Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Sunday, August 14, 2011

Mahkamah Tinggi arah tuntutan ganti rugi warga emas dibuat menerusi perbicaraan

Felcra gagal ketepi saman RM5.8j
Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my


2009-01-27

Mahkamah Tinggi arah tuntutan ganti rugi warga emas dibuat menerusi perbicaraan

KOTA BHARU : Mahkamah Tinggi di sini semalam, menolak permohonan Felcra Berhad (Felcra) mengetepikan saman ganti rugi berjumlah RM5.8 juta yang difailkan seorang wanita warga emas yang membuat tuntutan itu selepas mendakwa tanahnya diceroboh agensi terbabit sejak 29 tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Hussin membuat keputusan itu ketika prosiding dalam kamarnya, selepas memutuskan tuntutan itu bukan kes terang dan jelas, menyebabkan ia perlu diputuskan menerusi perbicaraan penuh dengan memanggil saksi penting memberi keterangan.

Sehubungan itu, beliau menetapkan 1 April depan sebagai tarikh pengurusan kes berkenaan, sebelum saksi dipanggil bagi perbicaraan penuh pada tarikah akan ditetapkan mahkamah.

Permohonan itu dibuat untuk mengetepikan saman dan penyata tuntutan yang difailkan warga emas yang juga suri rumah dari Kampung Mengkeleh, Pasir Puteh, Kalthum Mt Amin, 62.

Antara lain, defendan menyatakan plaintif adalah peserta projek Insitu Felcra di Teratak Batu, Pasir Puteh dan sebagai peserta, plaintif pernah menurunkan cap jari perjanjian projek terbabit melalui surat bertarikh 1 September 1983.

Plaintif juga didakwa menerima faedah kehilangan pendapatan RM26.90 sebulan bermula pada 1983, selain menurunkan cap jari sebagai bukti menerima satu lot dusun dan lot kediaman.

Bagaimanapun, dalam afidavit balas plaintif menerusi peguamnya, Nik Mohamad Anuar Badiruddeen, warga emas itu menafikan pernah menurunkan cap cari pada perjanjian itu dan mendakwa tidak pernah menerima faedah kehilangan pendapatan.

Ketika ditemui selepas prosiding semalam, Nik Mohamad Anuar berkata, plaintif turut menafikan pernah menerima satu lot dusun dan lot kediaman atau dalam erti kata lain tidak pernah menurunkan sebarang cap jari berhubung perjanjian itu.

Berikutan itu, katanya, kes terbabit mempunyai banyak isu yang perlu dibicarakan termasuk memanggil pakar bagi membuktikan cap jari itu adalah milik plaintif atau dipalsukan.

Pada 22 Januari 2008, Kalthum menfailkan saman dan menuntut ganti rugi RM5.8 juta daripada Felcra atas dakwaan menceroboh tanah miliknya yang sah tanpa kebenaran sejak 1979 membabitkan dua lot tanah seluas kira-kira 0.7 hektar.

Dalam tuntutan itu, Kalthum mendakwa defendan bertindak membina bangunan pejabat Felcra, dua unit rumah peneroka dan selebihnya dimajukan sebagai kebun tanaman koko dan berikutan pencerobohan itu, plaintif menuntut ganti rugi am mulai 1979 hingga 2007 sebanyak RM100,000 setahun berjumlah RM2.8 juta.

Plaintif turut menuntut ganti rugi am RM200,000 setahun bermula 2008 hingga penyelesaian sepenuhnya kes ini atau bakal ditaksirkan mahkamah nanti selain menuntut ganti rugi teladan RM3 juta dan memohon injuksi mandatori supaya defendan mengosongkan tanah itu dalam masa tiga bulan dari tarikh perintah sama dikeluarkan.

Plaintif juga memohon perintah injuksi mandatori supaya defendan merobohkan keseluruhan binaan kekal atas tanah itu dan membersihkan keseluruhan tanah dengan kos ditanggung defendan.

Selain itu, plaintif juga menuntut ganti rugi khas berjumlah RM30,000 serta faedah pada kadar lapan peratus di atas ganti rugi am dan ganti rugi teladan dari tarikh writ saman difailkan sehingga penyelesaian sepenuhnya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl