ROMPIN 10 Mei 2012 - Seorang penyelia Felcra Tembangau di Bera maut
selepas kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan sebuah lori
balak di Kilometer 105, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah di
sini awal pagi ini.
Kejadian berlaku pukul 5.55 pagi mengakibatkan mangsa, Mohamad
Husnaini Mohamad Ibrahim, 23, maut di tempat kejadian setelah cedera
parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata,
pemandu lori balak terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum
kenderaannya memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta
dipandu mangsa.
“Ketika kejadian, lori itu dalam perjalanan dari Gemas menghala ke
Kuantan manakala mangsa ketika itu dalam perjalanan ke tempat
kerjanya," katanya hari ini. - UTUSAN