Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Saturday, July 28, 2012

3 tempoh masa pajakan untuk pemilik tanah di Perlis

KANGAR - Pemohon tanah yang ditawarkan hak pemilikan oleh kerajaan negeri Perlis diberi peluang memilih tiga tempoh masa pajakan yang sesuai dengan kemampuan mereka, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.   

Beliau berkata kerajaan negeri memutuskan tempoh masa pajakan yang boleh dipilih ialah 30 tahun, 60 tahun dan paling lama 99 tahun.
  
Berucap pada majlis penyerahan surat kelulusan lesen menduduki sementara (TOL) kepada 129 pengusaha tanah di Kawasan Felcra Ulu Pauh Fasa 111 dan 1V di sini malam tadi, beliau berkata pemohon boleh memilih tempoh itu berdasarkan kesesuaian dan keupayaan mereka menjelaskan kos pajakan.
  
Md Isa berkata bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos pajakan, kerajaan negeri telah membuat keputusan supaya pemohon dibenar membuat bayaran secara ansuran selama 12 bulan.
  
Beliau berkata pemilik tanah pertanian yang berkongsi geran juga boleh memohon untuk mendapatkan geran berasingan tanpa mengira keluasan tanah.

Sementara itu, seorang pengusaha tanah di kawasan Felcra Ulu Pauh, Bahador Hassan, 60, gembira kerana tanah seluas lebih dua hektar yang diusahakan sejak 1969 telah diberi lesen menduduki sementara.
  
Menurutnya, ketika tanah itu diterokai, mereka dimasukkan di bawah rancangan tanah pinggir manakala pada 1984 tanah yang mereka usahakan diserap ke dalam Felcra untuk dimajukan dengan tanaman getah.
  
Bahador berkata tidak lama kemudian mereka memohon untuk keluar daripada Felcra untuk mengusahakan tanah itu secara individu dan harapan itu terlaksana apabila menerima lesen menduduki sementara itu.
  
"Selepas ini kami akan memohon hak pemilikan dan seboleh-bolehnya akan mendapatkan pajakan selama 99 tahun walaupun kosnya lebih tinggi," katanya. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl