Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Friday, May 11, 2012

Felcra juga mahu disenarai di Bursa

KAMPUNG GAJAH - 9 Mei 2012 - Felcra Berhad berhasrat menjadi sebuah entiti korporat yang lebih berdaya maju dengan menggabungkan kesemua 17 anak syarikatnya di bawah satu induk lain dan disenaraikan di Bursa Malaysia, kata Pengerusinya Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, penyenaraian itu merupakan pelan jangka panjang kerana menerusi penggabungan dan penyenaraian itu, Felcra boleh menjana pendapatan RM200 juta setahun.

"Sekarang ini, kalau nak disenaraikan di Bursa (Malaysia), kalau keuntungan syarikat sebanyak RM20 juta pun boleh disenaraikan. Ini hanya cadangan saya jika saya masih menjadi pengerusi Felcra," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tapak rumah dan penyerahan rumah Program Bantuan Rumah (PBR) 2012 di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 108 peserta menerima surat hak milik tapak rumah dan 41 menerima sijil pengesahan baik pulih rumah di Parlimen Pasir Salak.

Felcra ditubuhkan pada 1966 dengan matlamat membangunkan sektor luar bandar dengan membantu penduduknya menyertai aktiviti ekonomi negara dan seterusnya meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan mereka.

Mulai 1 September, 1997, semasa dikorporatkan, Felcra ditukar nama kepada Felcra Berhad dan statusnya telah bertukar dari sebuah badan berkanun kepada sebuah syarikat milik penuh kerajaan.

Penukaran entiti korporat itu membolehkannya menyusuri bidang perniagaan yang baharu selaras dengan aspirasi pembangunan nasional.

Berbekalkan kemahiran dalam bidang pengurusan ladang dan aktiviti teras, Felcra kini sedang mempelbagaikan bidang kegiatannya bagi menyertai sektor perindustrian dan perkhidmatan serta bidang perniagaan yang sedang berkembang. - Bernama


Bursa Malaysia: Felcra mahu ikut jejak langkah Felda

PASIR SALAK 8 Mei - Felcra Berhad (Felcra) bercadang mengikut jejak Felda dengan menyenaraikan agensi perladangan itu di Bursa Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.
Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, Felcra layak disenaraikan di Bursa Malaysia kerana ia memperoleh keuntungan kira-kira RM200 juta setahun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, bagi membolehkan ia disenaraikan di Bursa Malaysia, semua 17 anak syarikat Felcra akan digabungkan di bawah satu syarikat induk.
"Ini pelan saya sebab kalau dikumpulkan anak syarikat sama dengan syarikat induk, kita boleh menjana pendapatan dan keuntungan hampir RM200 juta setahun dengan mudah.

"Dengan keuntungan sebanyak itu, bila-bila masa kita boleh senaraikan. Sekarang ini, untuk penyenaraian syarikat, untung RM20 juta pun Bursa Malaysia boleh terima. Apa lagi kalau untung beratus juta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tapak rumah kepada 108 penduduk di Changkat Lada di sini hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya sama ada Felcra berhasrat untuk mengikut langkah Felda menyenaraikan agensi itu di Bursa Malaysia.

Sementara itu, Tajuddin berkata, Felcra akan melabur RM300 juta dalam tempoh lima tahun bagi pembinaan Kolej Antarabangsa Felcra di Bandar Baru Seberang Perak dekat sini.

Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti kawasan seluas 100 hektar di Bandar Baru Seberang Perak dan sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri bagi memulakan projek pembinaan kolej tersebut.
"Kita akan mulakan pembinaan kolej ini selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri. Felcra akan melabur sebanyak RM100 juta bagi fasa pertama pembangunan kolej itu," katanya.

Kata Tajuddin, kolej itu tidak akan menawarkan kursus-kursus akademik, sebaliknya hanya menawarkan kursus industri seperti yang dikehendaki oleh pasaran.

"Kita jangkakan yuran yang dikenakan tidak begitu mahal dan Felcra mungkin memberikan subsidi. Keutamaan belajar di kolej ini juga diberikan kepada anak-anak peserta Felcra," jelas Tajuddin.

Beliau berkata, pihaknya bercadang menaik taraf kolej tersebut ke status kolej universiti selepas ia beroperasi selama lima tahun.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl