Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Saturday, September 24, 2011

Isu Tanah Kubur Orang Asli Bukit Empang Salong Berjaya Diselesaikan Dengan Baik.

Lanjutan isu berkaitan tanah kubur Orang Asli di Bukit Empang Salong yang menyebabkan tergendalanya kerja-kerja memajukan tanah terbiar milik penduduk Kampong Salong di Bukit Empang, beberapa siri rundingan telah diadakan oleh kedua-dua pehak bagi mencari jalan penyelesaian.

Pada 16 Mei 2011,satu majlis dialog telah diadakan diantara Orang Asli Kampong Tasek Chini dan pegawai-pegawai jabatan berkaitan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Pekan dan ketua/wakil jabatan berkenaan [baca di sini] sebagai langkah menyampaikan penerangan mengenai kedudukan sebenar isu tersebut.

Selepas majlis dialog berkenaan, beberapa perbincangan lagi telah diadakan. Pada 3 Jun 2011 perjumpaan susulan telah diadakan di hadapan YB ADUN Chini, di pejabat beliau. Dalam perbincangan ini pehak waris kepada simati yang disemadikan di Bukit Empang telah mengemukakan tuntutan yang disebut sebagai pampasan atau gantirugi diatas kerosakan tanda-tanda kubur yang berkenaan pada kadar RM10,000.00 (sepuluh ribu ringgit malaysia) bagi setiap satu kubur. Ini bermakna jumlah semua tuntutan bagi tujuh buah kubur ialah RM70,000.00 (tujuh puluh ribu ringgit malaysia).


YB ADUN Chini dan pehak pemaju tidak memberi apa-apa komen, pandangan atau ulasan terhadap amaun tuntutan itu. Bagaimana pun pemaju meminta pewaris simati supaya menanda lokasi kubur-kubur tersebut bagi memastikan di manakah kubur itu sebenarnya berada. Pemaju akan membuat semakan terhadap lokasi tersebut selepas 10 Jun 2011 bagi mengesahkan di mana loaksi sebenar yang telah ditanda samada ianya termasuk didalam tanah milik yang menyertai projek pemulihan tanah terbiar atau pun tidak.

Pada 26 Ogos 2011 satu insiden telah tercetus dimana sekumpulan kira-kira 20 - 30 Orang Asli telah mengambil tindakan menghalang laluan masuk ke projek dengan mengunci palang pagar jalan Risda yang digunakan oleh pemaju. Jalan ini digunakan oleh pemaju sebagai laluan utama masuk ke projek dengan kebenaran bertulis daripada Risda Plantation dengan membayar wang cagaran sebanyak RM5,000.00.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku keatas pekerjanya, pemaju telah menghubungi Ketua Polis Balai Polis Chini memohon agar dibuat pemantauan di tempat insiden sementara pemaju sampai ke tempat berkenaan. Dua orang anggota polis dengan satu kenderaan land rover, serta seorang anggota SB telah dihantar ke lokasi insiden.

Apabila pemaju sampai di lokasi didapati sekumpulan 20 hingga 30 Orang Asli termasuk wanita dan kanak-kanak berkumpul di hadapan palang jalan masuk. Palang itu telah pun berkunci dan mangganya telah ditukar. Sebelum ini pehak pengurusan Risda Plantation telah pun membekalkan satu anak kunci kepada pemaju bagi kegunaan pemaju dan pekerjanya menggunakan jalan tersebut.

Bersama-sama Orang Asli tersebut, turut hadhir juga Batin, Pengerusi dan Setiausaha JKK Kampong Tasek Chini.

Apabila ditanya kenapa jalan masuk itu dihalang daripada digunakan, mereka memaklumkan tindakan itu diambil bagi memaksa pemaju membayar tuntutan ganti rugi tanah kubur yang belum diselesaikan oleh pemaju.

Pemaju mempertikai tindakan mengunci palang itu kerana pemaju telah membayar kepada Risda Plantation sebanyak RM5,000.00 untuk menggunakan jalan tersebut dan tidak ada sesiapa selain Risda yang berhak menghalang pemaju menggunakan jalan itu.

Pemaju bertanya siapa yang mengarahkan mereka mengunci palang berkenaan. Dua orang daripada Orang Asli memaklumkan bahawa YB Adun Chini yang menyuruh mereka bertindak begitu. Percakapan dua orang itu dipertuturkan dihadapan Batin, Pengerusi JKK Kampong Tasek Chini dan dua orang anggota polis.

Setelah itu pemaju mencadangkan kepada Pengerusi JKK Kampong Tasek Chini dan Tok Batin satu perbincangan mesti diadakan segera bersama YB ADUN Chini dan dicadangkan tempat itu ialah di Balai Polis Chini bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu ini.

Kedua-dua mereka, pemaju dan anggota polis berkenaan bersetuju mengadakan perbincangan pada tengahri itu juga.

Kira-kira pukul 11.40 pagi Pengerusi JKK Kampong Tasek Chini, Tok Batin, pemaju termasuk Ketua kampung Salong hadhir. Walau bagaimana pun YB ADUN Chini tidak menghadhirkan dirinya.

Perbincangan diadakan dalam bilik mesyuarat Balai polis Chini dengan di pengerusikan oleh Ketua Balai. Keputusan perbincangan itu menyimpulkan bahawa semua tujuh pewaris simati bersetuju menandakan kubur waris masing-masing dengan seberapa segera kerana sehingga hari ini waris-waris didapati masih belum menanda kubur berkenaan; supaya penyelasaian dapat dibuat sebelum 30 Ogos 2011 dan pemaju bersetuju membayar saguhati kepada waris tujuh kubur berkenaan.

Pada petang hari itu juga pewaris si mati telah menandakan kubur waris masing-masing.

Pada 28 Ogos 2011 pukul 12.00 tengahari satu lagi perjumpaan diantara pemaju, Ketua Kampong Salong, wakil pemilik tanah Kampong Salong dengan Pengerusi JKK Kampong Tasek Chini, Batin dan tujuh Orang Asli yang mewakili waris masing-masing diadakan di bilik mesyuarat Balai Polis Chini. Turut hadhir ialah Ketua Balai Polis Chini dan anggota Cawangan Khas. YB ADUN Chini tidak hadhir.

Dalam perbincangan itu pemaju menawarkan saguhati bagi mengganti tanda kubur yang rosak pada kadar RM300.00 bagi satu kubur atas asas bahawa kubur bukanlah dirosakkan sepertimana yang dianggap selama ini. Sebaliknya hanya tanda diatas tanah kubur tersebut sahaja yang rosak. Kawasan kubur berkenaan tidak dikorek melebehi enam inci daripada permukaan asal tanah dan kejadian ini bukanlah disengajakan dengan cuai sebaliknya kerana tidak terdapat apa-apa tanda yang boleh menggambarkan disitu ada kubur.

Pehak waris meminta jumlah itu ditambah lagi dengan alasan tempat itu jauh daripada kampung mereka dan kesukaran membawa bahan-bahan yang akan digunakan untuk membuat tanda yang baru.

Pemaju bersetuju menambah RM200.00 lagi menjadikannya RM500.00 bagi setiap kubur dan mencadangkan para waris melantik satu pehak yang ada kemampuan untuk membina semula tanda kubur-kubur tersebut. Bagaimana pun pehak waris membuat cadangan balas supaya pemaju yang tolong membuat tanda tersebut.

Orang Asli mengangkat tangan mengaku mempunyai waris
yang dikuburkan di Bukit Empang

Pemaju menyatakan bahawa beliau bukan tidak sanggup membuat tanda yang baru tetapi oleh kerana beliau tidak memahami adat dan keperluan kaum Orang Asli dikhuatiri apabila siap nanti, tanda-tanda itu tidak menepati apa yang dikehendakki oleh kaum kerabat Orang Asli.

Setelah lebih sedikit satu jam berbincang akhirnya tujuh Orang Asli pewaris simati sebulat suara menggugurkan tuntutan mereka dalam bentuk wang gantirugi sebaliknya meminta pehak pemaju dan Ketua Kampong Salong dapat mengekalkan kedudukan tanah kubur di tempat di mana kubur itu ada pada masa ini dan meminta kawasan itu tidak dimajukan demi menghormati adat resam Orang Asli.

Ketua Kampong Salong dan pemaju bersetuju dengan cadangan itu dan menyatakan kawasan kubur itu tidak akan dimajukan dan meminta semua waris-waris si mati supaya mebuat tanda baru yang tahan lama dan boleh dikenali seperti mana kubur isteri kepada batin Sidin yang meninggal pada tahun 1961 masih kekal elok batu nesannya. Dengan tanda yang baik itu dimasa akan datang, mudah pehak-pehak yang sampai di kawasan berkanaan mengenali bahawa di situ ada kubur dan dengan itu mengelak berulangnya insiden seperti yang telah berlaku.

Sebagai penutup perbincangan itu, kedua-dua pehak mengucapkan terima kasih antara satu sama lain kerana berjaya menyelesaikan isu tanah kubur ini dengan baik walau pun mengambil masa lebih empat bulan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl