IPOH – Penduduk di sekitar kawasan Changkat Lada dan Seberang Perak khususnya peserta rancangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di sini, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan pentadbiran lembaga berkenaan khususnya berhubung masalah penempatan di situ.
Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), Felcra Gugusan Nasaruddin Belia, Yusop Mat berkata, sehingga ke hari ini, para peserta di kawasan berkenaan masih belum menerima geran atau hak milik rumah biarpun telah mendiami kawasan tersebut sejak sekian lama.
Menurutnya, peserta juga masih belum menerima sebarang surat perjanjian melainkan hanya geran sementara untuk mendiami di kawasan berkenaan.
“Rata-rata peserta adalah daripada generasi kedua di sini. Mereka juga telah membayar premium dan mengisi borang 5A.
“Mereka inilah yang sewajarnya diberi geran hak milik, bukannya rumah. Ada juga sebahagian daripada mereka tidak mampu membuat pinjaman dengan bank.
“Oleh itu, mereka ini sewajarnya ditawarkan rumah atau lot kediaman biarpun kebanyakan peserta khususnya daripada generasi kedua hanya mahukan lot sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Yusop berkata generasi kedua Felcra di sini, turut didapati tinggal di rumah-rumah tinggalan Felcra malah ada yang melibatkan lebih 20 tahun lamanya.
Katanya ada juga yang bertindak mengubahsuai atau membesarkan rumah berkenaan biarpun sehingga ke hari mereka masih belum menerima geran untuk tinggal di situ.
“Mereka ini juga berhak mendapat lot tapak tanah itu. Mereka tinggal di sini dah lama,” katanya.
Menurutnya, mereka menggesa pihak Felcra menyatakan secara terperinci segala kos perbelanjaan atau kos operasi sebenar yang dinyatakan pada penyata rasmi operasi ladang yang dilaksanakan .
Katanya, semua kos berkenaan masih belum jelas perlu diperincikan penjelasannya kepada peserta Felcra kerana semua pembayaran dibuat sekali gus sahaja.
“Sepatutnya, pada penyata berkenaan juga perlu dinyatakan berapa metrik tan produk dikeluarkan, kos operasi ladang dan sebagainya sebagai bukti terhadap pembayaran dividen yang dibuat.
“Kami juga telah menghantar memo ke Parlimen dan hasilnya pihak Felcra hanya mengeluarkan satu surat perjanjian sahaja berhubung perkara tersebut.
“Kami juga telah menyerahkan memo hingga ke Parlimen bagi memohon pihak Felcra menjelaskan secara terperinci segala hutang-hutang perbelanjaan kepada kami.
“Bagaimanapun, sehingga kini, mereka (Felcra) masih berdiam diri,” katanya.
sumber: sinarharian.com.my
Hujan Sangat Lebat Berterusan Dijangka Berlaku di Kelantan, Terengganu Dan
Pahang Sehingga 29 November Ini
-
*KUALA LUMPUR:* Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan,
Terengganu dan Pahang sehingga 29 November ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia ...
11 hours ago