Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Wednesday, June 13, 2012

Peserta Felcra tuntut janji

Oleh: Wartawan Sinar Harian Tarikh: June 11, 2012
BUKIT MERAH - Seramai 141 peserta rancangan Felcra kawasan Kampung Perlis, di sini menuntut agensi tersebut untuk mengembalikan sekurang-kurangnya 80 hektar tanah pajakan milik mereka yang didakwa tidak diberikan atas alasan kekurangan tanah.

Wakil peserta, Zainal Salleh,72, kesemua peserta mula menyertai rancangan Felcra pada 1991 dan memeterai perjanjian dengan Felcra untuk dianugerahkan tanah pajakan milik Kerajaan Negeri sebanyak dua hektar setiap seorang bagi mengusahakan tanaman sawit.

Bagaimanapun, kesemua peserta baru menyedari jumlah keluasan tanah yang diperoleh hanya 1.44 hektar dan kekurangan 0.66 hektar daripada syarat yang termaktub dengan perjanjian.

“Perkara ini disedari kami beberapa tahun selepas penyerahan tanah dibuat apabila Pejabat Tanah dan Galian (PTG) datang menyukat tanah kami. “Isu ini dibangkitkan peserta setiap kali mesyuarat agung tahunan Felcra bagaimanapun tiada tindakan susulan dibuat,” katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Kampung Perlis, mukim Selinsing, semalam.

Seorang lagi peserta, Abdul Razali Samsudin, 59, berkata, sejak menjadi peserta, beberapa cadangan dikemukakan pengurusan Felcra untuk membolehkan mereka mendapat pampasan lebihan 0.66 hektar antaranya di kawasan tanah  milik MK Land bersebelahan tanah Felcra Kampung Perlis.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak menjadi kenyataan dan lebih mengecewakan pembayaran dividen diberikan berdasarkan hasil diperoleh daripada keluasan tanah 1.44 hektar tanah semata-mata.

“Saya menggesa pihak pengurusan mengambil alih tanah seluas lebih 80 hektar milik MK Land bagi memastikan hak peserta dapat diselesaikan.

“Syarat yang termaktub dalam surat perjanjian merupakan perkara yang perlu dipenuhi pihak berkenaan dan saya berharap agensi itu prihatin dengan nasib kami,”katanya.

Sinar Harian berkesempatan menemui bekas Penolong Eksekutif Felcra Berhad Mohamad Halil Johari untuk mendapatkan penjelasan dan mengesahkan masalah membabitkan lebih 141 peserta Felcra Kampung Perlis memang wujud lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, Felcra perlu menyelesaikan segera tuntutan peserta memandangkan sudah dikemukakan sejak sekian lama dan kebanyakan mereka kini sudah hampir menyelesaikan baki pinjaman wang dariagensi itu untuk tujuan  penanaman sawit.

Sementara itu, Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ketika ditemui menjelaskan punca masalah pengagihan tanah kurang daripada syarat perjanjian disebabkan Felcra terpaksa menggunakan sebahagian tanah milik  peserta untuk pembinaan infrastruktur dan kemudahan asas. Katanya, tanah yang diberikan kepada peserta merupakan kurniaan Kerajaan Negeri dan Felcra hanya bertanggungjawab untuk memajukan perusahaan tanaman sawit.

“Terpulang kepada budi bicara Kerajaan Negeri sama ada mampu memenuhi tuntutan peserta atau tidak dan Felcra mungkin akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri untuk meneliti semula perkara ini,” katanya  
sumber: www.sinarharian.com.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl