Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Monday, May 23, 2011

Status Lot Tapak Rumah Peserta Felcra Sri Makmur - bahagian 2

Semalam - 23/5/2011, penulis berkesempatan berbual dengan seorang peserta Felcra Sri Makmur Peringkat 2. Usianya lebih 50 tahun dan terpilih menjadi peserta pada tahun 1970han.

Perbualan kami berkisar kepada pelbagai perkara termasuklah soal penemuan lombong bijih besi dan juga hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan ladang dan status lot rumah peserta Felcra Sri Makmur.

Oleh kerana dalam entri berkaitan status lot tapak rumah yang terdahulu penulis tidak ada fakta sahih mengenai status lot tapak rumah, maka dalam perbualan ini penulis mengambil kesempatan bertanya peserta tersebut mengenainya.

Beliau mengesahkan semua peserta masih belum diberikan suratan hakmilik bagi lot tapak rumah masing-masing samaada bagi peserta Peringkat Satu atau Peserta Peringkat Dua. Penulis difahamkan semua peserta masih lagi belum membereskan hutang kos pembangunan, dengan sebab itu suratan hakmilik tidak dikeluarkan.

Peserta itu juga tidak dapat memastikan berapakah harga satu unit rumah beserta dengan lot tapak rumah dikenakan oleh Felcra. Beliau hanya menyebut anggaran sebanyak RM30,000 bagi setiap unit.

Penulis tidak dapat menerima sama sekali kadar harga RM30,000 bagi satu unit itu. Kadar harga itu sangat tidak berpatutan apabila dibandingkan dengan kadar harga yag dikenakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) kepada peserta Perumahan Banjir yang juga merupakan peserta Felcra Sri Makmur bagi Peringkat Tiga.

Rumah peserta Peringkat Satu disiapkan pada tahun 1973 dan peserta masuk pada hujung tahun itu. Kos pembinaan pada masa itu mustahil melebehi RM5,000.00 bagi satu unit. Tapak rumah pula bersaiz kira-kira satu per empat ekar, yang nilainya hanya kira-kira RM500.00 sahaja iaitu pada kadar RM2,000 bagi satu ekar.

Pada zaman itu harga rumah kos rendah yang disediakan oleh kerajaan di dalam kawasan bandar pun tidak melebehi RM25,000 satu unit, yang dibena daripada bahan konkrit!!!

Dengan sebab itu penulis berpendapat, jika benar harga satu unit rumah peserta Felcra Sri makmur bernilai RM30,000, kadar itu sangat tidak munasabah dan sangat menindas kerana ia hanya diperbuat daripada kayu dan asbestos, tiada kemudahan letrik dan bekalan air pun setakat dihalaman rumah sahaja.

Dalam perkara ini, samada peserta sendiri atau pun pehak pengurusan Felcra perlu telus didalam menentukan harga sebenar satu unit rumah tersebut.

Perkara ini sebenarnya berkait secara langsung dengan himpunan kos pembangunan bagi Peringkat Satu dan Peringkat Dua.

Secara mudahnya, bila suratan hakmilik belum dikeluarkan, bermakna peserta belum habis membayar hutang kepada Felcra dan Pejabat Tanah.

Persoalannya berapa banyak jumlah semua kos yang ditanggung oleh peserta?

Daripada tanaman asal getah yang telah pun ditebang dan digantikan dengan tanaman sawit yang telah pun berhasil kira-kira sepuluh tahun lalu, sepatutnya kos pembangunan telah pun selesai. Yang patut ada hanyalah kos operasi sahaja.

Berkait dengan kos pembangunan, apa yang penulis boleh fahami ada dua bahagian. Yang pertama ialah kos pembangunan peringkat awal dahulu iaitu termasuklah kos pembersihan hutan, menanam getah dan penyelenggaraan, kos operasi serta kos infrastruktur yang merangkumi kos pembinaan rumah.

Bahagian kedua ialah kos penanaman semula daripada getah kepada sawit.

Bagi kos pertama, sepatutnya ianya sudah selesai semasa keputusan menanam semula dibuat. Selesai bermaksud semua kos ladang dan kos rumah telah habis dibuat potongan.

Sayugia juga di peringatkan, kos pembinaan infrastruktur seperti pembinaan jalan dalam kawasan perumahan dan bekalan air tidak boleh dianggap sebagai kos pembangunan dan dikenakan keatas peserta, kerana ianya adalah gran daripada kerajaan.

Bagi kos tanam semula sawit, dan sistem sara hidup peserta semasa tempuh tanpa hasil selama empat tahun, Felcra, difahamkan ada mekanisma tersendiri dalam menguruskannya.

Bagi menampung sara hidup peserta sementara sawit berhasil, Felcra telah menjual batang pokok getah tua. Hasil daripada jualan batang getah itu di peruntukkan sebanyak RM14,000 bagi setiap peserta dan bayaran dibuat secara bulanan pada kadar RM200 lebih sebulan.

Manakala bagi kos tanam semula pula, Pehak Berkuasa Pekebun Kecil Getah - Risda - ada memberi peruntukkan bantuan tanam semula pada kadar RM7,000 sehektar bagi tanaman sawit (sila betulkan jika amaun ini tidak begitu tepat). Penulis menyatakan demikian kerana terdapat satu papan tanda Risda bersebelahan dengan papan tanda Felcra di tepi jalan masuk di Peringkat Satu yang membawa makna bahawa Risda ada memberi sumbangan dalam proses penanaman semula untuk Felcra Sri Makmur Peringkat Satu dan Peringkat Dua.

Felcra pada era itu dan zaman sebelumnya senantiasa berpegang bahawa kos standard memajukan ladang ialah pada kadar RM7,000 bagi setiap hektar. Ini bermakna kos tanaman semula daripada tahun kosong hingga tahun keempat berjumlah RM7,000/hekter.

Pada peringkat ini kos sedemikian sepatutnya tidak melibatkan apa-apa bentuk hutang dicajkan kepada peserta kerana ianya ditanggung oleh bantuan tanam semula Risda yang juga memperuntukkan jumlah sebanyak RM7,000/hektar.

Oleh hal yang demikian, sepanjang tempuh selepas tanaman semula, sepatutnya tidak wujud kos pembangunan dan dengan itu tidak wujud lagi apa yang dikatakan hutang peserta kepada Felcra. Yang ada hanyalah kos operasi atau kos pengeluaran semasa.

Jika ada pun apa yang dikatakan hutang pembangunan ialah saki baki hutang daripada kos pembangunan awal yang belum habis dibayar balik.

Walaubagaimana pun, jika masih ada berbaki kos lama, sepatutnya ia telah pun boleh diselesaikan, setelah tanaman sawit itu sendiri telah pun lebih kurang sepuluh tahun berhasil sehigga kini.

Pehak Felcra perlulah berterus terang mengenai semua kos-kos yang dikenakan keatas setiap peserta. Bentangkan dengan terperinci pecahan-pecahan kos, seperti contoh berikut:

1. Kos pembangunan awal dan bayaran balik.

2. Kos tapak rumah dan bayaran balik

3. Kos tanam semula dan bantuan tanam semula Risda.

4. Perbezaan kos antara kos sebenar dengan bantuan tanam semula - jika ada.

5. Jumlah hutang tanam semula - jika ada - dan justifikasi wujud hutang itu.

6. Baki hutang yang masih tertangggung oleh peserta.

Penulis percaya bukanlah satu perkara yang sukar bagi Felcra untuk membentangkan semua perkara diatas.

Disamping itu, penulis amat berkeyakinan Felcra, apabila bejaya membentangkan semua maklumat diatas, akan mampu menyediakan jadual bayaran balik mengikut tahunan.

Daripada jadual bayaran balik tahunan itulah nanti peserta akan tahu bila dijangka mereka akan selesaikan semua tanggungan mereka dan sekali gus mereka juga akan tahu bila mereka akan mendapat geran hakmilik tapak rumah mereka.

Pada masa ini, bila berhutang dengan mana-mana institusi, waima dengan ceti atau ah long sekali pun, pehak berkenaan ada menyediakan jadual bayaran balik hutang!!!!

Pehak pengurusan Felcra perlu mengambil perhatian perkara ini. Pehak peserta juga perlu memberi perhatian dan sebenarnya bukan sukar sangat untuk memahaminya. Jika peserta sendiri berasa sukar memahaminya, ada antara mereka yang mempunyai anak-anak yang berpendidikan tinggi boleh membantu ibu bapa mereka melihat perkara ini.

Tidak perlulah mana-mana pehak menggunakan NGO seperti ANAK atau BAPAK untuk menerobos isu seperti ini. Memadailah dengan adanya kesedaran diantara kedua-dua pehak iaitu pengurusan Felcra yang prihatin dan peserta yang bijaksana untuk sama-sama menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan peserta Felcra Sri Makmur.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl