Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Wednesday, February 29, 2012

Mahkamah Tangguh Pendengaran Permohonan Injuksi Felcra Terhadap 20 Peserta Felcra Nasarudin Belia

Selasa Februari 28, 2012 - IPOH: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menangguhkan pendengaran permohonan injuksi oleh Felcra Berhad terhadap 20 pesertanya bagi menghalang mereka menuai, mengutip atau memotong hasil kelapa sawit di atas kesemua 20 bahagian tanah.

Menurut peguam defendan Wan Rohimi Wan Daud, Hakim Hamider Singh menetapkan permohonan injuksi itu didengar pada 9 Mac ini dalam kamarnya apabila beliau (Wan Rohimi) memohon supaya ia ditangguhkan kerana terdapat beberapa dokumen anak guamnya yang tidak lengkap dan perlu dikemaskini.

Sementara itu, di perkarangan Mahkamah Tinggi, kira-kira 20 peserta yang diketuai Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra Kebangsaan (BAPA) Razman Zakaria, berkumpul sejak 8 pagi tadi bagi sesi pendengaran permohonan injuksi yang difailkan oleh Felcra Berhad.

Pada 13 Feb lepas, Felcra Berhad melalui Tetuan Chambers of Murthi & Partners memfailkan permohonan injuksi terhadap 20 pesertanya yang masing-masing beralamat di Felcra Nasaruddin Belia di Bota dekat sini dengan dua orang lagi daripada Syarikat Gerak Mantap Enterprise di Bota Kanan.

Permohonan injuksi itu bagi menghalang kesemua defendan daripada memasuki masing-masing 20 bahagian tanah yang terletak di Mukim Lambor Kanan, Felcra Nasaruddin Belia.

Permohonan itu juga adalah untuk menghalang kesemua defendan atau campur tangan dengan atau menuai, mengutip atau memotong buah kelapa sawit di atas tanah tersebut sama ada oleh mereka, ejen atau pekerja sesiapa pun sehingga pertikaian antara kedua-dua pihak diselesaikan dan diputuskan oleh penimbangtara yang dilantik.

Merujuk writ saman pemula itu, Felcra dalam perjanjian bertarikh 30 Mac 2006 membelanjakan RM29 juta dana pembayar cukai terhadap projek itu dan mempunyai hak kontraktual untuk menuai buah kelapa sawit bagi mendapatkan semula sebahagian daripada kos sepertimana yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Oleh kerana pertikaian itu belum diselesaikan, Felcra telah menggunapakai Klausa 21 Perjanjian Pihak-pihak untuk merujuk pertikaian tersebut kepada timbangtara.

Isu saman antara Felcra Berhad dan peserta timbul apabila peserta mendakwa terdapat pelbagai masalah yang timbul antaranya menerima hasil kelapa sawit yang tidak berpatutan dengan harga kelapa sawit sekarang, peserta masih tertanya lokasi tanah mereka sebenar dan keliru dengan hasil tanam semula serta jumlah hutang mereka kepada Felcra kerana penyata akaun untung dan rugi (PNL) tidak jelas.

Peserta mendakwa telah beberapa kali mengadakan perundingan namun ia tidak mencapat keputusan positif sehingga peserta bertindak mengambil dan mengeluarkan buah kelapa sawit secara sendiri dari ladang mereka. - BERNAMA

Kronologi

Friday, February 11, 2011

BAPA Bela Nasib Peserta Felcra Nasarudin (Belia)

11 Febuari, Felcra Nasarudin (Belia) Bota, Daerah Perak Tengah, Satu perjumpaan peserta-peserta Felcra bersama Pengarah Felcra Negeri Perak kecoh apabila kira-kira 80 peserta bertindak meninggalkan majlis perjumpaan tersebut secara beramai-ramai. Peserta-peserta tidak berpuas hati dengan tindakan Pengurus Felcra Nasarudin, Encik Saleh Sarkon yang bertindak selaku pengelola majlis tersebut hanya membenarkan 27 peserta sahaja untuk berada dalam perjumpaan itu, sedangkan kira-kira 50 Orang peserta lain beserta beberapa AJK Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) diminta untuk keluar dari majlis tersebut.

Peserta-peserta pada awalnya mahu membuat perjumpaan di Dewan Serba Guna Bilik Gerakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Nasaruddin (Belia) supaya perjumpaan secara terbuka boleh dilakukan, tetapi pihak pengurusan Felcra mahu perjumpaan tersebut dibuat di pejabat Felcra Nasaruddin (Belia) secara tertutup, Peserta-peserta kemudian bersetuju dengan kemahuan pihak pengurusan Felcra supaya perjumpaan tersebut dibuat di pejabat Felcra Nasaruddin (Belia), tetapi setelah mereka pergi ke tempat tersebut hanya 27 peserta sahaja yang dibenarkan untuk masuk dalam bilik perjumpaan manakala peserta-peserta yang lain diminta keluar, menyebabkan peserta-peserta marah dan bertindak keluar dari bilik perjumpaan beramai-ramai.

Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) Tn Hj Razman B. Zakaria yang bersama peserta-peserta pagi tadi berjanji akan membawa perkara tersebut ke Parlimen sekitar bulan Mac nanti dan meneruskan komitmen untuk membela nasib peserta-peserta felcra di seluruh Negara.

Perjumpaan itu diadakan berikutan tindakan peserta-peserta Felcra Nasaruddin (Belia) yang mahu membuat laporan polis terhadap Pengarah Executive Felcra Berhad, Pengarah Felcra Negeri Perak dan Pengurus Kawasan Felcra Nasaruddin Belia atas penyelewengan dan pecabulan hak yang berlaku terhadap mereka.

Insp Malik dari IPD Perak Tengah adalah orang yang bertanggungjawab mengatur perjumpaan tersebut supaya kes itu boleh diselesaikan secara baik. Peserta-peserta yang sebelum ini beberapa kali membuat tuntutan terhadap hak mereka, termasuk didalam Mesyuarat Agong Felcra Nasarudin pada tahun lalu tetapi tiada sebarang tindakan dan pembelaan dari pihak pengurusan Felcra .

Apabila laporan polis mahu dibuat barulah pihak pengurusan Felcra mahu mengambil cakna hal tersebut, sehingga Pengarah Felcra Negeri Perak turun untuk membincangkan hal tersebut.

Berikut adalah persoalan yang dibangkitkan oleh peserta yang sehingga kini tidak mendapat penjelasan sepenuhnya dari Pengurusan:

1. Mengapa baki hutang ladang tidak dijelaskan secara terperinci didalam “Penyata Akaun Pinjaman dan Bayaran Balik Kos Pembangunan Projek Sehingga Disember 2009”.

2. Mengapa Kos Sehektar bagi Peringkat 4 berbeza jika dibandingkan denganPeringkat lain ?

" Kos Sehektar bagi Peringkat 4 bagi tahun 2009 terlalu tinggi iaitu sebanyak RM17,965.89 sedangkan, Kos sehektar bagi peringkat lain pada 2008 hanya sekitar RM3,961.53 ?" Mohon diperjelaskan kepada para peserta agar kekeliruan dapat diselesaikan.

3. Mengapa salinan geran tidak diserahkan kepada peserta rancangan ?.
Sedangkan penanaman semula telah dijalankan ?.

Berikut adalah tuntutan permasalahan :

1. Memohon diadakan perjumpaan diantara peserta rancangan dengan Pengarah Felcra Negeri Perak dengan kadar segera.

2. Meminta penjelasan pendapatan hasil BTS bagi tahun 2009 dan 2010.

3. Memohon pihak Felcra memperjelaskan apa itu “sistem 70/30” kepada peserta rancangan dengan terperinci.

4. Kami meminta pihak berwajib menyukat kembali tanah ladang bagi meletakan batu sempadan . Ini berikutan kehilangan batu sempadan akibat penarahan tanaha yang telah dilakukan sewaktu sewaktu projek penanaman semula tempoh hari. Keadaan ini menyukarkan kami.

5. Permintaan daripada peserta rancangan supaya diwujudkan “sistem BLOK”.

6. Mendesak pihak Felcra menyegerakan pengagihan bayaran lebihan daripada 55% hasil pendapatan kepada para peserta rancangan dengan kadar awal pada musim perayaan atau waktu yang ditetapkan supaya tidak membebankan kami.Kebanyakan anak perserta rancangan masih kecil dan bersekolah.

7. Menuntut pengedaran BTS dianalisis oleh MPOB dan memohon MPOB menentukan peratusan sebenar.Pihak Felcra dituntut mengguna pakai peratusan yang dikeluarkan oleh MPOB unutk membuat bayaran kepada peserta.

Dalam pada itu Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) yang sedang rancak melakukan jelajah di rancangan-rancangan Felcra seluruh Negara akan terus memberi kesedaran serta membantu peserta-peserta untuk memdapatkan semula hak-hak mereka yang selama ini tidak diendahkan oleh pihak pengurusan Felcra.














sumber: bapafelcra.blogspot.com


Laporan Polis terhadap Felcra

Isnin, 12 September 2011 -

Seramai 37 peneroka Felcra Nasaruddin (Belia) di Bota, Perak telah membuat laporan polis berhubung kes penyelewengan pemberian hak milik tanah dan penyelewengan kos pembangunan tanah oleh pihak Felcra terhadap mereka pada 10 Sept. '11 (Sabtu).

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Seri Iskandar dengan diwakili Yusuf Mat, 50, dan ditemani 5 orang rakannya yang lain yang turut menjadi peneroka di kawasan itu. Menurut Yusuf, Felcra Nasaruddin (Belia) telah diteroka dengan tanaman kelapa sawit dan getah sejak tahun 1973 lalu dan setiap peneroka diberikan 10 ekar tanah oleh Felcra seperti yang tercatit di dalam surat perjanjian.


Katanya, tetapi sehingga kini peneroka tidak mendapat salinan surat perjanjian itu walaupun sudah memohon beberapa kali sehingga ke ibu pejabat Felcra di Kuala Lumpur. "Sehingga pada bulan Mac 2009 lalu, kami dipaksa menandatangani surat projek tanam semula dan pihak Felcra menjanjikan kepada kami tanah seluas 10 ekar. Kemudian pada bulan Julai 2009, kami telah diberi hak milik ke atas tanah itu, tetapi malangnya kami hanya mendapat 7 ekar sahaja daripada tanah itu," katanya menerusi Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (ANAK) Lembah Klang yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail.

Yusuf yang juga Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra Perak (BAPA) menjelaskan, mereka amat tidak puas hati terhadap pihak Felcra yang mungkir janji apabila tidak menyerahkan keluasan tanah yang sepatutnya diterima oleh mereka seluas 10 ekar seorang seperti yang dijanjikan dan turut tercatit di dalam surat perjanjian itu.

Katanya, mereka percaya kos pembangunan tanah yang sudah dipotong dari jumlah dividen yang diterima oleh mereka selama ini adalah berdasarkan 10 ekar tanah seperti yang dijanjikan itu dan ia tentunya amat merugikan mereka. "Kami juga percaya perkara ini adalah satu penipuan dan penyelewengan kuasa apabila surat salinan perjanjian tidak pernah diberikan untuk kami mendapatkan maklumat sebenar berkenaan kedudukan tanah milik kami," ujar beliau.

Turut hadir bersama mereka di Balai Polis Seri Iskandar, Pengerusi BAPA, Razman Zakaria (gambar kiri) dan seorang peserta Felcra Jalan Kuncu, Tapah, Perak, Ramli Kanji yang telah menang kes samannya ke atas Felcra baru-baru ini. Sementara itu, Razman berkata, kes tersebut akan dilaporkan oleh beliau kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat supaya disiasat dan dapat dibawa kemuka pengadilan.

Katanya, para peneroka yang tertindas tidak seharusnya takut untuk bertindak bagi mendapatkan keadilan kerana setiap peneroka mempunyai haknya yang tersendiri seperti yang dijanjikan.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak yakin keberanian 37 peneroka Felcra Belia mengatur tindakan awal dengan membuat laporan polis itu ekoran dari kemenangan kes saman peserta Felcra Jalan Kancu, Tapah, Ramli ke atas Felcra baru-baru ini.


sumber: tanah.pas.org.my


Peserta kesal Felcra halang masuki tanah

IPOH, 28 Feb: Peserta Felcra hari ini, berasa kesal dengan tindakan agensi kerajaan itu kerana mengambil tindakan mahkamah bagi menghalang peserta Felcra memasuki tanah mereka.

Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa), Razman Zakaria berkata, tindakan Felcra itu sangat tidak bertanggungjawab dan dilihat sebagai sebuah agensi yang menekan dan mengugut.

Katanya, secara keseluruhannya tanah rakyat yang diusahakan oleh Felcra memberi pulangan yang tidak setimpal dengan keluasan tanah jika dengan hasil yang diperolehi apabila diusahakan secara sendiri atau agensi tanah yang lain.

“Peneroka berasa tertipu dan menjadi tanda tanya sehingga sekarang berapa lama perjanjian tanah mereka dengan Felcra.

“Oleh yang demikian, peneroka masih terikat dengan perjanjian Felcra dan tidak tahu sampai bila perkara ini akan berterusan,” katanya ketika ditemui Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, hari ini.

Menurutnya, peneroka menerima hasil yang tidak berpatutan dengan harga kelapa sawit sekarang dan masalah paling berat bagi mereka ialah terpaksa menanggung hutang berganda apabila jumlah hutang tidak dinyatakan secara jelas dan terperinci.

“Pada permulaan sistem (45/55), peserta diberi 55% dan Felcra 45% walaubagaimanapun perkara ini terjadi sekarang ialah 55% Felcra dan 45% peserta,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun sudah mempunyai geran masing-masing, peneroka masih tertanya-tanya dimanakah lokasi tanah mereka yang sebenar dan ini menjadi masalah yang besar kepada peserta kerana mereka tidak tidak tahu di manakah lot tanah mereka.

Sementara itu, seorang peserta Felcra, Md Yusof Mohamad berkata, peserta telah cuba beberapa kali membuat perundingan dengan pihak Felcra namun tidak mendapat jawapan yang positif.

“Kami telah menghantar memorandum kepada Timbalan Menteri yang menjaga Felcra, Datuk Hassan Malik pada 29 Mei 20011 dan beliau berjanji akan menyelesaikan masalah ini namun janjinya hanya ‘omong kosong’ menyebabkan peserta Felcra bertindak mengambil dan mengeluarkan buah sawit secara sendiri dari ladang mereka,” jelasnya.

Menurutnya, disebabkan tindakan tersebut, Felcra telah mengambil tindakan mahkamah bagi menghalang tindakan peserta mengusaha secara sendiri.

“Ini merupakan sejarah di mana syarikat kerajaan (GLC) mengambil tindakan undang-undang ke atas rakyat dan ini menunjukkan Felcra bukannya mahu membantu rakyat sebaliknya hanya hanya mengaut keuntungan,” katanya.

Kira-kira 20 peneroka Felcra Nasarudin, Bota telah mendapat perintah mahkamah untuk pendengaran injunksi interim bagi menghalang tuan punya tanah iaitu peserta Felcra untuk memasuki tanah mereka.

Peguam, Mohammed Zambri Ibrahim mewakili peserta Felcra dalam sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Ipoh, pagi tadi.

Peguam defendan, Wan Rohimi menangguhkan kes bagi membolehkan pihak defendan memfailkan afidavit untuk memberikan jawapan terhadap permohonan Felcra itu.


sumber: harakahdaily.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl