Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Monday, May 30, 2011

Orang Asli Perguna Isu Kubur Menuntut Tanah

Pada 16 Mei 2011 lepas jam 3.00 petang bertempat di balai raya Kampung Gumum, Tasek Chini, Pekan, Pahang berlangsung satu dialog diantara kaum Orang Asli tempatan dengan beberapa agensi kerajaan yang berkenaan.

Pegawai kerajaan yang hadir terdiri daripada Pegawai Daerah Pekan, Pentadbir Tanah Daerah Pekan, wakil Pejabat Tanah dan Galian Negeri, wakil Jabatan Kebajikan Orang Asli, wakil PDRM Daerah Pekan, Penghulu Mukim Penyor, Ketua Kampung Salong bersama wakil pemilik tanah Kampung Salong serta pemaju projek Bukit Empang dan YB ADUN Chini sebagai pengerusi.

Orang Asli mengangkat tangan mengaku mempunyai waris yang dikuburkan di Bukit Empang

Majlis dialog ini diadakan berpunca daripada aduan polis yang dibuat oleh Ketua Orang Asli Gumum yang mendakwa bahawa kawasan tanah di Bukit Empang, Salong adalah hak mereka melalui dasar tanah tersebut sebagai tanah saka.

Selain itu mereka juga mendakwa dalam kawasan tersebut terdapat 11 perkuburan datuk nenek mereka.

Sudah menjadi trend Orang Asli dimana-mana juga pada masa ini, mereka akan membuat tuntutan keatas mana-mana kawasan yang pernah mereka merayau, tidak kira kawasan tersebut merupakan tanah yang mempunyai status hakmilik yang sah atau sebaliknya.

Dalam isu di Bukit Empang ini, fakta yag ada ialah kawasan ini pernah didiami oleh sekumpulan Orang Asli sebelum tahun 1960han dahulu. Kumpulan ini diktuai oleh seorang Batin yang bernama Penghulu Kidin.

Setelah isteri kepada Batin ini mati, semua Orang Asli itu berpindah ke Tasek Chini. Beberapa ketika selepas berpindah, Batin Kidin telah berbincang dengan Ketua Kampung Salong untuk menjual tanah tapak kediaman dan kebun mereka di Bukit Empang itu kepada sesiapa penduduk kampung Salong, kerana semua anak buahya tidak lagi berhajat kembali ke situ.

Selepas perbincangan itu, berlakulah proses jual beli antara kedua-dua pehak.

Setelah selesai proses jualbeli itu, Orang Asli tersebut tidak lagi membuat apa-apa tuntutan keatas kawasan tersebut.

Dipehak orang Kampung Salong pula, apabila selesai proses jual beli, barulah mereka berani masuk ke dalam lot masing-masing untuk memulakan kerja-kerja berkebun.

Lanjutan daripada itu semua mereka memulakan proses memohon kelulusan daripada pejabat tanah Pekan untuk memiliki lot masing-masing secara sah. Permohonan mereka ini bermula sekitar tahun 1967.

Diantara kelulusan yang paling awal yang diberikan oleh pejabat tanah Pekan keatas permohonan tersebut ialah pada tahun 1971. Sementara lot-lot lain diluluskan berperingkat-peringkat sehingga menjangkau tahun-tahun 1990han.

Pada tahun 1991, semua pemilik tanah di Bukit Empang telah menyertai Projek Tanam Semula berkelompok tajaan Risda. Sejumlah 16 lot menyertai projek ini.

Seperti sedia maklum apabila Risda memajukan sesuatu lot tanah, semua tumbuhan diatas tanah tersebut dibersihkan sehingga keakar umbi. Tidak ada satu batang pokok pun dibiarkan tidak bertebang. Kemudian dibakar dan diperun dengan bersih menjadikan kawasan tersebut seperti padang bola.

Dalam jangka masa kerja-kerja pembangunan tanah dijalankan oleh Risda, tidak ada seorang pun Orang Asli daripada Tasek Chini atau Kampung Gumum datang dan membuat bantahan bahawa tanah itu milik mereka dan ada banyak kubur diatasnya.

Ini disebabkan oleh generasi yang ada pada masa itu maklum bahawa tanah itu telah mereka jual kepada orang kampung Salong, jadi mereka tiada apa-apa tuntutan lagi keatas kawasan tersebut.

Mereka juga pada masa itu tidak pun menimbulkan kisah kubur sedangkan ketika itu semua lot-lot tersebut telah menjadi seperti padang bola dengan tidak ada sebatang pokok pun yang tegak.

Selepas 20 tahun daripada tarikh projek tanaman semula, pokok getah yang ada telah pun tidak boleh ditoreh lagi oleh pelbagai sebab. Antaranya kerana pemilik telah tua atau telah pun meninggal dunia.

Atas inisiatif JKKK Salong, semua penduduk berpakat melantik seorang pemaju bagi menanam kelapa sawit di lot masing-masing.

Apabila pemaju mula menjalankan kerja membersih belukar, pada 25 April 2011, sekonyong-konyong beberapa Orang Asli daripada Kampung Gumum membuat aduan polis menuduh pemaju menceroboh tanah mereka dan merosakkan tanah kubur nenek moyang mereka. Aduan kedua dibuat pada 27 April, 2011.

Lanjutan daripada itu Ketua Kampung Salong telah mengambil inisiatif untuk cuba berbincang dengan dengan Ketua kampung Orang Asli Gumum tetapi mereka enggan memberi sebarang kerjasama dan bertegas mengatakan mereka tidak ingin langsung berbincang.

Pada 27 April, 2011 Ketua Kampung Salong bersama pemaju telah hadhir ke Balai Polis Chini berjumpa dengan Ketua Balai dan menunjukkan dolumen-dokumen hakmilik tanah yang dimiliki oleh penduduk Kampung Salong di kawasan yang dipertikaikan sebagai menafikan dakwaaan Orang Asli Gumum.

Pada sebelah petangnya beliau hadhir pula bersama pemaju di IPD Pekan bagi memberi keterangan yang sama berkaitan isu tersebut.

Isu ini telah merebak dengan cepat. ADUN Chini juga telah pun dimaklumkan oleh Orang Asli.

Pada 1 Mei, 2011 semua pemilik tanah telah mengadakan mesyuarat membincangkan isu dakwaan Orang Asli. YB ADUN Chini juga dijemput hadhir bagi mendapatkan pandangan beliau. Tetapi dukacita beliau tidak dapat hadhir. Pada mesyuarat tersebut semua pemilik tanah mengambil pendirian mempertahankan hakmilik tanah asing-masing berpegang kepada asas undang-undang yang dipatuhi semasa proses memperolehi hakmilik tanah dahulu dan juga persefahaman yang dicapai dengan Orang Asli asal Bukit Empang terdahulu.

YB ADUN Chini telah menetapkan temujanji baru pada 7 Mei 2011, jam 11.00 pagi untuk bertemu dengan Ketua Kampung Salong dan pemaju bagi berbincang mengenai perkara ini. Tetapi sehingga jam 12.30 tengahari beliau masih belum tiba di pejabatnya. Dengan itu sekali lagi gagal diadakan perjumpaan dengan YB ADUN.

Beberapa hari selepas itu, YB ADUN memaklumkan satu perjumpaan dengan Orang Asli akan diadakan pada 16 Mei 2011 bertempat di dewan Kampung Gumum pada pukul 3.00 petang. Sekali lagi Ketua Kampung dan Pemaju meminta bertemu dengan ADUN jika boleh satu jam sebelum waktu perbincangan, untuk menyampaikan pandangan bagi pehak pemaju dan pemilik tanah kepada YB ADUN, tetapi cadangan ini juga tidak kesampaian.

Dalam dialog itu, sepertimana dijangkakan, isu utama ialah tanah kubur dan kedua ialah dakwaan tanah tersebut hak mereka.

Semasa ditanya oleh pengerusi berapa banyak kubur yang ada di Bukit Empang, hampir 50 orang mengaku mendakwa ada waris masing-masing dikuburkan disitu.

Sebaliknya setelah diasak beberapa kali hanya 11 kubur sahaja didakwa ada di Bukit Empang dengan 5 daripadanya kononya telah dimusnahkan oleh jenterapemaju akan tanda-tandanya.

Majlis itu menjadi tidak terkawal pada satu peringkat bila wakil Orang Asli mempertikaikan rekod-rekod pejabat tanah. Tetapi dengan kebijaksanaan Pegawai Daerah, beliau berjaya mententeramkan suasana dan memberi penjelasa bahawa setiap tanah yang ada geran hakmilik, tidak ada mana-mana pehak boleh mempertikaikan lagi.

Daripada insiden tuntutan ini, terdapat beberapa perkara yang tidak masuk akal sama sekjali yang didakwa oleh Orang Asli:

Pertamanya mereka sudah tidak mengaku lagi bahawa bapa atau datuk mereka telah menjual tanah tersebut kepada orang Kampung Salong.

Jika datuk nenek mereka tidak menjual tanah tersebut kenapa tidak ada bantahan selama lebih 40 tahun orang Kampung Salong telah menduduki tanah itu. Jika alasan mereka ialah tidak tahu, itu adalah perkara mustahil kerana kawasan tersebut telah dibersihkan oleh Risda pada tahun 1991. Sudah tidak ada sebatang pokok pun pada masa itu diatas tanah tersebut.

Perkara kedua ialah tanah kubur - perkara ini juga tidak masuk akal. Berasaskan dakwaan mereka, kubur datuk nenek mereka berada disitu sebelum mereka berpindah lagi. Dan pada masa mereka menghalang jentera daripada menjalankan kerja, mereka mendakwa kubur-kubur tersebut ditanda dengan pokok-pokok yang tertentu.

Seperti dijelaskan tadi bahawa pada tahun 1991, semua pokok kayu, semak, hutan dan sebagainya telah dibersihkan oleh Risda menggunakan jentolak, dikumpul dan dibakar semua kayu-kayan tersebut.

Ini bermakna semua tumbuhan yang ada dalam tanah lot tersebut adalah yang tumbuh selepas tahun 1991. Bila masa pula mereka mengusung mayat daripada Kampung Gumum untuk dikuburkan dalam lot-lot tersebut dan tumbuh pula pokok atas kubur itu sedangkan mereka juga mendakwa datuk nenek mereka telah pun berpindah sekitar tahun 1960han dan kubur yang ada ialah kubur sebelum mereka berpindah.

Kemudiannya semasa kerja membersih kawasan tersebut, tidak ada pula mereka mendakwa Risda telah memusnahkan kubur nenek moyang mereka.

Sebagai kesimpulan daripada isu ini adalah seperti berikut:

1. Tuntutan Orang Asli itu adalah satu perkara yang tidak masuk akal. Ia hanya alasan bagi mereka untuk mendapatkan tanah bagi kawasan 'rayau' dengan beralasan ada kubur. Telah menjadi trend mereka di seluruh negara untuk memaksa kerajaan memenuhi kehendak mereka yang hanya berasaskan fiksyen semata-mata tanpa sebarang fakta.

2. Pendirian YB ADUN yang mahu Pejabat Tanah mengambil balik satu lot tanah milik orang Kampung Salong adalah keputusan berat sebelah dimana beliau tidak mendapatkan maklumat daripada pehak pemilik-pemili tanah. Tiga tarikh diatur bagi membincangkan isu ini dengan beliau, semuanya tidak dilayan. Beliau langsung tidak mahu berjumpa dengan pemilik tanah. Beliau mengelak daripada mendengar pandangan pemilik tanah.

3. Sekiranya isu ini dilayan oleh kerajaan, ianya pasti akan merebak ke kawasan lain pula kerana dengan mudah sahaja mereka boleh menunjukkan mana-mana sebatang pokok yang berada diatas tanah sesiapa sahaja sebagai kubur nenek moyang mereka dan menuntut tanah itu adalah tanah saka mereka.

Jika sebelum ini terdapat beberapa isu yang berkaitan dengan Orang Asli, tetapi semua isu berkenaan berkait dengan tanah yang tiada hak milik iaitu tanah kerajaan.

Berbeza dengan isu di Bukit Empang ini dimana ianya melibatkan tanah yang ada hakmilik.

Dalam membuat keputusannya, YB ADUN Chini wajib memberi pertimbangan berdasarkan fakta dan ianya hendaklah berlaku tidak berat sebelah kepada pehak tertentu.

Dikhuatiri jika ada pehak yang berasa tidak mendapat keadilan, kemungkinan perkara ini akan berakhir di mahkamah.

[ Lapuran Utusan malaysia ]

ARKIB : 19/05/2011

PEKAN 18 Mei - Masalah tanah perkuburan Orang Asli di Kampung Bukit Empang dekat sini yang musnah ekoran dijadikan ladang kelapa sawit akan dibawa ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) daerah ini untuk diselesaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama pegawai pejabat itu dalam tempoh terdekat supaya perkara tersebut dapat diselesaikan secara baik.

"Dua perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu ialah soal membayar pampasan kepada waris dan kedua, mengekalkan tanah perkuburan itu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Abu Bakar berkata, jika tanah seluas 1.2 hektar terbabit dikekalkan sebagai tanah perkuburan maka pihak PTG akan menggantikan tanah lain kepada tuan tanah terbabit.

Jelasnya, pihaknya akan mencari penyelesaian berhubung perkara itu supaya isu tersebut tidak dipolitikkan mana-mana pihak.

"Saya anggap perkara itu sudah selesai dan berharap pihak terbabit tidak mempolitikkan isu tersebut," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl