| Harakahdaily, | 23 Feb 2012 | 
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Tindakan  Kelantan mahu mengambil alih tanahnya jika Felda menyerahkannya kepada  Felda Global Venture Holding (FGVH) di sokong oleh bekas defacto Menteri  Kehakiman, Datuk Zaid Ibrahim (gambar).
Bagi  Zaid, langkah Kelantan ini patut diikuti oleh kerajaan-kerajaan negeri  lain kerana tanah ini sepatutnya diberikan kepada peneroka dibawah Akta  GSA 1960.
Zaid, Presiden parti KITA berkata demikian melalui Twitternya hari ini.
Sebelum  ini, Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa memberitahu,  kerajaan negeri telah bersetuju untuk melantik sekumpulan peguam bagi  memberikan nasihat berhubung perkara ini.
Ini kerana, tindakan  Felda ini salah jika tanah itu diserahkan kepada FGVB dan akan  dicagarkan pula untuk mendapatkan pinjaman wang.
Kelantan telah menyerahkan 55,500 ekar tanah kepada Felda tetapi tidak dimasukkan peneroka oleh Felda.
Ia hanya dijadikan ladang dan diuruskan di bawah Felda Plantation.
Menurut  Husam, dalam perjanjian itu hanya dua pihak sahaja yang berhak memiliki  ladang seluas 55,500 ekar itu, iaitu peneroka Felda atau Koperasi  Peneroka Felda.
“Buat masa ini Felda Plaintation dimiliki 51  peratus oleh peneroka  melalui Koperasi Peneroka Felda, namun sekiranya  ia  dipajak pada Felda Global Ventures Holdings, pihak koperasi  peneroka  hanya memiliki 37 peratus.
“Akibatnya koperasi bukan  lagi pemegang majoriti dan ini melanggar Akta GSA 1990,” ujarnya kepada  media selepas mesyuarat exco, tengah hari semalam.
Husam menambah, Kelantan berhak mengambil balik ladang itu untuk diagih pada peneroka baru.
“Sekiranya  ini berlaku lebih kurang 8,000 peneroka baru akan disenaraikan di  negeri ini dengan agihan 4 hektar kepada setiap peneroka baru,” ujarnya
 












 
 
 
 
