Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Sunday, December 11, 2011

Felda Semakin Kusut

11 Disember 2011 - Seperti dijangka, hari ini beberapa NGO telah mula melontarkan reaksi masing-masing berhubung notis paksaan bercuti keatas CEO Felda.

Pagi tadi Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) mendesak Perdana Menteri menarik balik arahan yang dikenakan kepada Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab supaya bercuti selama lapan bulan.


Anak rancang perhimpunan protes jika Najib tak selesai krisis Felda

GOMBAK, 11 Dis ― Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) mahu mengadakan protes besar-besaran, dijangka awal bulan depan, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menarik balik surat yang mengarahkan Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab bercuti selama lapan bulan.

Pengerusinya Mazlan Aliman (gambar) berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Najib pada 20 Disember ini, menggesa agar proses penyenaraian Felda dibatalkan, selain menarik balik surat arahan bercuti yang dikeluarkan ke atas Dzulkifli, Jumaat lalu.

The Malaysian Insider difahamkan surat itu berkuat kuasa akhir bulan lalu.

“Kami akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dan meminta beliau mengambil tindakan-tindakan ini.

“Dan, jika tidak ada apa-apa kemajuan, kami akan menggerakkan perhimpunan besar-besar seperti yang diadakan sebelum ini,” kata beliau dengan merujuk kepada perhimpunan menentang dasar PPSMI dua tahun lalu dan Bersih 2.0 Julai tahun ini.

“Kemungkinan ia akan diadakan awal tahun depan,” kata beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ketika ditemui di Markas Tarbiyah parti itu di sini malam tadi.

Anak juga akan menyerahkan memorandum sokongan kepada Dzulkifli Selasa ini berkaitan isu semasa ini.

“Kami hendak memberi sokongan kepada Datuk Dzulkifli, kami tidak mahu pegawai kanan Felda berhadapan dengan masalah seperti ini,” katanya lagi.

Kata Mazlan, pihaknya akan menyerahkan dua memorandum ini untuk menyelamatkan Felda daripada terus berhadapan dengan kontroversi dan perpecahan di kalangan para peneroka.

The Malaysian Insider difahamkan Dzulkifli akan berlepas ke United Kingdom hari ini ekoran surat arahan bercuti untuk mengikuti pengajian jangka pendek.

“Kami melihat ini usaha halus untuk menyingkirkan Datuk Dzulkifli dari Felda... jadi, kami mahu Datuk Seri Najib kembali memberi jawatan itu kepada beliau dan membatalkan surat arahan bercuti ini,” katanya lagi.

Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa Felda yang menjadi perhatian sejak beberapa bulan lalu disebabkan isu kepimpinan dan penyenaraian, dijangka berhadapan dengan kontroversi baru ekoran arahan agar Dzulkifli bercuti selama lapan bulan.

The Malaysian Insider difahamkan arahan itu dikeluarkan di sebalik dakwaan bahawa Dzulkifli, yang dilantik ke jawatan itu dua tahun lalu, tidak sehaluan dengan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dalam banyak perkara kontroversi, yang mendapat protes peneroka.

Antara perkara itu termasuklah proses penyenaraian Felda Global Ventures yang akan dilaksanakan tahun depan, isu perjanjian pajakan tanah dan kepimpinan Isa sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) sendiri.

Beberapa sumber yang rapat dengan Felda mengesahkan perkara tersebut sambil mendakwa ia memang mengejutkan banyak pihak.

Kata mereka, perkembangan itu akan merumitkan lagi dilema yang menyelubungi para peneroka.

Dzulkifli yang dihubungi pagi semalam enggan mengulas mengenai perkara itu.

Beliau yang telah 30 tahun berkhidmat di Felda sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Besar (Perusahaan Perladangan dan Pembangunan Kebun) agensi pusat itu.

Dalam pada itu, Isa yang dihubungi The Malaysian Insider juga enggan mengulas.

Isu terbaru ini muncul kira-kira dua minggu selepas Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Shamsuddin Othman meminta Isa memohon maaf atas alasan telah menghina beliau pada satu majlis terbuka.

Isa sebelum ini menegaskan beliau tidak akan meminta maaf.

Shamsudin, 59, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka Wilayah Johor Bahru, merupakan satu-satunya wakil peneroka yang berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Konfrontasi antara peneroka dengan Pengerusi Felda bermula apabila Isa didakwa dilantik secara ‘kontroversi’ menjadi pengerusi KPF dengan mengetepikan Zulkifli dan perkembangan itu menyebabkan kepimpinan Felda terpecah dua kepada dua kelompok.

Sebelum ini, Anak melancarkan kempen mendakwa Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya dalam koperasi adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai pengerusi koperasi hanya bertaraf kontrak.

Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF ialah peneroka Felda, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan Felda yang berstatus tetap.

Anak telah membawa kes berkenaan ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Manakala pada sebelah petang, sebuah NGO lagi Paksi Seniman Rakyat (Paksi) telah menyatakan sokongan kepada ANAK dalam menangani isu Felda ini.

Isu Felda: Paksi sokong Anak, anjur himpunan seniman lindungi peneroka

KUALA LUMPUR, 11 Dis — Paksi Seniman Rakyat (Paksi) hari ini melahirkan sokongan ke atas perjuangan Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) yang menuntut keadilan demi peneroka Felda ekoran pelbagai isu kontroversi akhir-akhir ini.

Ahli Jawatankuasa Paksi, Mohd Kasim Muhamad menegaskan, menyedari perkara itu merupakan helah politik kerajaan untuk menindas masyarakat Felda, Paksi akan berkolaborasi dengan Anak dalam Himpunan Seniman di Felda Sungai Tengi, Sabak Bernam, 23 Disember ini.

“Tujuan penganjuran program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada semua masyarakat Felda supaya menentang hasrat kerajaan yang semakin berleluasa menindas rakyat.

“Paksi akan mengadakan persembahan deklamasi puisi dan sajak, memprotes tindakan kerajaan dan semua karya tersebut akan didokumentasikan untuk tatapan masyarakat,” katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, isu Felda dilihat semakin meruncing ekoran isu Pengarah Besarnya Datuk Dzulkifli Abd Wahab yang diarah bercuti selama lapan bulan mulai akhir bulan lalu.

Mohd Kasim yang juga ahli jawatankuasa program perhimpunan berkata, perkara itu jelas memperlihatkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang menentang Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad akan dianggap musuh dan akan dikenakan tindakan.

Sehubungan itu, menurut Mohd Kasim, Paksi akan terus berjuang untuk menegakkan kebenaran memperjuangkan hak masyarakat Felda.

“Ini merupakan permulaan, Paksi akan bergerak ke seluruh negara dan akan terus berjuang untuk masyarakat melalui karya-karya seni kami,” tegasnya lagi.

Paksi dan Anak akan menganjurkan perhimpunan yang sama secara besar-besaran di Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

“Paksi mengharapkan seniman seluruh negara akan bersama-sama kami kerana ini merupakan program rakyat untuk rakyat,” katanya.

Isu pengapungan saham felda dan tindakan tataertib yang keterlaluan keatas pegawai kanan Felda ini akan menjadi bom jangka yang tidak mampu terduga oleh Najib.

Sebelum isu ini timbul, beberapa isu berat telah pun lama bergolak dikalangan peneroka Felda seperti:

1. Isu kadar perahan minyak sawit.
2. Penggredan Buah Tandan Baru.
3. Potongan Tabung Tanam Semula bagi peneroka yang menanam semula sendiri.
4. Tuntutan wang potongan tanaman semula.
5. Isu generasi kedua.

Sehingga ini tidak kurang 12 kes saman yang dikemukakan oleh sejumlah tidak kurang 1,500 peneroka keatas Felda telah difailkan di mahkamah. Jumlah nilai saman-saman tersebut sahaja dijangka melebehi 2 ribu juta ringgit.

Jumlah kes saman ini dijangka akan bertambah dari masa ke masa. Isu ini sebenarnya jauh lebih penting daripada tindakan mahu menggadaikan tanah Felda untuk mendapat keuntungan mudah.

Jumlah nilai saman berkemungkinan boleh mencecah 10 bilion jika tidak ditangani dengan bijak. Dan penyakit ini boleh menyebabkan Felda akan hancur berkecai.

Daripada jumlah kes saman yang semakin bertambah ini, besar kemungkinan Felda menghadapi masaalah melunaskan arahan mahkamah dan ini mendedahkan Felda di isytiharkan bangkrap.

Isa samad selaku pengerusi Felda nampaknya langsung tidak memberi perhatian kepada isu-isu yang membarah dikalangan peneroka sebaliknya terlalu fokus kepada urusniaga menggadai tanah Felda.

Nampaknya Perdana Menteri telah meletakkan orang yang tidak berkebolehan di tempat yang penting.

Wang saguhati beratus juta yang ditaburkan kepada peneroka Felda dengan kadar RM500 satu isi rumah akan menjadi ABU -Aku Buang Umno - tidak akan membuah sebarang hasil pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Di lubuk Datuk Sri Najib sendiri iaitu Felda Chini,lebih 400 peneroka telah pun mengambil tindakan untuk memfailkan saman terhadap Felda.

Dengan insiden yang menimpa Pengarah Besar Felda telah menyemarakkan lagi semangat peneroka untuk mengambil tindakan undang-undang keatas Felda.

Mereka melihat, sedangkan ketua eksekutif Felda sendiri pun diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh Isa Samad. Begitu juga nasib yang menimpa ketua peneroka Feldaboleh dimaki hamun semahu-mahunya oleh Isa.

Berdasarkan kelakuan Isa itu, apa nasib yang akan menimpa peneroka kelak?

Sila lihat paparan carian di internet menggunakan kata kunci Peneroka Saman Felda








Sungguh menggerunkan jumlahnya!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl