Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Friday, February 3, 2012

Anak, Bapa, Kerabat serah memo kepada Menteri Besar Perak

IPOH, 3 Feb 2012: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) dan Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Kerabat) menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, hari ini.

Pengerusi Bapa, Razman Zakaria mengetuai penyerahan memo itu kepada wakil Zambry di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini jam 4 petang tadi.

Katanya, Kerabat mendesak kerajaan supaya menunaikan janji-janji kepada bekas tentera dan parajurit.

Ujarnya, ini kerana kerajaan berjanji akan menyediakan 7,000 lot tanah kepada bekas tentera tetapi sehingga kini janji tersebut tidak ditunaikan.

“Saya berharap janji kepada lebih 36 ribu bekas tentera dapat direalisasikan dengan segera,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga pernah berjanji dengan Majlis Bekas Tentera bahawa bekas-bekas tentera layak mendapat tanah pertanian tetapi hingga sekarang janji tersebut belum direalisasikan.

Anak pula, katanya di dalam memorandum berharap kerajaan negeri tidak menyerahkan tanah milik Felda seluas 6,800 ekar yang kini di bawah Felda Plantation yang akan tamat perjanjiannya kepada Felda Global Ventures Holding.

“Penyerahan kepada Felda Global memberi risiko tinggi yang membolehkan tanah ini tergadai kepada pihak asing,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak.

Beliau mengharapkan kerajaan negeri yang diketuai oleh Zambry tidak membenarkan perkara itu terjadi. Tambahnya, Bapa difahamkan perjanjian pihak Felcra dengan tuan tanah di kampung tradisional yang hampir 15 tahun masih tidak selesai.

“Kami mohon kerajaan negeri supaya melihat perkara ini dan mengambil keputusan sewajarnya serta melangsaikan hutang tuan tanah,” ujarnya.

Turut hadir ialah bekas pegawai tinggi TLDM yang juga Penasihat Kerabat Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid, Ketua Penerangan Dewan Ulamak Negeri, Ustaz Norazli Musa.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl