KUANTAN: Seorang lelaki terkejut selepas suis lampu rumahnya di Felcra Sri Makmur, Pekan yang disangka dibuka ibunya rupanya adalah perbuatan sekumpulan enam penyamun. Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian pada 5.30 pagi semalam itu, mangsa berusia 38 tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi suis lampu berkenaan.
"Mangsa hanya membiarkan sahaja kerana menyangka itu adalah ibunya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, mangsa tersentak apabila melihat seorang lelaki yang tidak dikenali berada di hadapannya dengan bersenjatakan sebilah pedang. Katanya, tangan mangsa kemudiannya diikat sebelum dibawa ke bilik ibunya yang kemudian turut diikat.
Noor Asyikin berkata, ketika suspek mengeledah rumah tersebut, ibu mangsa berusia 62 tahun menjerit dan membuat bising sebelum mulutnya ditutup dengan kain oleh salah seorang daripada lelaki terbabit.
Kesemua mereka kemudian melarikan barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa bernilai kira-kira RM12,000, katanya.
Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek masuk ke dalam rumah melalui tingkap di bahagian belakang rumah yang sedang dalam proses pengubahsuaian.
-Bernama
-Penjelasan PenulisMangsa samun diatas itu ialah Halimah binti Said atau dikenali sebagai Ngah Lima, balu kepada arwah Teh Lazam. Rumahnya adalah bersebelahan dengan rumah Pak Itam Mat Yunus, bekas Tok Empat Felcra Sri Makmur.