JASIN 20 Jun - Seramai 106 peserta Felcra Bhd. kawasan Bukit Sedanan, di sini akhirnya menerima pemilikan tanah seluas 2.43 hektar seorang selepas mengusahakannya sejak 21 tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pemberian tanah itu adalah sebagai menghargai usaha dan pengorbanan peserta Felcra dalam membangunkan tanah dengan tanaman getah dan kelapa sawit seluas 247.75 hektar sejak tahun 1991.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada permintaan seluruh rakyat negeri ini terutamanya yang berkaitan dengan kebajikan dan keperluan awam.
"Hari ini merupakan hari yang bersejarah kepada penduduk Desa Mesra Perdana Felcra Bukit Sedanan kerana sejak sekian lama mengusahakan tanah, akhirnya memiliki tanah berkenaan," katanya pada majlis penyampaian sijil pengisytiharan pegangan tanah peserta Felcra kawasan itu, di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk R. Perumal.
Turut hadir, Pengurus Besar Felcra Bhd. Wilayah Tengah, Hazrinor Hisyam Harun, Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Peserta Felcra Bhd., Mohd. Fauzi Mohd. Tahir dan Pegawai Daerah dan Tanah Jasin, Roslan Eusoff.
Mohd. Ali berkata, dalam hal kebajikan, seluruh rakyat tidak kira kaum, agama dan latar belakang politik diberikan bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500 seorang dan pelbagai lagi bentuk bantuan meliputi aspek pendidikan, perniagaan dan golongan warga emas.