TEMERLOH, 23 Dis: Empat orang ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) hari ini memfailkan saman pemula terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Rosdi Ismail, Alias Ibrahim, Abdullah Mohamad dan Rakiah Sulong yang kesemuanya dari Felda Jengka 15, memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan ekuiti KPF dalam Felda Holding.
Menurut peguam mereka Mohd Harris Abdullah, beliau meminta disegerakan pengurusan kes tersebut sebelum 5 Januari ini bagi memohon ditangguhkan mesyuarat agung luar biasa itu ke satu tarikh selepas perbicaraan saman ini.
Dalam sidang medianya Harris berkata, defendan kedua (FGVH) tidak mempunyai aset atau dana yang mencukupi untuk membolehkan penyenaraian ke Bursa Malaysia oleh yang demikian Felda Holding Berhad (FHB) akan memberi pajakan selama 99 tahun ke atas tanah seluas 360,067 hektar iaitu Felda Plantations.
“Walau bagaimanapun tanah-tanah tersebut telah dimajukan dengan menggunakan wang peneroka. FGVH juga bercadang untuk mengambil alih keseluruhan ekuiti milik KPF dan 10 anak syarikat yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3.13 bilion.
“Bagi tujuan melupuskan ekuiti 10 anak syarikat KPF satu Mesyuarat Agung Perwakilan Khas akan diadakan pada 5 Januari depan. Mesyuarat yang dijadualkan itu tidak mematuhi kehendak undang-undang kecil KPF sebab itu empat ahli KPF selaku plaintif hari ini memohon injunksi,” katanya.
Turut memberi sokongan di mahkamah hari ini ialah Presiden Persatuan Anak Peneroka (Anak) Mazlan Aliman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Yusof Embong serta kira-kira 300 peneroka Felda.
Sementara itu Mazlan yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata, isu paling penting ialah kenapa penyenaraian ke Bursa Malaysia itu menggunakan harta Felda Plantations yang hasrat asal Allahyarham Tun Razak dibuka kepada peneroka.
“Perolehan daripada ladang Plantations pada masa ini sekitar RM2 bilion setahun bagaimana pula mahu dipajak sehingga 99 tahun dan sedangkan prestasi FGVH sendiri sangat buruk dan dalam keadaan kami kenal orang nombor satunya.
“Oleh itu bagi pihak Anak kami tidak akan berdiam diri dan selepas ini akan membuat bantahan sekali lagi kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menentukan status Tan Sri Isa Samad yang melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi KPF sedang beliau tidak layak.
“Demi menyelamatkan harta institusi Melayu dan peneroka ini kami juga sanggup mengumpul rakyat untuk turun menghadap Yang di-Pertuan Agong mohon penyelesaian,” katanya.
Mazlan mahu semua pihak mengenang semula apa jadinya nasib peneroka-peneroka di Felda Sungai Buaya, Sendayan dan Labu Johnson yang kehilangan tanah apabila terlalu ghairah untuk kaya dengan segera.
“Peneroka juga sepatutnya sedar apa yang terjadi kepada syarikat Beras Nasional (Bernas) dan Bank Bumiputera yang lenyap dalam sekelip mata hasil daripada permainan pemimpin politik negara.
sumber: Harakahdaily