Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Tuesday, June 22, 2010

Nama Asal Felcra Sri Makmur

Nama asal Felcra Sri Makmur sebenarnya merujuk kepada nama sebatang anak sungai yang mengalir dari utara arah ke selatan untuk bercantum dengan Sungai Pahang.

Nama anak sungai tersebut ialah Sungai Lengkor. Pemilihan nama ladang ini dibuat oleh Ibu Pejabat Felcra Kuala Lumpur semasa proses mendapatkan peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan.

Semasa tender untuk kerja pembangunan ladang di iklankan di akhbar, ianya tercatat sebagai RKT Sungai Lengkor. Daripada tarikh ladang ini buka mulai tahun 1970 hingga tahun 1974, nama RKT Sungai Lengkor adalah nama rasmi ladang ini.

Sebenarnya kawasan ini asalnya adalah kampung Orang Asli. Tidak kurang daripada 30 keluarga Orang Asli mendiami Kampung Sungai Lengkor. Pada masa itu Tok Batin Orang Asli bernama Tok Batin Rejab. Beliau sebenarnya berasal daripada orang Melayu tetapi berkahwin dengan wanita Orang Asli.

Dengan sebab itulah perancangan asal memajukan RKT Sungai Lengkor adalah untuk menempatkan golongan ini, tetapi oleh kerana bencana banjir yang melanda lembangan Sungai Pahang pada tahun 1970 dan 1971, penempatan RKT Sungai Lengkor diperluaskan kepada penduduk orang Melayu juga.

Apabila pembinaan rumah di Peringkat Satu dan Perumahan Banjir dan juga bekalan air paip telah selesai, pengisian peserta untuk kedua-dua projek bermula pada tahun 1972.

Bagi pengisian Peringkat Satu, dijalankan secara temuduga yang melibatkan pihak Felcra bersama Pejabat Daerah Pekan, manakala bagi pengisian Perumahan banjir, ianya diberikan secara otomatik kepada semua penduduk Kampung Belimbing, Rambai Sebunga, Sungai Duri, Kampung Melayu dan Kampung Salong.

Setelah hampir semua rumah diduduki, sumber pendapatan utama penduduk ialah bekerja sebagai pekerja harian di ladang Felcra Peringkat 1 dan Peringkat 2. Pada masa itu, penggajian adalah berasaskan upah harian dengan kadar RM2.30 bagi kerja biasa seperti mencuci rumput, menebas, mencantas dahan getah dan sebagainya. Bagi kerja-kerja yang lebih berat seperti menyembur racun, kadar upah harian ialah RM3.50.

Pada Hari Tahun Cina tahun 1974, atas inisiatif Umno cawangan Kampung Sungai Lengkor yang di ketuai oleh Tuan haji Mahusin bin Mat Taib, telah berjaya menjemput Perdana Menteri kedua Malaysia iaitu Tun Abdul Razak bin Hussein mengadakan lawatan rasmi ke Kampung Sungai Lengkor.

Sambutan besar-besaran diberikan kepada beliau. Tun Razak tiba dengan helikopter tentera yang mendarat di tapak sekolah. Tempat acara sambutan ialah di halaman masjid lama. Di situlah Tun Abdul Razak memberikan ucapan beliau.

Semasa dipertengahan ucapan, beliau tiba-tiba mengajukan cadangan supaya nama kampung Sungai Lengkor ini ditukar kepada nama baru iaitu Kampung Sri Makmur. Beliau berpendapat nama Sri Makmur lebih sesuai kerana nama lama iaitu Sungai Lengkor kurang sedap didengar.

Ramai hadhirin tersentak dengan cadangan Tun Abdul Razak itu tetapi sangat bersetuju dengan nama baru itu. Maka bermula daripada hari itulah nama rasmi Felcra Sungai Lengkor ditukar kepada Felcra Sri Makmur .

Perkataan Sungai bagi pangkal nama Sungai Lengkor itu tidak mendatang makna yang luar biasa tetapi perkataan Lengkor itu yang kurang enak maksudnya. Tetapi yang sebenarnya sebutan lengkor di kawasan Pekan atau pahang tidak ada membawa apa-apa arti yang negatif. Sebaliknya lengkor, apabila disebut di kawasan Kuala Brang, Trengganu membawa maksud seorang yang bodoh, dungu atau lembam. Maka amat wajar sekali Tun Abdul Razak mencadangkan nama itu ditukar dengan nama yang lebih dinamik sifatnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl