Apa jaminan FGVH untung di Bursa Malaysia
| Hazayani Zakaria, | 29 Mac 2012 | 
KUALA  LUMPUR, 29 Mac: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) terus  mempersoal pencapaian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH)  untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Salahuddin berkata, selepas  melihat rekod pelaburan FGVH di luar  negara di Suruhanjaya Syarikat  Malaysia (SSM), terdapat lebih dari  tiga syarikatnya di luar negara  mengalami kerugian.
"Apa KPI penyenaraian? Kalau mengikut apa yang  saya lihat di  SMM, FGVH di India rugi RM7 juta, FGVH di Indonesia rugi  RM3.9 juta,  Kalimantan rugi RM6.2 juta.
"Kemudian saya melihat  syarikat FGVH di Timur Tengah juga rugi  RM7.69 bilion. Amerika Utara  rugi RM27 milion," katanya dalam  pencelahan sewaktu penggulungan ucapan  titah Yang  di-Pertuan Agong  bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat  hari ini.
Naib Presiden  PAS itu berkata, rekod tersebut menunjukkan tiada jaminan FGVH selamat untuk disenaraikan ke Bursa Malaysia.
"Kalau semua pelaburan di luar negara rugi, dengan mengharapkan kumpulan itu tidak rugi, apa KPInya?
"Kalau  semua pelaburan luar negara ini rugi apa jaminan apabila  disenaraikan  di Bursa Malaysia akan mendapat keuntungan?" soalnya.
Timbalan di  Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan  bagaimanapun mempertahankan  pendiriannya bahawa pelaburan FGVH di luar  negara memberikan  keuntungan.
"Ada 42 syarikat FGVH yang untung. Yang Berhormat baru baca berapa tadi?" soalnya.
 












 
 
 
 
