TEMERLOH, 19 Sept: Felda bakal berdepan musibah terbaru sebaik menerima tuntutan saman lebih RM510 juta dari peneroka di kawasan Jengka, Pahang dalam jangka masa terdekat.
Ini berikutan 345 lagi peneroka menyerahkan borang waran pelantikan peguam yang menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang menyaman Felda di kawasan itu setakat ini adalah seramai 1,056 orang, lapor Keadilan Daily.
Pada Julai lalu, Felda disaman oleh 711 peneroka di kawasan itu, selain deretan saman dari peneroka di Kelantan, Johor, dan Negeri Sembilan.
Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said dalam laman blognya mendedahkan, jumlah tuntutan oleh 1,056 peneroka terbabit merupakan jumlah terbesar setakat ini.
“Jumlah tuntutan sebanyak RM510,048,000.00 merupakan jumlah terbesar yang pernah dituntut oleh peneroka-peneroka Felda terhadap Felda,” katanya.
Latheefa Koya menerima borang waran pelantikan peguam dari sekumpulan wakil peneroka Jengka sambil disaksikan Suhaimi Said |
Lanjutan dari kes ini, Jawatankuasa Bertindak yang mewakili peneroka-peneroka terbabit mengadakan Majlis Penyerahan Borang Pelantikan Peguam yang disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Guaman PKR, Latheefa Koya di Markaz PAS Felda Jengka 17, semalam.
Menurut Suhaimi, saman itu dikemukakan berikutan peratusan kadar perahan gred (KPG) buah sawit yang dimanipulasi oleh Felda dan kilang-kilang Felda.
“Mereka (peneroka) menuntut buah sawit yang ditolak oleh kilang Felda kononnya buah-buah itu mengkal, muda dan tangkal panjang, walhal buah-buah ini diuji di makmal dengan peratusan perahan sebanyak 20 peratus.
“Buah-buah sawit dari kawasan ini telah dihantar ke makmal dan disahkan peratusan perahan KPG (Kadar Perahan Gred) tidak pernah menurun dari 27 peratus sedangkan Felda hanya membayar kepada peneroka di atas kadar perahan antara 17 peratus hingga 19 peratus.
“Ini mendatangkan kerugian yang amat besar kepada peneroka-peneroka. Kiraan selama 15 tahun kerugian yang ditanggung oleh peneroka-peneroka melebihi RM400,000.00 bagi setiap peneroka,” kata Suhaimi.
Ulasan:
Disinilah perlunya pehak pengurusan Felda atau Felcra menjalankan tanggungjawab secara profesional dan jujur.
Seperti yang penulis selalu tekankan bahawa generasi peserta samada Felcra atau Felda yang ada hari ini adalah generasi yang berilmu; paling tidak pun setanding dengan ilmu yang ada pada pegawai Felcra, malah ada yang mencapai Phd pun.
Malah setakat yang penulis tahu, dalam Felcra belum ada yang mencapai Phd. Tahap master tu adalah beberapa orang, termasuklah bekas CEO Datuk Rahman Daud dahulu.
Moralnya, tunaikanlah tanggungjawab dengan jujur, amanah dan profesional supaya pemerosesan gred minyak sawit, yang menjadi nadi pendapatan peserta dapat dicapai sepertimana sewajarnya.
Kita tidak tahulah sejauh mana peserta Felcra Sri Makmur mengambil kisah mengenai kadar peratusan perahan minyak sawit yang dijual oleh Felcra daripada ladang mereka.
Jika berasaskan umur berhasil sawit Peringkat Satu dan Peringkat Dua, kadar perahan patut berada dalam lengkungan tidak kurang 20 peratus.
Mungkin tidak ada yang ambil tahu berapa nilai wang bagi setiap satu peratus perbezaan kadar perahan minyak bagi setiap satu metrik ton BTS.
Jika ingin tahu nilainya dalam bentuk wang, silalah bertanya kepada Eksekutif Ladang, berapa nilai harga bagi setiap satu metrik tan dan dharabkan dengan jumlah pengeluaran hasil bagi sebulan dan setahun.
Sebagai contoh, sila lihat jadual harga BTS yang dikeluarkan oleh MPOB pada 19 September 2011:
Berpandukan jadual diatas iaitu harga BTS bagi kawasan pantai Timur bagi Gred A ialah RM659 bagi satu ton pada kadar perahan 20%.Harga RM659 BTS pada kadar perahan 20% peratus ini berdasarkan kepada nilai harga minyak pada paras RM3295 batu satu tan.
Ini bermakna pada harga minyak RM3295, ia memberi nilai sebanyak RM32.95 bagi setiap 1% perbezaan kadar perahan.
Bagi lebih mudah lagi lihat contoh di bawah:
Harga BTS Bagi satu ton:
RM695 pada kadar perahan 20 peratus.
RM727.95 pada kadar perahan 21 peratus.
Sekarang mari kita lihat berapa jumlah perbezaan nilai wang bagi hasil ladang dalam satu bulan.
Katalah keluaran BTS daripada ladang bulan Ogos lepas ialah 1000 tan.
- Perkiraan 1000 tan x RM695 (kadar perahan 20%) = RM695,000
- Perkiraan 1000 tan x RM727.95 (kadar perahan 21%) = RM727,950
- Perbezaan RM 32,950
Dengan hanya perbezaan kadar perahan 1% bagi jumlah 1000 tan BTS, ia membawa beza pendapatan sebanyak 32,950. Sekiranya jumlah hasil ladang bagi setahun ialah 10,000 ton, maka bezanya ialah sebanyak RM329,500.
Cuba bayangkan jika kadar perahan yang diterima sekarang berada pada paras 2% atau 3% daripada nilai sebenar, maka kurangan pendapatan menjangkau hampir satu juta bagi setiap tahun.
Fakta-fakta seperti inilah yang perlu dititikberatkan dalam setiap kali mesyuarat AJKKP setiap bulan diantara peserta dengan pehak pengurusan ladang selain daripada butiran-butiran kos operasi ladang.
Sebab itu penulis selalu tekankan oleh kerana Felcra mengamalkan konsep pengurusan ladang secara sistem saham, maka segala maklumat perlu dibentang secara profesional sebagaimana konsep syarikat-syarikat membentangkan penyata kewangan kepada pemegang-pemegang saham supaya pemegang saham - peserta - mendapat haknya yang sewajar.
Sehubungan dengan konsep itu, hubungan saling percaya mempercayai dan rasa hormat antara satu sama lain terus trsemai dengan subur dan dapat menghindarkan timbul rasa curiga yang akan berakhir di mahkamah yang mana kesan buruknya lebih banyak daripada yang baik.