Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Saturday, October 15, 2011

Program Imam Muda Di Masjid Felcra Sri Makmur

Santapan rohani penting untuk melahirkan generasi muda sejati, membentuk sebuah masyarakat harmoni dan sentiasa ingat-mengingati antara satu sama lain.

Pengerusi Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) kawasan Pekan, Asmayudim Uyub berkata, penganjuran program Imam Muda bertujuan mendekatkan golongan muda iaitu pelajar kepada masjid di mana aktiviti keagamaan dilaksanakan.:

Menurutnya, program itu merupakan usaha MAYC bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) di sini mendekatkan diri dengan setiap lapisan masyarakat di samping turut memainkan peranan membentuk golongan belia beriman serta berakhlak mulia.:

“Usaha melalui program dan motivasi sebegini dapat membantu belia mengenali agama dengan lebih mendalam melalui ceramah serta sesi praktikal dijalankan dalam kem ini.

“Peluang pelajar menyertai kem anak soleh yang diadakan perlu dimanfaatkan dan ia amat berharga kerana banyak ilmu ditimba sepanjang kem itu berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, tumpuan terhadap kepentingan solat serta pendedahan ilmu lain membuka minda pelajar sepertinya sebelum mereka melangkah ke alam dewasa yang penuh cabaran.


Seorang peserta, Mohd Syafik Hasaan berkata, dia seronok kerana berpeluang menyertai kem anak soleh itu yang memberi kesedaran mengenai kepentingan solat dan menghormati ibu bapa.

“Ia memberi kesan mendalam di mana anak-anak seharusnya patuh dan tidak melakukan perkara menyakiti hati ibu bapa yang menanam harapan tinggi untuk melihat mereka menjadi manusia berguna.

“Ia juga memberi kesedaran selain menguatkan diri daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah selepas memahami jenis serta kesannya terhadap mereka yang terbabit dengan najis dadah,” katanya.

Seorang lagi peserta, Mohd Nor Azmi berkata, cabaran yang bakal dihadapi golongan muda ketika melangkah ke alam dewasa memerlukan asas jati diri kukuh selain tetap berpegang kepada ajaran agama.

“Saya berterima kasih kepada penganjur kerana memilih saya dan rakan-rakan menghadiri kem ini. Semua ilmu di sini akan digunakan sebaik mungkin dalam menjalani kehidupan di landasan betul.

“Peluang menyertai kem ini juga memberi ruang kepada saya untuk mendalami amalan dituntut dalam Islam selain lebih menghargai keamanan dan keharmonian hidup berbilang kaum di negara kita,” katanya.

Seramai 39 anak-anak dari sekitar kawasan di sini menyertai program diadakan julung kali itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl