FELCRA SRI MAKMUR 10 Mac 2011 - Program Jiwa Murni membabitkan seramai 27 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bergotong-royong membaik pulih rumah penduduk miskin di sini berakhir dengan penyerahan rumah kepada penduduk terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairudin Mahmud berkata, majlis itu merupakan simbolik kepada penyerahan rumah penduduk yang sudah siap dibaiki.
Menurutnya, gotong-royong itu turut membabitkan pembinaan sebanyak dua rumah penduduk yang usang dan memerlukan ruang lebih selesa untuk meneruskan kehidupan.
“Saya berterima kasih kepada Yayasan Rahah selaku penaja utama program ini di mana mereka menyumbangkan sebanyak RM11,500 untuk membaiki dua rumah penduduk itu.
“Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada anggota TUDM Kuantan yang bergotong-royong menyumbangkan tenaga untuk program ini yang diketuai Komandan TUDM Kuantan, Kolonel Ibrahim Hashim,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini.
Khairudin berkata, selain memenuhi aktiviti tahunan, gotong-royong itu turut memberi peluang kepada mereka untuk membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan.
“Kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran TUDM dan pihak lain yang mahu menganjurkan kerja amal di sini, Mlaah, kami juga amat berbangga dengan pembabitan mereka yang turut peka dengan keadaan masyarakat sekeliling.
“Saya sebagai wakil rakyat di sini bangga kerana masih ramai prihatin dengan keadaan masyarakat di sekeliling mereka dan sudi mengorbankan masa serta tenaga untuk bersama-sama membantu golongan memerlukan,” katanya.
Sementara itu, penerima bantuan, Wan Zaleha Wan Deraman yang ditemui berkata, dia turut terharu dengan bantuan itu dan bersyukur kerana kesukaran hidupnya mendapat perhatian sewajarnya.
Menurutnya, kerosakan rumahnya sudah dibaiki dengan usaha TUDM dan JKKK yang sudi membantu meringankan beban hidup sebagai warga emas selain tidak mempunyai punca pendapatan.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak dan berharap supaya kerja mulia ini akan menjadi contoh serta ikutan kepada pihak lain dalam membantu anggota masyarakat memerlukan,” katanya
Ulasan:Program yang di usahakan oleh TUDM seperti diatas itu sangatlah baik bagi membantu pehak yang kurang berada.Walau pun begitu, suatu persoalan yang timbul ialah kenapa program baik pulih rumah usang ini di laksanakan di penempatan yang diuruskan oleh satu agensi pembangunan tanah?Apakah yang menyebabkan pemilik rumah itu tidak berkemampuan membiayai sendiri kos kerja pembaikan rumahnya sedangkan mereka ialah peserta rancangan tanah yang memiliki tanah ladang kelapa sawit seluas 8 ekar yang diuruskan oleh Felcra?Adakah Felcra gagal menyediakan sumber pendapatan yang berpatutan kepada mereka atau mereka ini sebenarnya yang tidak berupaya menguruskan pendapatan?Persoalan ini diajukan kerana sebagai peserta rancangan tanah Felcra, setiap mereka diberikan kebun sawit seluas 8 ekar setiap seorang dan sebuah rumah kediaman. Dengan keluasan tanah kebun sedemikian dan dengan harga minyak sawit yang lumayan sejak tiga empat tahun kebelakangan ini, tidak seharusnya wujud peserta Felcra yang dhaif dan tidak mampu mengurus kebajikan keluarga sendiri sehingga memerlukan bantuan pihak lain.Program yang dianjurkan oleh TUDM ini sepatutnya masuk ke kampung-kampung tradisional dimana penduduknya ada yang tidak memiliki tanah langsung, rumah pun dibina diatas tanah rizab Sungai Pahang atau tanah milik saudara mara.YB Khairuddin perlu meneliti semula program ini. Penempatan seperti di rancangan tanah Felcra atau Felda memang sudah pun menikmati pelbagai kemudahan dan sudah pun ada agensi khusus menjaga kebajikan peneroka mereka. Berilah perhatian kepada penduduk kampung tradisional yang tidak ada agensi khusus menjaga kebajikan mereka.Hanya YB Khairuddin sahaja tempat mereka mengadu.