Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Friday, March 4, 2011

Masaalah Penagihan Dadah Di Felcra Sri Makmur

Gejala sosial yang melanda anak-anak peneroka Felda sudah menjadi perkara lazim. Dimana-mana penempatan Felda tidak terlepas daripada gejala penagihan dadah dikalangan anak-anak penerokanya.

Fenomena ini tidak terkecuali turut menimpa anak-anak peserta Felcra Sri makmur, Pekan, Pahang. Mereka-mereka yang terlibat bermula daripada yang berumur belasan tahun iaitu remaja yang tercicir diperingkat SPM hinggalah yang berumur hampir 40 tahun.

Keterlibatan generasi kedua ini dengan gejala ketagihan dadah amat memberi kesan negatif terhadap kedamaian masyarakat setempat dimana telah mencetuskan masaalah sosial yang amat berat.

Kes-kes pecah rumah dan mencuri amat kerap berlaku di Felcra Sri Makmur, yang melibatkan penagih-penagih dadah. Mereka ini terpaksa melakukan aktiviti anti-sosial bagi mendapatkan wang untuk meampung perbelanjaan membeli dadah.

Mereka ini juga amat kerap terlibat dengan kegiatan mencuri getah skrap di kebun-kebun getah di sekitar Kampung Sri Makmur. Penagih dadah ini tidak meilih mangsa. Mereka mencuri getah skrap milik siapa sahaja termasuk getah skrap milik ibu bapa sendiri malah ada penagih dadah yang mencuri getah skrap milik isteri.

Pagi hari menghantar isteri ke kebun untuk menoreh getah. Tengah hari pergi jemput isteri balik dari kebun. Waktu petang, pergi mencuri getah skrap isteri!!!

Pada awal bulan Mac baru ini, beberapa kehilangan barangan besi termasuk besi palang jalan masuk ke ladang Felcra telah berlaku.

Pihak polis telah melakukan operasi menjejaki penjenayah/penagih dadah ini dan sehingga ini tidak kurang daripada empat orang telah ditahan untuk soalsiasat.

Apabila berlangsungnya operasi seperti ini, dengan mendadak kes-kes kecurian menurun!!!

Gejala penagihan dadah dikalangan generasi kedua di Felcra Sri Makmur macam sudah tidak terkawal lagi. Ibu bapa yang menmpunyai anak yang terbabit dengan dadah semacam sudah putus asa dan sudah tidak tahu berbuat apa-apa lagi. Hanya berserah kepada takdir.

Rasanya sudah mangli, sudah tidak ada makna apa itu harga maruah sebuah keluarga dan ada yang bertindak seperti badak pekak terhadap apa sahaja perlakuan anak yang terbabit dengan dadah.

Dalam satu keluarga ada yang mempunyai dua, tiga atau empat anak yang terbabit dengan dadah. Bila begini keadaannya, sudah tentu keadaan masyarakat sudah tidak tenteram lagi. Setiap isi rumah berada dalam situasi kebimbangan setiap masa akan menjadi mangsa pecah rumah, kecurian harta benda dan pemilik kebun getah pula sentiasa berasa tidak selamat hasil kebun mereka.

Situasi ini sudah lama berlautan berlaku. Sudah berbelas tahun.

Sungguh pun pihak polis sentiasa menjalankan usaha pencegahan dengan dibantu oleh Pasukan Rela tempatan, tetapi tidak begitu memberi kesan kerana penagih/pencuri ada dalam rumah sendiri!!!

Apa yang menakutkan dimasa hadapan ialah gejala pengihan ini akan terus merebak dari generasi kedua iaitu anak peserta akan berjangkit kepada generasi ketiga iaitu cucu peserta yang masih berada dibangku sekoah rendah dan menengah pada hari ini.

Selepas sepuluh atau lima belas tahun akan datang, generasi pertama iaitu peserta telah pun tiada. Tinggallah generasi kedua yang terdiri daripada penagih dadah dan generasi ketiga yang akan mendominasi Felcra Sri Makmur ini.

Bolehkah diharap generasi kedua yang telah pun dikuasai oleh dadah mencegah generasi ketiga dan keempat daripada terbabit dengan dadah?

Sedangkan mereka sendiri (generasi kedua) pada masa ini dan masa lalu adalah kumpulan yang mencetuskan masaalah sosial yang teruk di kampung sendiri.

Anggota masyarakat Sri Makmur yang masih bebas atau yang sedang terbabit dengan masaalah sosial ini perlulah membina kekuatan dalam diri untuk berazam memastikan anak-anak serta cucu-cucu dihindarkan sejauh-jauhnya daripada terjebak dengan dadah.

Jika sebelum ini ada ibu bapa yang menjadi pelindung kepada anak-anak yang terjebak dengan dadah. hendklah mula berubah dengan memberikan kerjasama kepada pihak polis supaya anak-anak yang malang ini dapat dihantar kepusat-pusat pemulihan.

Tidak ada apa yang hendak dimalukan dengan menyerahkan anak malang ini ke pusat pemulihan.

Yang sebenarnya dengan membiarkan anak malang ini terus bermaharajalela dengan dadah ini lebih memalukan lagi kerana mereka bukan setakat menagih dadah tetapi mereka juga adalah pemecah rumah dan pencuri yang sentiasa disumpah seranah dan di doa laknat oleh segenap penduduk termasuk oleh jiran tetangga dan kaum keluarga sendiri.

Tetapi jika dengan ikhlas menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk dipulihkan, hanya satu tahap malu sahaja yang diterima iaitu hanya terlibat dengan dadah dan anak ini ada harapan besar akan pulih dan mempunyai masa hadapan yang baik. Maka terselamatlah daripada sumpah seranah dan doa laknat!!!!

Dan jika sekiranya anak malang ini dibiarkan berterusan kekal dalam aktivitinya, ibu bapanya akan sentiasa dirundung malang kerana sentiasa di doakan supaya ditimpa bala oleh mangsa jenayah dan semua penduduk kampung. Tidak ada peluang bukan sahaja kepada sianak, malah ibu bapa untuk memperbaiki maruah diri dan keluarga kerana anak malang ini akan terus melakukan lepas satu, satu jenayah bagi memenuhi runtunan ketagihan dadah sehinggalah dia mengakhiri hayatnya.

Apakah situasinya jikalah ditakdirkan satu kampung mengadakan sembahyang hajat dan bacaan Yasin memohon Ilahi menurunkan sesuatu kepada pelaku jenayah sedangkan kita sendiri tahu yang melakukan jenyah itu mungkin anak atau ahli keluarga kita sendiri?

Oleh itu mulakanlah menanam tekad untuk melakukan perubahan kearah memperbaiki diri, isteri/suami dan seterusnya anak-anak kita.

Mulakanlah mengawal anak-anak ketika berusia 12 tahun hingga 18 tahun. Inilah peringkat usia yang amat kritikal yang akan menentukan corak masa hadapan anak-anak kita.

Potensi menjadi positif atau negatif masa hadapan mereka bermula daripada usia 12 tahun hingga 18 tahun. Jika ibu bapa berjaya mengawal dan menanam nilai positif pada peringkat usia ini, pasti anak-anak mereka akan terhindar daripada penyakit dadah ini.

Kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang terbabit dengan dadah, cubalah ambil sedikit masa dan renungi balik bagaimana anda 'mengurus' anak anda yang itu mulai dia berumur 12 tahun hingga anda mengesan dia mengambil dadah.

Cuba bandingkan kaedah anda dengan pendekatan yang diambil oleh jiran anda yang anak-anaknya berjaya menghindarkan diri daripada dadah. Anda tidak terlambat mengubah cara anda mengurus anak kerana anda masih ada satu, dua, tiga atau lebih anak yang perlu dilindingi daripada dadah.

Kepada saudara yang telah terjatuh dalam kancah dadah ini juga, anda sendiri tentu jauh lebih sedar seksaan yang saudara tanggung. Anda juga pastinya tidak mahu anak-anak anda mengikut langkah anda. Anda boleh lakukannya dan saya pasti anda boleh.

Buktinya boleh dikatakan semua anda yang telah beristeri, berjaya tidak melibatkan isteri anda dalam masaalah ini bukan?

Kenapa isteri anda boleh berjaya tidak terlibat sama? Ada beberapa sebab antaranya:

1. Dia mempunyai latarbelakang didikan yang berbeza dengan anda dan dengan itu dapat membezakan yang baik dan yang buruk.

2. Anda tahu dan sedar bahawa pengambilan dadah ini suatu yang tidak baik dan dengan itu anda tidak mahu isteri anda terlibat kerana kesannya tidak baik. Anda buat keputusan biarlah anda seorang sahaja. Dan anda juga berdoa supaya anak anda juga selamat seperti ibunya.

Perkara nombor 2 itu sebenarnya sedang anda lalui masa ini. Dan hendaknya jika pun untuk diri anda sendiri sudah sukar pada pendapat anda untuk undur kebelakang, namun iltizam anda untuk tidak membabitkan isteri dan anak itu merupakan satu iltizam yang amat-amat berharga bukan sahaja untuk masa hadapan isteri dan anak-anak anda bahkan juga ianya disyukuri oleh semua ahli masyarakat sekampung.

Biar pun anda tidak tahu masyarakat bersyukur dan begitu juga masyarakat tidak tahu yang anda bertekad tidak mahu membabitkan ahli keluarga anda tetapi Yang Maha Pengampun Lagi Pengasihani maha mengetahui......

'Pengorbanan' menghindarkan anak-anak dan isteri anda daripada mengikut 'kesilapan' anda itu merupakan satu sumbangan yang amat besar yang boleh anda laukan untuk masa hadapan mereka dan juga masyarakat, negeri, negara dan khususnya untuk ugama islam kita.

Jika boleh saya katakan perumpamaan yang hampir ialah anda seperti lilin...rela berkorban demi kesejahteraan anak dan isteri tersayang....

Sinar lilin akan padam akhirnya tetapi anak-anak dan isteri perlu meneruskan kehidupan. Hendaknya dalam sebuah kehidupan yang harmoni dan diberkati.....

Mohon maaf....wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl