|  TEMERLOH, 29 Sept:  Seramai 365 orang lagi peneroka sekitar Jengka hari ini memfailkan  saman terhadap Felda di Mahkamah Tinggi Temerloh menuntut ganti rugi  sebanyak RM175 juta. 
 Peguam R. Sivarasa memberitahu ini  merupakan saman yang kedua oleh peneroka daripada Gugusan Jengka di mana  Jun lalu 711 melibatkan pemeroka dari 16 tanah rancangan Felda seluruh  Jengka menuntut RM344 bagi jumlah kerugian selama 15 tahun (sejak 1995).
 
 Katanya, asas tuntutan peneroka ialah Felda sudah melakukan  penipuan dan pecah amanah dalam urusan kadar perahan gred (KPG) jualan  hasil sawit.
 
 “Hari ini peneroka menyaman Felda kerana menipu KPG  pada purata 18.5% sedangkan bacaan kepada contoh hasil buah kelapa  sawit yang dihantar kepada tiga makmal bebas menunjukkan kadarnya ialah  31.5% dan setelah diselaraskan peneroka percaya purata KPG tidak kurang  daripada 27%. Ini bermakna terdapat perbezaan purata 8.5% yang digunakan  oleh Felda.
 
 “Ini bukan angka yang kecil. Dengan menggunakan  angka kekurangan 8.5 peratus itu berdasarkan harga pada 2008, Felda  telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM250 setan, jika 10 tan  sebulan bermakna kira-kira RM30 ribu wang peneroka telah dirampas dalam  setahun.
 
 “Selain daripada itu peneroka mendakwa kilang Felda  juga telah memotong buah sawit yang dianggap ‘buah busuk’ dengan kadar  200 kilogram sebulan tetapi tidak dikembalikan kepada mereka dan dijual  kilang Felda,” katanya dalam sidang media selepas saman difailkan.
 
 Tambah  Sivarasa, ini membawa kerugian kepada peneroka dengan kadar RM560 x 2.4  atau RM1,344 setahun bagi setiap peneroka dan penipuan berleluasa  selama dalam tempoh 15 tahun.
 
 “Ini bermakna dalam tempoh yang  sama (15 tahun), bagi kedua-dua penipuan, Felda telah menyebabkan  kerugian sebanyak RM175 juta kepada peneroka. Dicampur dengan tuntutan  711 peneroka dulu (RM344 juta) bermakna peneroka Jengka saja telah  menuntut RM520 daripada Felda,” tambahnya.
 
 Turut hadir dua orang  peguam lagi yang mewakili peneroka Lateefa Koya dan T. Kumar. Hadir  sama Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda Pusat Suhaimi Said, Pemangku Ketua  Perhubungan PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Ahli Dewan Undangan Kuala  Semantan Syed Hamid Mohamad serta para peneroka.
 
 Tambah  Sivarasa, apa yang berlaku ini memangnya penipuan yang jelas serta pecah  amanah daripada Felda sedangkan seperti disebut hakim dalam kes  peneroka Kemahang saman Felda, bahawa Fela sepatutnya menjaga peneroka  bukannya menipu.
 
 Sementara itu Suhaimi Said dalam sidang media  yang sama memberitahu sebelum ini peneroka dari Gugusan Bera juga telah  menyaman Felda atas isu yang sama menjadikan sehingga kini kira-kira  1,700 peneroka telah berbuat demikian.
 
 Bagaimanapun, Suhaimi  berkata, peneroka bukanlah berminat sangat untuk menyaman Felda kerana  mereka lebih cenderung untuk berunding.
 
 “Malangnya setiapa kali  apabila wakil peneroka pergi ke ibu pejabat Felda, mereka akan dimaki  hamun dituduh tidak mengenang budi. Sedangkan dalam kes ini setiap  peneroka kerugian kira-kira RM700 ribu dalam kes KPG, TTS dan  sebagainya.
 
 “Jika Felda mengembalikan hak peneroka yang ditipu  selam aini itu lebih baik kerana peneroka telah banyak berkorban untuk  menyumbang kepada ekonomi negara dan keuntungan Felda selama ini,”  ujarnya.
 |