Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Thursday, September 29, 2011

SAMAN LAGI! 365 peneroka lagi saman Felda RM175 juta


TEMERLOH, 29 Sept: Seramai 365 orang lagi peneroka sekitar Jengka hari ini memfailkan saman terhadap Felda di Mahkamah Tinggi Temerloh menuntut ganti rugi sebanyak RM175 juta.

Peguam R. Sivarasa memberitahu ini merupakan saman yang kedua oleh peneroka daripada Gugusan Jengka di mana Jun lalu 711 melibatkan pemeroka dari 16 tanah rancangan Felda seluruh Jengka menuntut RM344 bagi jumlah kerugian selama 15 tahun (sejak 1995).

Katanya, asas tuntutan peneroka ialah Felda sudah melakukan penipuan dan pecah amanah dalam urusan kadar perahan gred (KPG) jualan hasil sawit.

“Hari ini peneroka menyaman Felda kerana menipu KPG pada purata 18.5% sedangkan bacaan kepada contoh hasil buah kelapa sawit yang dihantar kepada tiga makmal bebas menunjukkan kadarnya ialah 31.5% dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang daripada 27%. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5% yang digunakan oleh Felda.

“Ini bukan angka yang kecil. Dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu berdasarkan harga pada 2008, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM250 setan, jika 10 tan sebulan bermakna kira-kira RM30 ribu wang peneroka telah dirampas dalam setahun.

“Selain daripada itu peneroka mendakwa kilang Felda juga telah memotong buah sawit yang dianggap ‘buah busuk’ dengan kadar 200 kilogram sebulan tetapi tidak dikembalikan kepada mereka dan dijual kilang Felda,” katanya dalam sidang media selepas saman difailkan.

Tambah Sivarasa, ini membawa kerugian kepada peneroka dengan kadar RM560 x 2.4 atau RM1,344 setahun bagi setiap peneroka dan penipuan berleluasa selama dalam tempoh 15 tahun.

“Ini bermakna dalam tempoh yang sama (15 tahun), bagi kedua-dua penipuan, Felda telah menyebabkan kerugian sebanyak RM175 juta kepada peneroka. Dicampur dengan tuntutan 711 peneroka dulu (RM344 juta) bermakna peneroka Jengka saja telah menuntut RM520 daripada Felda,” tambahnya.

Turut hadir dua orang peguam lagi yang mewakili peneroka Lateefa Koya dan T. Kumar. Hadir sama Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda Pusat Suhaimi Said, Pemangku Ketua Perhubungan PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Ahli Dewan Undangan Kuala Semantan Syed Hamid Mohamad serta para peneroka.

Tambah Sivarasa, apa yang berlaku ini memangnya penipuan yang jelas serta pecah amanah daripada Felda sedangkan seperti disebut hakim dalam kes peneroka Kemahang saman Felda, bahawa Fela sepatutnya menjaga peneroka bukannya menipu.

Sementara itu Suhaimi Said dalam sidang media yang sama memberitahu sebelum ini peneroka dari Gugusan Bera juga telah menyaman Felda atas isu yang sama menjadikan sehingga kini kira-kira 1,700 peneroka telah berbuat demikian.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata, peneroka bukanlah berminat sangat untuk menyaman Felda kerana mereka lebih cenderung untuk berunding.

“Malangnya setiapa kali apabila wakil peneroka pergi ke ibu pejabat Felda, mereka akan dimaki hamun dituduh tidak mengenang budi. Sedangkan dalam kes ini setiap peneroka kerugian kira-kira RM700 ribu dalam kes KPG, TTS dan sebagainya.

“Jika Felda mengembalikan hak peneroka yang ditipu selam aini itu lebih baik kerana peneroka telah banyak berkorban untuk menyumbang kepada ekonomi negara dan keuntungan Felda selama ini,” ujarnya.



Ulasan:

Adoiaaaaa......bila nak habis drama saman menyaman neh.......
read more...

Saturday, September 24, 2011

Isu Tanah Kubur Orang Asli Bukit Empang Salong Berjaya Diselesaikan Dengan Baik.

Lanjutan isu berkaitan tanah kubur Orang Asli di Bukit Empang Salong yang menyebabkan tergendalanya kerja-kerja memajukan tanah terbiar milik penduduk Kampong Salong di Bukit Empang, beberapa siri rundingan telah diadakan oleh kedua-dua pehak bagi mencari jalan penyelesaian.

Pada 16 Mei 2011,satu majlis dialog telah diadakan diantara Orang Asli Kampong Tasek Chini dan pegawai-pegawai jabatan berkaitan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Pekan dan ketua/wakil jabatan berkenaan [baca di sini] sebagai langkah menyampaikan penerangan mengenai kedudukan sebenar isu tersebut.

Selepas majlis dialog berkenaan, beberapa perbincangan lagi telah diadakan. Pada 3 Jun 2011 perjumpaan susulan telah diadakan di hadapan YB ADUN Chini, di pejabat beliau. Dalam perbincangan ini pehak waris kepada simati yang disemadikan di Bukit Empang telah mengemukakan tuntutan yang disebut sebagai pampasan atau gantirugi diatas kerosakan tanda-tanda kubur yang berkenaan pada kadar RM10,000.00 (sepuluh ribu ringgit malaysia) bagi setiap satu kubur. Ini bermakna jumlah semua tuntutan bagi tujuh buah kubur ialah RM70,000.00 (tujuh puluh ribu ringgit malaysia).


YB ADUN Chini dan pehak pemaju tidak memberi apa-apa komen, pandangan atau ulasan terhadap amaun tuntutan itu. Bagaimana pun pemaju meminta pewaris simati supaya menanda lokasi kubur-kubur tersebut bagi memastikan di manakah kubur itu sebenarnya berada. Pemaju akan membuat semakan terhadap lokasi tersebut selepas 10 Jun 2011 bagi mengesahkan di mana loaksi sebenar yang telah ditanda samada ianya termasuk didalam tanah milik yang menyertai projek pemulihan tanah terbiar atau pun tidak.

Pada 26 Ogos 2011 satu insiden telah tercetus dimana sekumpulan kira-kira 20 - 30 Orang Asli telah mengambil tindakan menghalang laluan masuk ke projek dengan mengunci palang pagar jalan Risda yang digunakan oleh pemaju. Jalan ini digunakan oleh pemaju sebagai laluan utama masuk ke projek dengan kebenaran bertulis daripada Risda Plantation dengan membayar wang cagaran sebanyak RM5,000.00.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku keatas pekerjanya, pemaju telah menghubungi Ketua Polis Balai Polis Chini memohon agar dibuat pemantauan di tempat insiden sementara pemaju sampai ke tempat berkenaan. Dua orang anggota polis dengan satu kenderaan land rover, serta seorang anggota SB telah dihantar ke lokasi insiden.

Apabila pemaju sampai di lokasi didapati sekumpulan 20 hingga 30 Orang Asli termasuk wanita dan kanak-kanak berkumpul di hadapan palang jalan masuk. Palang itu telah pun berkunci dan mangganya telah ditukar. Sebelum ini pehak pengurusan Risda Plantation telah pun membekalkan satu anak kunci kepada pemaju bagi kegunaan pemaju dan pekerjanya menggunakan jalan tersebut.

Bersama-sama Orang Asli tersebut, turut hadhir juga Batin, Pengerusi dan Setiausaha JKK Kampong Tasek Chini.

Apabila ditanya kenapa jalan masuk itu dihalang daripada digunakan, mereka memaklumkan tindakan itu diambil bagi memaksa pemaju membayar tuntutan ganti rugi tanah kubur yang belum diselesaikan oleh pemaju.

Pemaju mempertikai tindakan mengunci palang itu kerana pemaju telah membayar kepada Risda Plantation sebanyak RM5,000.00 untuk menggunakan jalan tersebut dan tidak ada sesiapa selain Risda yang berhak menghalang pemaju menggunakan jalan itu.

Pemaju bertanya siapa yang mengarahkan mereka mengunci palang berkenaan. Dua orang daripada Orang Asli memaklumkan bahawa YB Adun Chini yang menyuruh mereka bertindak begitu. Percakapan dua orang itu dipertuturkan dihadapan Batin, Pengerusi JKK Kampong Tasek Chini dan dua orang anggota polis.

Setelah itu pemaju mencadangkan kepada Pengerusi JKK Kampong Tasek Chini dan Tok Batin satu perbincangan mesti diadakan segera bersama YB ADUN Chini dan dicadangkan tempat itu ialah di Balai Polis Chini bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu ini.

Kedua-dua mereka, pemaju dan anggota polis berkenaan bersetuju mengadakan perbincangan pada tengahri itu juga.

Kira-kira pukul 11.40 pagi Pengerusi JKK Kampong Tasek Chini, Tok Batin, pemaju termasuk Ketua kampung Salong hadhir. Walau bagaimana pun YB ADUN Chini tidak menghadhirkan dirinya.

Perbincangan diadakan dalam bilik mesyuarat Balai polis Chini dengan di pengerusikan oleh Ketua Balai. Keputusan perbincangan itu menyimpulkan bahawa semua tujuh pewaris simati bersetuju menandakan kubur waris masing-masing dengan seberapa segera kerana sehingga hari ini waris-waris didapati masih belum menanda kubur berkenaan; supaya penyelasaian dapat dibuat sebelum 30 Ogos 2011 dan pemaju bersetuju membayar saguhati kepada waris tujuh kubur berkenaan.

Pada petang hari itu juga pewaris si mati telah menandakan kubur waris masing-masing.

Pada 28 Ogos 2011 pukul 12.00 tengahari satu lagi perjumpaan diantara pemaju, Ketua Kampong Salong, wakil pemilik tanah Kampong Salong dengan Pengerusi JKK Kampong Tasek Chini, Batin dan tujuh Orang Asli yang mewakili waris masing-masing diadakan di bilik mesyuarat Balai Polis Chini. Turut hadhir ialah Ketua Balai Polis Chini dan anggota Cawangan Khas. YB ADUN Chini tidak hadhir.

Dalam perbincangan itu pemaju menawarkan saguhati bagi mengganti tanda kubur yang rosak pada kadar RM300.00 bagi satu kubur atas asas bahawa kubur bukanlah dirosakkan sepertimana yang dianggap selama ini. Sebaliknya hanya tanda diatas tanah kubur tersebut sahaja yang rosak. Kawasan kubur berkenaan tidak dikorek melebehi enam inci daripada permukaan asal tanah dan kejadian ini bukanlah disengajakan dengan cuai sebaliknya kerana tidak terdapat apa-apa tanda yang boleh menggambarkan disitu ada kubur.

Pehak waris meminta jumlah itu ditambah lagi dengan alasan tempat itu jauh daripada kampung mereka dan kesukaran membawa bahan-bahan yang akan digunakan untuk membuat tanda yang baru.

Pemaju bersetuju menambah RM200.00 lagi menjadikannya RM500.00 bagi setiap kubur dan mencadangkan para waris melantik satu pehak yang ada kemampuan untuk membina semula tanda kubur-kubur tersebut. Bagaimana pun pehak waris membuat cadangan balas supaya pemaju yang tolong membuat tanda tersebut.

Orang Asli mengangkat tangan mengaku mempunyai waris
yang dikuburkan di Bukit Empang

Pemaju menyatakan bahawa beliau bukan tidak sanggup membuat tanda yang baru tetapi oleh kerana beliau tidak memahami adat dan keperluan kaum Orang Asli dikhuatiri apabila siap nanti, tanda-tanda itu tidak menepati apa yang dikehendakki oleh kaum kerabat Orang Asli.

Setelah lebih sedikit satu jam berbincang akhirnya tujuh Orang Asli pewaris simati sebulat suara menggugurkan tuntutan mereka dalam bentuk wang gantirugi sebaliknya meminta pehak pemaju dan Ketua Kampong Salong dapat mengekalkan kedudukan tanah kubur di tempat di mana kubur itu ada pada masa ini dan meminta kawasan itu tidak dimajukan demi menghormati adat resam Orang Asli.

Ketua Kampong Salong dan pemaju bersetuju dengan cadangan itu dan menyatakan kawasan kubur itu tidak akan dimajukan dan meminta semua waris-waris si mati supaya mebuat tanda baru yang tahan lama dan boleh dikenali seperti mana kubur isteri kepada batin Sidin yang meninggal pada tahun 1961 masih kekal elok batu nesannya. Dengan tanda yang baik itu dimasa akan datang, mudah pehak-pehak yang sampai di kawasan berkanaan mengenali bahawa di situ ada kubur dan dengan itu mengelak berulangnya insiden seperti yang telah berlaku.

Sebagai penutup perbincangan itu, kedua-dua pehak mengucapkan terima kasih antara satu sama lain kerana berjaya menyelesaikan isu tanah kubur ini dengan baik walau pun mengambil masa lebih empat bulan.
read more...

Tuesday, September 20, 2011

Terkini: Peneroka Bera pula saman Felda

Sekumpulan 550 orang peneroka gugusan Bera, Pahang memfailkan saman ke atas Felda hari ini atas dakwaan penipuan yang dilakukan oleh lembaga berkenaan berhubung bayaran ke atas hasil sawit mereka.

Peguam, Nasar Khan berkata, peneroka berkenaan tidak berpuas hati dengan penggredan buah sawit serta kadar perahan minyak yang ditetapkan di tiga kilang Felda sejak tahun 1995.

"Kita juga kemuka saman berhubung tandan buah yang ditolak, tapi tetap diproses Felda. Kemudian dia tidak bayar. Mungkin kualiti buah itu kurang baik tapi kenapa diproses?

"Maknanya Felda ambil buah itu secara percuma daripada peneroka," dakwanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya lagi, peneroka itu dibayar mengikut harga pasaran dunia, tetapi berdasarkan gred buah yang ditetapkan Felda – biasanya pada kadar 18 hingga 19 peratus.

"Tapi dia tidak telus. Bila kita hantar ke makmal, makmal kata kadar (perahan minyak) buah itu lebih 25 peratus. Itu (diberitahu) makmal Felda sendiri, bukan makmal luar," tambahnya.

Turut dituntut ialah bayaran daripada hasil isirung sawit, kata Nasar yang menambah bahawa peneroka berkenaan masih belum dapat menganggarkan berapakan jumlah yang perlu dituntut daripada Felda.

"Untuk tahun 2008 sahaja, kita anggarkan jumlah tuntutan sebanyak RM19 juta," katanya lagi yang menjelaskan jumlah tuntutan itu mungkin bertambah atau berkurang untuk setiap tahun sejak 16 tahun lalu.

Jelasnya, peneroka berkenaan juga memohon supaya Felda menyerahkan dokumen berhubung kiraan bayaran, harga pasaran serta kuantiti hasil sawit tersebut sejak tahun 2005.

Writ saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini, kata Nasar lagi.

Ulasan:

Adoyaiii.......

Dah berderet-deret dah Felda kena saman.
read more...

Monday, September 19, 2011

Generasi kedua Felcra Sri Makmur bakal terima rumah

Dalam dua tiga bulan kebelakangan ini banyak berita menggembirakan peserta Felcra, khusunya peserta Felcra Sri Makmur.

Sebelum Hari raya Aidilfiri yang lepas, semua peserta Peringkat Satu dan Dua selamat menerima bayaran dividen masing-masing. Jumlah yang diterima sendiri tahulah kan......

Bukan itu sahaja, bagi peserta lot dusun juga telah menrima durian runtuh masing-masing. Jumlahnya boleh tahan juga.

Penulis mendapati ada peserta yang memanafaatkan wang dividen itu untuk menaiktaraf rumah kediaman masing-masing. Syukurlah....itulah yang sebaiknya bagi faedah ahli keluarga masing-masing.

Manakala selepas hari raya ini, satu berita amat baik buat generasi kedua telah sampai ke telinga penulis. Berita itu ialah, pehak felcra telah pun melantik kontraktor untuk membina sebanya 160 unit rumah bagi memenuhi impian generasi kedua Felcra Sri Makmur.

Kontraktor berkenaan telah pun memulakan keja tapak beberapa hari yang lalu dan keseluruhan projek pembinaan rumah ini dijangka mengambil masa 18 bulan daripada bulan September 2011 untuk disempurnakan.

Ini bermakna, jika tidak ada penangguhan kerja, semua pemohon rumah ini yang terpilih akan dapat menikmatinya sekitar suku pertama tahun 2013 kelak.

Dengan demikian, mulai sekarang penulis menyarankan kepada mereka yang berkenaan, mulalah berjimat cermat menyimpan wang bagi tujuan pembiayaan rumah tersebut.

Dan perkara yang paling penting perlu diingatkan ialah, para peserta generasi kedua ini amat bernasib baik kerana bukan sahaja diberikan saham ladang bahkan diberikan rumah kediaman pula.

Sedangkan rakan-rakan sebaya anda yang bekerja di bandar terkial-kial untuk mendapatkan pinjaman membeli rumah dan seakan-akan hampir mustahil dengan pendapatan sekitar RM1000.00 sebulan untuk membeli rumah kerana harga satu unit rumah teres sekarang ini telah melebihi paras RM100,000.
read more...

Lagi peneroka Jengka saman Felda RM510 juta

TEMERLOH, 19 Sept: Felda bakal berdepan musibah terbaru sebaik menerima tuntutan saman lebih RM510 juta dari peneroka di kawasan Jengka, Pahang dalam jangka masa terdekat.

Ini berikutan 345 lagi peneroka menyerahkan borang waran pelantikan peguam yang menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang menyaman Felda di kawasan itu setakat ini adalah seramai 1,056 orang, lapor Keadilan Daily.

Pada Julai lalu, Felda disaman oleh 711 peneroka di kawasan itu, selain deretan saman dari peneroka di Kelantan, Johor, dan Negeri Sembilan.

Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said dalam laman blognya mendedahkan, jumlah tuntutan oleh 1,056 peneroka terbabit merupakan jumlah terbesar setakat ini.

“Jumlah tuntutan sebanyak RM510,048,000.00 merupakan jumlah terbesar yang pernah dituntut oleh peneroka-peneroka Felda terhadap Felda,” katanya.


Latheefa Koya menerima borang waran pelantikan peguam dari
sekumpulan wakil peneroka Jengka sambil disaksikan Suhaimi Said

Lanjutan dari kes ini, Jawatankuasa Bertindak yang mewakili peneroka-peneroka terbabit mengadakan Majlis Penyerahan Borang Pelantikan Peguam yang disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Guaman PKR, Latheefa Koya di Markaz PAS Felda Jengka 17, semalam.

Menurut Suhaimi, saman itu dikemukakan berikutan peratusan kadar perahan gred (KPG) buah sawit yang dimanipulasi oleh Felda dan kilang-kilang Felda.

“Mereka (peneroka) menuntut buah sawit yang ditolak oleh kilang Felda kononnya buah-buah itu mengkal, muda dan tangkal panjang, walhal buah-buah ini diuji di makmal dengan peratusan perahan sebanyak 20 peratus.

“Buah-buah sawit dari kawasan ini telah dihantar ke makmal dan disahkan peratusan perahan KPG (Kadar Perahan Gred) tidak pernah menurun dari 27 peratus sedangkan Felda hanya membayar kepada peneroka di atas kadar perahan antara 17 peratus hingga 19 peratus.

“Ini mendatangkan kerugian yang amat besar kepada peneroka-peneroka. Kiraan selama 15 tahun kerugian yang ditanggung oleh peneroka-peneroka melebihi RM400,000.00 bagi setiap peneroka,” kata Suhaimi.

Ulasan:

Disinilah perlunya pehak pengurusan Felda atau Felcra menjalankan tanggungjawab secara profesional dan jujur.

Seperti yang penulis selalu tekankan bahawa generasi peserta samada Felcra atau Felda yang ada hari ini adalah generasi yang berilmu; paling tidak pun setanding dengan ilmu yang ada pada pegawai Felcra, malah ada yang mencapai Phd pun.

Malah setakat yang penulis tahu, dalam Felcra belum ada yang mencapai Phd. Tahap master tu adalah beberapa orang, termasuklah bekas CEO Datuk Rahman Daud dahulu.

Moralnya, tunaikanlah tanggungjawab dengan jujur, amanah dan profesional supaya pemerosesan gred minyak sawit, yang menjadi nadi pendapatan peserta dapat dicapai sepertimana sewajarnya.

Kita tidak tahulah sejauh mana peserta Felcra Sri Makmur mengambil kisah mengenai kadar peratusan perahan minyak sawit yang dijual oleh Felcra daripada ladang mereka.

Jika berasaskan umur berhasil sawit Peringkat Satu dan Peringkat Dua, kadar perahan patut berada dalam lengkungan tidak kurang 20 peratus.

Mungkin tidak ada yang ambil tahu berapa nilai wang bagi setiap satu peratus perbezaan kadar perahan minyak bagi setiap satu metrik ton BTS.

Jika ingin tahu nilainya dalam bentuk wang, silalah bertanya kepada Eksekutif Ladang, berapa nilai harga bagi setiap satu metrik tan dan dharabkan dengan jumlah pengeluaran hasil bagi sebulan dan setahun.

Sebagai contoh, sila lihat jadual harga BTS yang dikeluarkan oleh MPOB pada 19 September 2011:

Berpandukan jadual diatas iaitu harga BTS bagi kawasan pantai Timur bagi Gred A ialah RM659 bagi satu ton pada kadar perahan 20%.

Harga RM659 BTS pada kadar perahan 20% peratus ini berdasarkan kepada nilai harga minyak pada paras RM3295 batu satu tan.

Ini bermakna pada harga minyak RM3295, ia memberi nilai sebanyak RM32.95 bagi setiap 1% perbezaan kadar perahan.

Bagi lebih mudah lagi lihat contoh di bawah:

Harga BTS Bagi satu ton:

RM695 pada kadar perahan 20 peratus.

RM727.95 pada kadar perahan 21 peratus.

Sekarang mari kita lihat berapa jumlah perbezaan nilai wang bagi hasil ladang dalam satu bulan.
Katalah keluaran BTS daripada ladang bulan Ogos lepas ialah 1000 tan.

- Perkiraan 1000 tan x RM695 (kadar perahan 20%) = RM695,000
- Perkiraan 1000 tan x RM727.95 (kadar perahan 21%) = RM727,950
- Perbezaan RM 32,950

Dengan hanya perbezaan kadar perahan 1% bagi jumlah 1000 tan BTS, ia membawa beza pendapatan sebanyak 32,950. Sekiranya jumlah hasil ladang bagi setahun ialah 10,000 ton, maka bezanya ialah sebanyak RM329,500.

Cuba bayangkan jika kadar perahan yang diterima sekarang berada pada paras 2% atau 3% daripada nilai sebenar, maka kurangan pendapatan menjangkau hampir satu juta bagi setiap tahun.

Fakta-fakta seperti inilah yang perlu dititikberatkan dalam setiap kali mesyuarat AJKKP setiap bulan diantara peserta dengan pehak pengurusan ladang selain daripada butiran-butiran kos operasi ladang.

Sebab itu penulis selalu tekankan oleh kerana Felcra mengamalkan konsep pengurusan ladang secara sistem saham, maka segala maklumat perlu dibentang secara profesional sebagaimana konsep syarikat-syarikat membentangkan penyata kewangan kepada pemegang-pemegang saham supaya pemegang saham - peserta - mendapat haknya yang sewajar.

Sehubungan dengan konsep itu, hubungan saling percaya mempercayai dan rasa hormat antara satu sama lain terus trsemai dengan subur dan dapat menghindarkan timbul rasa curiga yang akan berakhir di mahkamah yang mana kesan buruknya lebih banyak daripada yang baik.
read more...

Saturday, September 3, 2011

Pembajaan Kelapa Sawit - Kadar Baja Yang Disyorkan

Kelapa sawit memerlukan nutrent tambahan untuk proses tumbesaran dan pembentukan buah yang sehat. Bagi tujuan itu pembajaan yang sesuai perlulah dibuat.

Jenis baja yang digunakan dalam rekomendasi ini adalah baja berbutir sebatian 44, baja tunggal Rock Phosphate dan GML. Bagi memudahkan penentuan kadar baja saya akan bahagikan kepada 3 fasa umur yang berlainan. Jadual pembajaan yang disyorkan adalah sebagaimana berikut.

FASA 1 (1-3 tahun)

* Umur 1 bulan – Baja Rock phosphate - kadar 1.0 kg/pokok/tahun
* Umur 2 bulan - Baja Sebatian 44 - kadar 0.5 kg/pokok/tahun
* Umur 4 bulan – Baja GML – kadar 0.5kg/pokok/tahun
* Umur 6 bulan – Baja Sebatian 45 + boron – kadar 0.5 kg/pokok/tahun
* Umur 8 bulan – Baja Sebatian 44 – kadar 0.5 kg/pokok/tahun
* Umur 12 bulan – Baja Sebatian 45 + boron -kadar 0.5kg/pokok/tahun
* Jumlah 3.5kg/pokok/tahun

Umur 2 tahun

# Baja Sebatian 44 – kadar 1.0kg/pokok/pusingan (3 kalipusingan setahun)
# Baja Rock phosphate – kadar 1.5kg/pokok/tahun
# Baja Sebatian 45 + boron – 1.5kg/pokok/tahun
Jumlah 6.0 kg/pokok/tahun

Umur 3 tahun

Baja Sebatian 44 – kadar 1.5kg/pokok/pusingan (2 kali pusingan setahun).
Baja Rock phosphate – kadar 1.5kg/pokok/tahun
Baja GML – Kadar – 1.5kg/pkok/tahun
Baja Sebatian 45 + boron- kadar 2.0kg/pkok/tahun
Jumlah 6.5 kg/pokok/tahun


FASA 2 (4-20 tahun)

Umur4-6 tahun

# Baja Sebatian 44 – kadar 2.0kg/pokok/pusingan (2 kali pusingan setahun)
# Baja Sebatian 45 + boron – kadar 2.0kg/pokok/tahun
# Baja Rock phospate – kadar 1.5kg/pokok/tahun
# Baja GML – kadar 1.5kg/pokok/tahun
Jumlah 9.0kg/pokok/tahun

Umur 7-20 tahun

# Baja Sebatian 44 – 2.5kg/pokok /pusingan (2 kali pusingan setahun)
# Baja Sebatian 45 + boron – kadar 2.5kg/pokok/tahun
# Baja Rock phospate – kadar 2.0kg/pokok/tahun
# Baja GML – kadar 2.0kg/pokok/tahun
Jumlah 11.5kg/pokok/tahun

FASA 3 (21 tahun hingga tebang)

Umur 21 tahun dan keatas
# Baja Sebatian 44 – kadar 2.0kg/pokok/pusingan (3 kali pusingan setahun)
# Baja Rock phospate – 2.0 kg/pokok/tahunJumlah
Jumlah 8.0 kg/pokok/tahun

Anggaran baja yang disyorkan adalah berdasarkan hasil BTS 25 mt/ha/tahun atau 10.12 mt/ekar/tahun di tanah kawasan pendalaman.
Sekiranya hasil tahun sebelumnya adalah melebihi 30 mt/ha/tahun, maka tambahkan lagi 2 pusingan sebatian 44 atau tambahkan baja tunggal MOP (Murate of Potash) sebanyak 0.5 hingga 1kg/pokok dan 1kg baja AS (Ammonium Sulphate) /pokok. Sekiranya hasil tahun sebelumnya adalah kurang daripada 20 mt/ha, maka potonglah 1-2 pusingan baja sebatian 44.

Kadar yang disyorkan juga boleh diubahsuai mengikut kesuburan tanah sebagaimana berikut:

# Tanah pesisir pantai yang bertekstur loam liat atau liat dengan saliran yang baik seperti dibahagian pantai barat Semenanjung terutamanya di Batu Pahat dan Pontian – kurangkan satu pusingan sebatian 44.

# Tanah pesisir pantai yang bertekstur pasir – digalakkan untuk menambah 2 pusingan sebatian 44 lagi, akan tetapi kadar yang disyorkan bagi setiap pusingan dipotong kepada 30-50%.

@ Adalah disyorkan supaya mengambil sampel daun untuk dianalisa sekurang-kurangnya 2-3 tahun sekali bagi memastikan zat-zat makanan yang diberikan menepati keperluan pokok kelapa sawit dengan seimbang.

# Rekomendasi ini adalah untuk kawasan tanah mineral. InsyaAllah, saya akan cuba keluarkan rekomendasi pembajaan am bagi kawasan tanah gambut.

Kadar yang disyorkan hanyalah sebagai panduan sahaja. Bagi menghasilkan program pembajaan yang seimbang dan memenuhi keperluan makanan pokok kelapa sawit, maka analisa-analisa seperti analisa daun, tanah, keadaan cuaca dan sebagainya adalah perlu.

disesuaikan daripada: sawitbiz.com
read more...

Friday, September 2, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Setelah berjaya menunaikan ibadah puasa, semua kita umat Islam menyambut ketibaan 1 Syawal dengan hati yang gembira.

Penulis mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya kepada semua pengunjung blog ini dan memohon kemaafan daripada semua yang mungkin tulisan penulis mendatangkan kesan yang tidak begitu enak atau telah mengguris perasaan.

Biasalah pada hari yang mulia ini kita berkesempatan bertemu dengan ahli keluarga dan sahabat handai. Dalam pertemuan itu sudah pastilah pelbagai cerita suka duka menjadi bahan perbualan masing-masing.

Antara yang menarik perhatian penulis ialah berita baik mengenai pembahagian dividen Felcra kepada peserta Felcra Sri makmur.

contoh bangunan surau yang perlukan bantuan
Surau Nur Iman Kg. Pinawantai Ranau Sabah

Difahamkan antara yang bernasib baik mendapat agihan dividen yang boleh dikatakan lumayan juga ialah 65 orang peserta Dusun Peringkat Satu dan Peserta Banjir.

Katanya mereka ini mendapat hampir RM10,000 setiap seorang. Wah....loaded la....

Pergunakanlah wang itu dengan sebaik mungkin untuk faedah diri dan keluarga masing-masing.

Sudah tentulah masing-masing akan menggunakan wang itu bagi memenuhi keperluan masing-masing. Ada yang buat kenduri kesyukuran, kenduri tahlil, beli itu ini dan sebagainya.

Penulis percaya, ramai penerima wang dividen itu bukan lagi peserta asal kepada tanah dusun itu kerana telah meninggal dunia. Yang menerimanya ialah pewaris mereka iaitu anak-anak peserta.

Kepada anak-anak yang menjadi pewaris yang menerima bayaran dividen itu, mana-mana yang mengadakan kenduri tahlil untuk arwah ibu bapa itu sangatlah bagus dan digalakkan kerana mungkin pahala kenduri itu akan sampai kepada roh arwah ibu bapa mereka.

Walau bagaimana pun, disamping mengadakan tahlil untuk arwah, adalah sangat baik sebahagian wang dividen yang diterima itu juga diterjemahkan dalam bentuk sedekah atau derma kepada perkara-perkara tertentu yang boleh memberi manafaat yang mempunyai jangkamasa yang lebih panjang.

Contohnya, satu atau dua peratus daripada wang dividen itu di dermakan kepada institusi ugama yang memerlukan seperti kepada sekolah fardhu ain, surau, masjid atau lain-lain yang akan digunakan untuk tujuan keugamaan.

Solat Isya' Berjemaah Diimamkan Oleh
Adik Nazmi Haris Sulaiman

Dengan wang derma itu, pehak institusi penerima menggunakannya mungkin untuk menyempurnakan mana-mana bahagian bangunan yang perlukan penambahbaikan dan sebagainya. Atau membiayai saguhati penceramah yang menyampaikan ilmu ugama kepada masyarakat.

Selagi bangunan institusi itu tertegak, selagi itulah pahalanya akan sampai kepada arwah simati. Selagi ilmu yang disampaikan oleh penceramah itu diamalkan oleh pendengar ceramah itu, selagi itulah arwah tetap mendapat pahala walau pun 10 tahun, 50 tahun atau pun 100 tahun sekali pun.

Berbanding dengan kenduri tahlil yang berlangsung sekitar setengah jam dan diakhiri dengan jamuan, selesai jamuan, selesailah segala-galanya. Samada dapat pahala atau tidak belum dapat ditentukan kerana kemungkinan semasa bertahlil, ada hadhirin yang bacaannya tidak sempurna, hati dan pemikiranya juga mungkin menerawang entah kemana.
Semasa imam berdoa, yang lain-lain tidak menumpukan perhatian kepada bacaan doa dan sebagainya.

Dengan keadaan itu, hasrat tuan rumah mengadakan majlis tahlil bagi mensedekahkan pahala kepada arwah simati mungkin tidak tercapai dengan sebab pelbagai kecacatan semasa tahlil diadakan.

Sebuah surau yang dhaif di Kemboja
Berbeza dengan derma yang dihulurkan kepada intitusi seperti masjid, surau atau kelas-kelas fardhu 'ain dimana wang itu diterjemahkan dalam bentuk mata benda yang kemudiannya dimanafaatkan oleh hamba Allah, sudah pasti arwah akan mendapat ganjaranya.

Katakan wang itu didermakan kepada surau untuk kegunaan memperbaiki mana-mana bahagian bangunan surau itu. Jika sekali pun surau itu tidak digunakan oleh manusia tetapi dijadikan tempat berlindung oleh cicak, semut atau anai-anai sekali pun, ianya tetap memberikan ganjaran pahala kepada arwah simati.

Sungguh pun begitu penulis tidak berniat menentang mengadakan majlis tahlil. Ianya amat baik lebih-lebih lagi majlis itu dapat mengeratkan hubungan salitulrahim antara sesama anggota masyarakat dan juga ahli keluarga. Namun oleh kerana niat asalnya ialah untuk menghadiahkan pahala kepada arwah ahli keluarga kita yang telah mendahului kita, wajar sangat jika kita juga berusaha mencari kaedah jangka panjang supaya pahala untuk simati berpanjangan.

Dengan itu, disamping kita bermurah hati mengadakan kenduri tahlil, sangat baik kita juga mengambil inisiatif supaya arwah yang kita kasihi itu mendapat pahala yang tidak putus-putus seberapa lama yang boleh hasil daripada derma kita kepada institusi-institusi ugama samada ditempat kita atau dimana-mana sahaja.

Wassalam.
read more...
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl