan Perumahan Banjir. Semua peserta ketiga-tiga komponen ini merupakan peserta rancangan tanah Felcra Sri Makmur.

Setiap satu ketua isi rumah diperuntukkan tanah ladang seluas lapan ekar dan satu lot tapak beserta rumah. Bagi peserta peringkat satu dan peserta perumahan banjir, diberikan tambahan satu lot tanah dusun seluas 0.7 ekar yang sedia ditanam dengan tanaman cempedak dan rambutan.

Suatu perkara yang boleh ditakrifkan sebagai anomali dalam perlaksanaan projek rancangan tanah ini ialah mengenai status peserta perumahan banjir. Pada peringkat awal penempatan peserta perumahan banjir ini, mereka tidak diiktiraf sebagai peserta rancangan tanah Felcra Sri Makmur. Semua peserta hanya diberi tanah lot rumah berserta rumah dan tanah lot dusun seluas 0.7 ekar sahaja.
Berbagai perbincangan, rayuan dan rundingan telah diusahakan oleh beberapa individu samada dibawah naungan Umno cawangan atau secara berkelompok telah dijalankan sejak tahun 1972 hinggalah tahun 1980han namun usaha mereka itu tidak berjaya.

Tenaga penggerak utama yang memperjuangkan nasib peserta perumahan banjir ini diketuai oleh Tuan Haji Mahussin bin Mat Taib, Abdul Majid bin Ngah, Ustaz Ab Latif bin Kechik dan beberapa ahli jawatan kuasa yang lain. Mereka memohon semua peserta perumahan banjir diserapkan sebagai peserta bagi peringkat kedua. Namun usaha mereka itu gagal dimana pihak kerajaan negeri Pahang memilih pemohon baru daripada sekitar daerah Pekan untuk mengisi kekosongan lot-lot di peringkat kedua.

Tindakan kerajaan negeri Pahang dilihat sebagai sangat tidak adil bagi peserta perumahan banjir. Mereka mengemukan alasan kenapakah kerajaan negeri mengabaikan nasib mereka sedangkan mereka semua telah berhijrah bersama-sama dengan peserta peringkat satu pada tahun 1972 lagi namun mereka tidak langsung diberi pertimbangan untuk diserapkan sebagai peserta Felcra Sri makmur. Mereka telah meninggalkan kampung halaman untuk berpindah ke rancangan ini tetapi hanya diberikan satu lot rumah dan hanya 0.7 ekar tanah dusun sahaja. Semua rumah lama dikampung telah pun dibongkar dan dipindahkan ke Felcra Sri Makmur.

Namun dengan hanya tanah dusun seluas tiga suku ekar adalah suatu yang tidak munasabah untuk bergantung hidup sepanjang hayat.

Jawatankuasa berkenaan terus membuat desakan kepada menteri besar negeri Pahang yang silih berganti daripada zaman Datuk Muhamad Jusoh, Dato' Haji Rahim bin Abu Bakar, Dato' Hj Abdul Rashid Bin Hj Abdul Rahman, Dato' Sri Hj Mohd. Najib Bin Tun Hj Abdul Razak dan Tan Sri Haji Mohd. Khalil bin Yaakob.

Sehingalah di era Tan Sri Khalil Yaakob, barulah kerajaan Negeri Pahang menerima desakan kumpulan Tuan haji Mahussin Bin Mat taib dan rakan-rakannya supaya semua peserta asal perumahan banjir diserapkan sebagai peserta rancangan tanah Felcra Sri Makmur.

Sebenarnya jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tuan Haji Mahussin telah mengambila masa hampir 15 tahun berjuang menuntut hak yang sama dengan peserta peringkat satu dan dua. Selepas lebih 15 tahun berpindah, barulah kesemua peserta asal perumahan banjir diiktiraf oleh
kerajaan Negeri Pahang, sebagai peserta Felcra.

Namun demikian perjuangan mereka sebenarnya masih belum selesai dimana lot tanah dusun yang sebelum ini diwar-warkan diberikan kepada peserta peringkat satu dan perumahan banjir sebenarnya belum pun disahkan secara hitam putih oleh kerajaan negeri Pahang sebagai hak milik mereka.

Beberapa rayuan, desakan dan perbincangan telah diadakan dengan pehakberkuasa kerajaan Negeri Pahang, termasuk mengemukakan isu ini kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak pada 30hb. Jun 2009, juga masih belum menampakkan sebarang perkembangan positif.

Peserta Felcra Sri Makmur Peringkat satu dan Perumahan banjir masih lagi menunggu janji kerajaan Negeri Pahang yang belum ditunaikan sejak tahun 1972, iaitu janji yang ditunggu sejak 38 tahun yang lalu.

Sungguh pun hampir 70 peratus daripada peserta asal telah pun meninggal dunia, namun yang masih ada dan waris-waris masih lagi menunggu janji dikotakan.
read more...

Tuesday, June 22, 2010

Nama Asal Felcra Sri Makmur

Nama asal Felcra Sri Makmur sebenarnya merujuk kepada nama sebatang anak sungai yang mengalir dari utara arah ke selatan untuk bercantum dengan Sungai Pahang.

Nama anak sungai tersebut ialah Sungai Lengkor. Pemilihan nama ladang ini dibuat oleh Ibu Pejabat Felcra Kuala Lumpur semasa proses mendapatkan peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan.

Semasa tender untuk kerja pembangunan ladang di iklankan di akhbar, ianya tercatat sebagai RKT Sungai Lengkor. Daripada tarikh ladang ini buka mulai tahun 1970 hingga tahun 1974, nama RKT Sungai Lengkor adalah nama rasmi ladang ini.

Sebenarnya kawasan ini asalnya adalah kampung Orang Asli. Tidak kurang daripada 30 keluarga Orang Asli mendiami Kampung Sungai Lengkor. Pada masa itu Tok Batin Orang Asli bernama Tok Batin Rejab. Beliau sebenarnya berasal daripada orang Melayu tetapi berkahwin dengan wanita Orang Asli.

Dengan sebab itulah perancangan asal memajukan RKT Sungai Lengkor adalah untuk menempatkan golongan ini, tetapi oleh kerana bencana banjir yang melanda lembangan Sungai Pahang pada tahun 1970 dan 1971, penempatan RKT Sungai Lengkor diperluaskan kepada penduduk orang Melayu juga.

Apabila pembinaan rumah di Peringkat Satu dan Perumahan Banjir dan juga bekalan air paip telah selesai, pengisian peserta untuk kedua-dua projek bermula pada tahun 1972.

Bagi pengisian Peringkat Satu, dijalankan secara temuduga yang melibatkan pihak Felcra bersama Pejabat Daerah Pekan, manakala bagi pengisian Perumahan banjir, ianya diberikan secara otomatik kepada semua penduduk Kampung Belimbing, Rambai Sebunga, Sungai Duri, Kampung Melayu dan Kampung Salong.

Setelah hampir semua rumah diduduki, sumber pendapatan utama penduduk ialah bekerja sebagai pekerja harian di ladang Felcra Peringkat 1 dan Peringkat 2. Pada masa itu, penggajian adalah berasaskan upah harian dengan kadar RM2.30 bagi kerja biasa seperti mencuci rumput, menebas, mencantas dahan getah dan sebagainya. Bagi kerja-kerja yang lebih berat seperti menyembur racun, kadar upah harian ialah RM3.50.

Pada Hari Tahun Cina tahun 1974, atas inisiatif Umno cawangan Kampung Sungai Lengkor yang di ketuai oleh Tuan haji Mahusin bin Mat Taib, telah berjaya menjemput Perdana Menteri kedua Malaysia iaitu Tun Abdul Razak bin Hussein mengadakan lawatan rasmi ke Kampung Sungai Lengkor.

Sambutan besar-besaran diberikan kepada beliau. Tun Razak tiba dengan helikopter tentera yang mendarat di tapak sekolah. Tempat acara sambutan ialah di halaman masjid lama. Di situlah Tun Abdul Razak memberikan ucapan beliau.

Semasa dipertengahan ucapan, beliau tiba-tiba mengajukan cadangan supaya nama kampung Sungai Lengkor ini ditukar kepada nama baru iaitu Kampung Sri Makmur. Beliau berpendapat nama Sri Makmur lebih sesuai kerana nama lama iaitu Sungai Lengkor kurang sedap didengar.

Ramai hadhirin tersentak dengan cadangan Tun Abdul Razak itu tetapi sangat bersetuju dengan nama baru itu. Maka bermula daripada hari itulah nama rasmi Felcra Sungai Lengkor ditukar kepada Felcra Sri Makmur .

Perkataan Sungai bagi pangkal nama Sungai Lengkor itu tidak mendatang makna yang luar biasa tetapi perkataan Lengkor itu yang kurang enak maksudnya. Tetapi yang sebenarnya sebutan lengkor di kawasan Pekan atau pahang tidak ada membawa apa-apa arti yang negatif. Sebaliknya lengkor, apabila disebut di kawasan Kuala Brang, Trengganu membawa maksud seorang yang bodoh, dungu atau lembam. Maka amat wajar sekali Tun Abdul Razak mencadangkan nama itu ditukar dengan nama yang lebih dinamik sifatnya.
read more...

Friday, June 18, 2010

Felcra Sri Makmur

Felcra Sri Makmur mula dibuka pada tahun 1970 oleh Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara atau nama ringkasnya FELCRA.

Pada permulaannya kawasan seluas kira-kira 1,200 ekar sebagai Peringkat Pertama telah ditanam dengan tanaman getah. Tahun berikutnya iaitu pada tahun 1971, Peringkat Kedua pula dibuka juga ditanam dengan getah.

Mengikut perancangan awal kerajaan negeri Pahang, rancangan tanah Felcra Sri Makmur ini akan menempatkan kaum Orang Asli sebagai pesertanya. Ia bertujuan untuk menempatkan semula Orang Asli dalam satu kawasan penempatan moden supaya segala bentuk bantuan mudah disalurkan.

Namun demikian, pada tahun 1970 satu bencana banjir yang besar telah melanda keseluruhan lembangan Sungai Pahang daripada hulu hingga ke kawasan muara. Kampung-kampung di pinggir Sungai Pahang seperti Kampung Melayu, Kampung Belimbing, Kampung Rambai Sebunga, Kampung Sungai Duri dan kampung Salong juga turut dilanda banjir besar itu.

Tahun berikutnya iaitu 1971 sekali lagi semua kampung ini dilanda banjir besar. Akibat daripada dua kali dilanda banjir yang mengakibatkan kemusnahan harta benda yang besar, kerajaan negeri pahang telah memutuyskan untuk memindahkan semua penduduk daripada kampung-kampung tersebut ke penempatan baru di Felcra Sri Makmur.

Perancangan asal Felcra hanya memperuntukan kira-kira seratus lebih unit rumah untuk Orang Asli, tetapi tidak dapat dipenuhkan oleh kaum itu atas sebab yang tidak dapat dielakkan, maka baki rumah yang ada diberikan kepada mangsa banjir daripada kampung berkenaan.

Namun demikian, jumlah rumah yang dapat disediakan oleh Felcra tidak cukup untuk menampung bilangan penduduk yang perlu dipindahkan, maka kerajaan negeri Pahang melalui agensinya, Lembaga Kemajuan Pertanian Negeri Pahang atau dikenali sebagai LKPP telah membina sejumlah hampir 200 unit rumah. Kawasan perumahan yang disediakan oleh LKPP dipanggil Rumah Banjir.

Saiz dan bentuk rumah yang disediakan oleh pehak LKPP dengan rumah yang dibena oleh Felcra adalah berbeza. Namun demikian luas tapaknya hampir sama ia-itu satu perempat ekar bagi satu lot.

Harga satu unit rumah banjir termasuk tanah tapak ialah RM2,500.00. Semua peserta dikehendakki membayar secara ansuran bulanan pada kadar RM25.00 sebulan. Satu kadar bayaran yang amat murah pada masa ini tetapi bukanlah murah pada masa itu.
read more...
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl