Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Thursday, July 22, 2010

Utusan Malaysia: Pengawal bank mati ditembak perompak, RM20,450 dilarikan

KUALA LUMPUR 26 Okt. 2007 - Seorang pengawal keselamatan mati ditembak oleh seorang perompak yang melarikan wang tunai RM20,450 dari sebuah bank di Taman Muda, Ampang di sini hari ini.

Kamaruzzaman Hussain, 36, yang berasal dari Felcra Sri Makmur, Kuantan, Pahang meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira sejam selepas kejadian pada pukul 9.35 pagi akibat dua das tembakan yang mengenai kepala dan lengan kirinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Mazlan Mansor berkata, pengawal itu yang ternampak dengan perompak itu mengacukan pistol automatik kepada seorang kerani di kaunter bank itu cuba menghalang dengan melepaskan tembakan tetapi cubaannya tersasar.

Katanya, perompak itu membalas tembakan tersebut yang tepat mengenai kepala dan lengannya menyebabkan mangsa rebah sebelum suspek melarikan diri dengan wang tunai itu menggunakan motosikal yang diletakkan di depan bank.

Rompakan satu minit 20 saat itu berlaku semasa 12 orang termasuk kakitangan dan pelanggan berada dalam bank itu.

Bagaimanapun, kesemuanya terselamat dari sebarang kecederaan, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mazlan berkata, siasatan awal mendapati perompak itu yang berjaket hitam masuk ke bank berkenaan dengan memakai topi keledar berpenutup muka gelap kira-kira pukul 9.35 pagi.

Katanya, suspek yang berumur lingkungan 20an itu kemudiannya terus ke kaunter lalu mengacukan pistol kepada seorang kerani di situ dan kejadian itu dilihat oleh pengawal tersebut dan cuba menghalangnya.

“Mangsa rebah selepas terkena tembakan di kepalanya sebelum suspek melarikan diri bersama wang tersebut dengan menaiki sebuah motosikal,” kata Mazlan.

“Berdasarkan kelongsong peluru yang ditemui, kita percaya suspek menggunakan pistol jenis automatik manakala mangsa menggunakan `pump gun’ (senapang patah),” kata Mazlan.

Katanya, polis akan menyiasat kes ini dengan merujuk kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl