December 6, 2011 - SEBERANG PERAK - Peserta Felcra Changkat Lada dan Seberang Perak mahukan penjelasan daripada Felcra Berhad berkenaan beberapa isu yang menghantui mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Felcra Changkat Lada (Bapa) Ali Hasan berkata, beberapa persoalan perlu dijelaskan Felcra kepada peserta supaya tidak berasa tertipu.
Menurutnya, antara isu yang perlu dijelaskan adalah berkenaan perjanjian hak milik peserta dengan Felcra yang tidak diperbaharui.
“Sebelum ini memang ada perjanjian dibuat tetapi untuk tempoh tertentu dan selepas itu tidak ada perjanjian baru dilakukan.
“Jadi kami tertanya-tanya bagaimana kedudukan kami dengan Felcra jika surat perjanjian berkenaan tiada,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata Ali, selain itu, masalah batu sempadan dan lokasi kedudukan sebenar hak milik 1.2 hektar sawah dan 1.2 hektar ladang kelapa sawit setiap peserta turut menghantui mereka.
Jelasnya, sehingga kini peserta tidak mengetahui kedudukan batu sempadan hak milik mereka walaupun sudah lama menjadi ahli.
“Perkara ini sepatutnya dijelaskan dan kami perlu tahu sempadan tanah hak milik kami,” katanya.
Ali turut menyatakan terdapat beberapa kekeliruan berlaku mengenai kos pengurusan ladang peserta yang dicaj sebanyak 15 peratus.
Katanya, berdasarkan penyata untung rugi yang diperoleh daripada pihak pengurusan felcra, ada beberapa kos tertentu yang tidak sepatutnya ada turut dimasukkan.
“Sebagai contoh, kerosakan jentera, memperbaharui permit kerja asing, membeli tiket kapal terbang dan banyak lagi.
“Sepatutnya perkara itu tidak disertakan dalam penyata milik peserta kerana seolah-olah Felcra mengambil kesempatan ke atas mereka” katanya.
Isu pengendalian bendang turut timbul
Selain daripada dua masalah berkenaan, Ali turut menyatakan isu berkaitan kos operasi pengendalian bendang.
Beliau berkata, sehingga kini bendang dikendalikan Felcra mengikut musim ditetapkan kerana penanaman padi bukan berlaku selama 12 bulan.
Menurutnya, apa yang dikesalkan adalah, kos operasi sawah dikeluarkan untuk tempoh 12 bulan sedangkan ada waktu tertentu kerja sawah tidak dilakukan.
“Bagi kami, jika musim padi sudah berakhir kenapa kos operasi perlu dikeluarkan lagi sedangkan kerja sawah tidak berjalan,” katanya.
Ali turut menyatakan Felcra juga tidak membayar lebihan tan kepada peserta yang memiliki 12 Hektar sawah padi seperti diumumkan kerajaan.
Katanya, peserta juga tidak menerima insentif baja, racun dan sebagainya seperti diuar-uarkan kerajaan.
Hanya tohmahanSementara itu, Pengurus Besar Felcra Wilayah Perak, Mat Roni Zakaria menjawab persoalan yang ditimbulkan pihak berkenaan.
Menurutnya, dakwaan tiada perjanjian baru yang dibuat Felcra adalah tohmahan semata-mata.
“Hal ini kerana, dokumen perjanjian asal antara peserta dengan Felcra telah diserahkan kepada mereka pada 1983.
“Apabila Felcra berhad Seberang Perak sampai ke peringkat tanam semula, dokumen perjanjian semula antara peserta dengan felcra diserahkan kepada peserta pada 2007,” katanya.
Beliau berkata, satu salinan setiap dokumen turut disimpan dalam fail peribadi milik peserta di pejabat Timbalan pengurus Besar Wilayah Perak Seberang Perak.
Jelasnya, merujuk kepada jumlah peserta seramai 1,031 daripada 1,305 orang masih lagi bersama Felcra.
“Berkenaan batu sempadan tanah hak milik peserta, kesemua lot ladang 1,065 peserta diukur dan surat hak milik telah diserahkan kepada peserta pada 20 Februari 2008 lalu.
“Secara keseluruhannya, ukuran halus diselesaikan bagi tujuan penandaan batu sempadan,” katanya.
Kata beliau, pada 27 September lalu dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampung Gajah, felcra membawa 30 peserta iaitu 15 lot bagi ladang sawit dan 15 lot sawah bagi mengenal pasti kedudukan batu sempadan.
Katanya, proses pengeluaran hak milik tetap berada di peringkat akhir dan akan dikeluarkan PDT.
“Peserta boleh mengenal pasti kedudukan lot secara berkumpulan dan dibuat penyelarasan bersama Jupem, PDT Kampong Gajah bagi tujuan tersebut,” katanya.
Mat Roni berkata, berkenaan caj 15 peratus itu adalah tidak benar kerana Felcra hanya mengenakan caj sebanyak lima peratus sahaja bagi kos pengurusan ladang dan sawah.
Jelasnya, itu termasuk tiket kapal terbang bagi membiayai pengambilan dan menghantar pulang pekerja asing yang digunakan untuk projek berkenaan.
“Begitu juga dengan kos jentera yang berkaitan dengan operasi ladang seperti membayar sewa sebagai kos operasi,” katanya.
Berkenaan kos untuk sawah yang dikeluarkan sepanjang tahun, Mat Roni berkata, walaupun musim padi hanya lapan bulan, tetapi penyelenggaraan bagi tanah sawah perlu dilakukan untuk memastikan tanah berada dalam keadaan baik.
Terangnya, pihaknya juga akan mengagihkan lebihan pendapatan jika ada melalui sistem saham iaitu memasukannya ke dalam satu akaun pendapatan peserta.
“Bagi subsidi baja dan racun yang diterima pula, felcra akan terus menggunakannya di ladang dan tidak diagihkan kepada peserta kerana dikhuatiri akan disalahgunakan.
“Jika ada masalah sepatutnya terus merujuk kepada kami supaya tidak berlaku salah faham kerana tidak mahu dijadikan isu utama pihak lain,” katanya.
sumber: www.sinarharian.com.my