Aziz Muda , | 17 Jan 2012 |
ALOR SETAR, 17 Jan: "Sudah tidak boleh buat apa-apa lagi, nasi sudah menjadi bubur. Kamu semua yang menyerahkan tanah-tanah itu kepada syarikat itu untuk dimajukan, jadi sekarang kamu sendirilah yang mesti menerima akibatnya."
Begitulah kata-kata pemimpin-pemimpin Umno apabila 377 peneroka Felda Cahaya Baru di Masai, Johor Bahru, Johor mengadu kepada pemimpin-pemimpin pati itu, setelah menyedari mereka menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan tanah-tanah milik mereka tergadai.
Pada hal, kejadian itu berlaku setelah mereka dipengaruhi oleh para pemimpin Umno sendiri agar menyerahkan tanah-tanah milik mereka itu kepada pihak pemaju terbabit dengan janji dan harapan akan menjadi jutawan segera.
Wakil peneroka, Siti Khalijah Mohamad (gambar) berkata, namun apabila tibanya musim pilihanraya, pelbagai janji manis akan ditabur oleh para pemimpin Umno kepada para peneroka terbabit, termasuk akan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, agar mereka memberikan undi kepada Umno BN.
Menurutnya, para peneroka terbabit berada dalam keadaan amat tertekan sejak 17 tahun lalu dan kini ternyata tiada apa lagi yang mampu diharapkan oleh mereka kepada para pemimpin Umno BN.
Khalijah berucap di Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat Sabtu lepas dekat sini. Ucapan beliau mendapat perhatian khusus para pemimpin Pakatan Rakyat kerana apa yang dicakapkan beliau adalah suara hati peneroka sendiri.
Tidak percaya Umno lagi
"Terus terang saya katakan, kini para peneroka sudah tidak mempercayai lagi kepada pemimpin-pemimpin Umno BN. Jadi kepada para peneroka lain di seluruh negara, tukarkanlah sokongan anda daripada Umno BN kepada Pakatan Rakyat bagi membela nasib kita sendiri," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.
377 peneroka Felda Cahaya Baru kini sedang berhadapan dengan masalah rumit sehingga kemungkinan hilang hak milik ke atas tanah mereka kerana tanah-tanah itu telah digadai oleh pihak pemaju kepada bank.
Kejadian tersebut berlaku apabila 1,495 daripada 3,135 hektar tanah keseluruhannya termasuk kawasan kediaman yang dimiliki oleh 377 peneroka terbabit telah digadai oleh syarikat pemaju, Cahaya Bari Development Berhad (CBDB) kepada sebuah bank tempatan kerana hendak dibangunkan untuk tujuan komersial (projek perumahan dan perindustrian).
CBDB adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan pada 1 September 1993 untuk melaksanakan projek pembangunan semula kawasan Felda Cahaya Baru yang dianggotai 13 ahli lembaga pengarah yang terdiri daripada kalangan peneroka.
Bagi membangunan projek komersial itu, CBDB bersama Syarikat Lotus Consolidated (M) Sdn Bhd telah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama yang bernama Pinggir Setar (M) Sdn Bhd.
Lotus Consolidated (M) Sdn Bhd telah mendapat pinjaman sebanyak RM100 juta daripada Allied Bank (M) Bhd pada bulan September 1996 dengan mencagarkan tanah-tanah peneroka Felda Cahaya Baru.
Daripada jumlah itu, RM75 juta telah dibayar kepada CBDB, manakala peneroka-peneroka yang telah menyerahkan hak milik mereka kepada CBDB telah menerima RM140,000 tiap-tiap seorang sebagai pembayaran peringkat pertama.
Cadangan pembangunan komersial di Felda Cahaya Baru itu telah mendapat sokongan Kerajaan Negeri Johor ketika itu di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah Kerajaan Johor sendiri telah bersetuju pada dasarnya pada 7 Jun 1995 bagi tujuan pembangunan tanah Felda Cahaya Baru.
Ini menyebabkan 377 orang peneroka Felda terbabit telah menandatangani surat serah kuasa tanah milik mereka untuk tujuan pembangunan komersial itu, manakala CBDB pula telah menggunakan surat serah kuasa para peneroka itu untuk mendapatkan pinjaman bank.
Bagaimanapun, projek pembangunan komersial di Felda Cahaya Baru itu sehingga kini tidak dapat dimulakan kerana tanah-tanah itu dikategorikan dalam kelas Tanah Rezab Melayu.
Kerajaan Johor pimpinan Menteri Besar sekarang, Datuk Abdul Ghani Othman, bagaimanapun tidak pula membantu peneroka-peneroka terbabit yang kini ternyata tertipu dan teranianya oleh Lembaga Pengarah CBDB yang terdiri daripada pimpinan Umno dan juga janji-janji kosong sokongan awal Kerajaan Negeri Johor terdahulu.
Pada 14 Januari lalu, Khalijah turut menyuarakan perkara yang sama ketika berucap pada acara Ucapan Suara Nurani Rakyat pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Ketika berucap bagi mewakili warga Felda pada acara yang dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul itu, beliau menegaskan, pihak pengurusan CBDB masih lagi belum menyelesaikan baki pampasan tanah-tanah tersebut kepada peneroka-peneroka terbabit sehingga sekarang.
Katanya, tujuh peneroka yang menjadi anggota Lembaga Pengarah CBDB itu pula tidak menyerahkan surat kuasa bagi tanah mereka kepada bank, sedangkan 377 peneroka lain sudah berbuat demikian dan ini menjadikan tanah-tanah milik tujuh ahli Lembaga Pengarah CBDB itu tidak digadai.
"Maklumat berhubung pembangunan semula tanah-tanah peneroka secara komersial itu tidak dijelaskan secara terperinci kepada peneroka ketika mereka bersetuju menandatangani surat serah kuasa tanah milik mereka kepada CBDB.
"Beberapa ahli lembaga pengarah CBDB itu ternyata mempunyai kepentingan sendiri yang cuba dilindungi ketika memujuk peneroka-peneroka menandatangani surat serah kuasa," katanya.
Oleh kerana projek pembangunan itu tidak dapat dijalankan, tambahnya, tuntutan utama para peneroka itu kini adalah untuk mendapatkan kembali hak milik mereka ke atas tanah-tanah mereka yang telah tergadai itu.
"Mereka menuntut untuk membatalkan surat kuasa yang telah mereka tandatangani itu. Namun, sikap Kerajaan Negeri Johor yang mahu lepas tangan dan mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab itu amatlah dikesali, sehingga menyebabkan para peneroka terbabit terus berada dalam keadaan amat tersepit sehingga sekarang," tegas beliau.
Ulasan:
Rupanya di Johor pun ada juga peneroka yang terpedaya seperti mana di Felda Sendayan, Negeri Sembilan dan juga di Hulu Selangor.
Sudah la peneroka kehilangan tanah ladang, wang pula tidak dibayar sepenuhnya. Sepertimana di Felda Sendayan dan Hulu Selangor, sebahagian besar peneroka terlibat telah pun meninggal dunia, namun bayaran harga jualan tanah gagal diperolehi sepenuhnya sehingga sekarang.
Semua orang tahu semasa PRK Hulu Selangor baru lalu, Perdana Menteri hanya mampu membayar saguhati RM1,000.00 sahaja seorang sebagai bayaran baki daripada harga tanah ladang tersebut. Bakinya entah berapa puluh tahun lagi untuk diselesaikan.
Ketiga-tiga kes ini melibatkan kerajaan negeri masing-masing yang beria-ia mempengaruhi peneroka untuk menyertai program yang dicanangkan akan membawa pulangan yang besar sehingga akan menjadi jutawan. Tetapi realitinya berakhir dengan penipuan.
Senario diatas itu tidak mustahil boleh menimpa seluruh peneroka Felda dengan cadangan pelupusan harta Koperasi Peneroka Felda seperti yang diwar-warkan oleh kerajaan hari ini.
Barang diingat bahawa salah seorang yang pernah menyebabkan peserta felda Sendayan dahulu sengsara, merupakan pemain aktif dalam projek melupuskan aset KPF ini.