Selamat Datang Ke Felcra Sri Makmur Blog

Saturday, April 2, 2011

Kursus Penampilan Dan Imej & Tarian 1Malaysia

Kursus Penampilan Dan Imej & Tarian 1Malaysia

Tarikh : 25 Mac 2011 - 27 Mac 2011 (Jumaat hingga Ahad)
Masa : 8.30 pagi - 12.00 malam
Peserta :35 orang daripada 14 Homestay di seluruh Negeri Pahang
Tempat : Homestay Kg Sri Makmur, Pekan, Pahang

Aktiviti :

1. Lawatan ke Bengkel Kueh Bangkit, Air Terjun Lata Mentagan, Pusat Tenun DiRaja Pahang, Bengkel WADIRA (demonstrasi kuih gunting) dan MID FB Sri Makmur

2. Kursus Penampilan Imej (Grooming) Dan Tarian 1Malaysia.
- Penceramah/jurulatih terdiri daripada Pegawai Kementerian Perlancongan Malaysia

3. Malam Kebudayaan
- Pertunjukan dari wakil Kementerian Perlancongan dan Penduduk Kg Sri Makmur

4. Majlis Penutup oleh ADUN Pulau Manis YB En Khairuddin Bin Mahmud.

Tujuan :
Kursus ini diadakan adalah untuk memantapkanlagi cara penonjolan imej masyarakat homestay untuk berhadapan dengan pelbagai pelanggan di masa hadapan serta meningkatkan kemahiran tarian untuk pertunjukan setiap program homestay dimasa akan datang.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pengurus MID FB Sri Makmur di talian 019-927 0393 / 017-984 8530

Ulasan:

Program ini bagus. Walau bagaimana pun sehingga ini tindakan untuk mempromosi program Homestay Felcra Sri Makmur masih belum kelihatan berkesan.

Apabila ditaip keywords "Homestay Felcra Sri Makmur" di enjin carian google, yang keluar ialah blog ini dan laman Facebook Felcra Sri makmur.

Hanya maklumat Saudara Umar bin Kasim yang mencatatkan mengenai tawaran rumah beliau. Itu pun melalui laman web http://m.go2homestay.com/?p=1502.

Pehak yang berkaitan dengan program Homestay Felcra Sri Makmur ini, khususnya anak-anak muda yang mengendalikan facebook Felcra Sri Makmur patut membina satu laman web atau blog khusus untuk mempromosi projek ini.

Apa yang ada dalam facebook itu tidak langsung mengandungi apa-apa maklumat mengenai siapa yang menawarkan perkhidmatan homestay, apa program yang ditawarkan disekitar dan maklumat-maklumat lain yang boleh membantu memasarkan program ini.

Perhatikan paparan enjin carian google dibawah
dan sila anda buat carian untuk Homestay Felcra Sri Makmur - tiada satu pun topik yang anda klik akan memaparkan maklumat mengenai projek itu.


Sila bandingkan dengan Homestay Kampong Salong. Bila anda klik topik yang berkaitan, akan memaparkan malumat yang terperinci mengenai program itu.

Oleh itu saya menyeru anak-anak muda Felcra Sri Makmur, disamping ber"facebook", silalah berbuat sesuatu untuk mempromosi projek ini melalui laman web atau blog.

Jangan bergantung 200% kepada agensi kerajaan. Anda semualah yang patut membantu saudara mara dan ibu bapa anda yang mendaftar dalam porgram ini.
read more...

Felcra pecat mandor serah memo pada menteri?

KUALA LUMPUR, 2 April: Seorang mandor ladang di Felcra Seberang Perak II diberhentikan kerja serta-merta berkuat kuasa 30 Mac lalu kerana didakwa memalukan dan mencemarkan nama baik Felcra.

Ishak Saari dikenakan tindakan tersebut sehari selepas beliau menyertai rombongan menyerahkan memorandum berkaitan masalah dan tuntutan warga Felcra di Perak kepada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malik di Parlimen.

Ishak telah berkhidmat di Felcra berkenaan kira-kira empat tahun, bermula Februari 2007.

Menurut Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman, Ishak dipecat oleh pengurus kawasan Felcra tersebut, Rodzi Mohd Salleh setelah mendapat arahan daripada Pengurus Besar Felcra Seberang Perak, Mutalib Tais.

Beliau memberitahu, selain tindakan memecat Ishak, beberapa peserta Felcra yang dilihat lantang menyuarakan permasalahan Felcra telah diberi amaran akan menerima nasib yang sama seperti Ishak.

Mengulas tindakan pihak Felcra tersebut, Mazlan menyifatkan janji Hassan dalam pertemuan 29 Mac lalu sebagai satu pendustaan kepada peserta Felcra.

Hassan dalam pertemuan tersebut berjanji akan memanjangkan tuntutan peserta Felcra kepada Menteri dan 'gembira' dengan pendekatan dialog yang dipilih mereka.

"Saya cukup kesal dengan tindakan yang diambil terhadap peserta Felcra tanpa alasan yang kukuh dan apa yang dijanjikan oleh Timbalan Menteri (Hassan) itu satu pendustaan semata-mata sebaliknya tekanan dikenakan kepada peserta Felcra termasuk pegawai-pegawai yang berkhidmat turut diberi amaran keras," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Pemecatan ini juga tegaskan menggambarkan rakyat langsung tidak diberi peluang untuk menyuarakan hak mereka kepada pihak atasan.

"Felcra semakin melampau. Bukan nak menyelesaikan masalah yang diajukan kepada mereka tetapi mengugut peserta.

"Pintu untuk rakyat menyuarakan masalah mereka kepada Menteri, Suhakam, tertutup rapat. Ini sangat tidak demokrasi," tegasnya.

Sehubungan itu, Mazlan berkata pihaknya sedang berunding dengan peguam untuk meneliti perkara tersebut bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Felcra.

Satu pertemuan dengan peserta Felcra seluruh Perak juga katanya akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan kedudukan perkara tersebut.

Beliau turut mengulangi desakan agar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Apdal dan Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menangani permasalahan warga Felcra secara profesional.

"Saya minta menteri dan pengerusi Felcra mengotakan janji supaya sebarang isu hendaklah ditangani dengan profesional bukan mengenakan tindakan sewenang-wenangnya," katanya.

Ulasan:

Macam mana Tajudin nak tangani masaalah seperti itu sedangkan dia sendiri pun menyelesaikan masaalahnya dengan pemandu felcra bukan menggunakan akal fikiran sebaliknya menggunakan tangannya.

Tajudin sendiri pernah memukul pemandunya atas sebab pemandu Felcra itu gagal menghantarnya ke satu majlis TPM tepat pada masanya.

Kisah Tajudin bergaduh dengan pemandunya
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 Okt: Kisah Pengerusi Felcra, Datuk Tajudin Abdul Rahman, bergaduh dengan seorang pemandunya di hadapan lebih 400 warga Felcra pada 3 Mei lalu kini tersebar luas dan mendapat perhatian ramai.

Ia menarik perhatian kerana kecaman Tajuddin terhadap bekas pemandunya yang juga seorang kakitangan Felcra berlaku di majlis yang berlangsung pada 3 Mei di Ibu pejabat Felcra, Jalan Rejang Setapak Jaya lalu di jawab secara berdepan oleh pemandu berkenaan.

Hasilnya, 15 minit pertama perhimpunan warga Felcra itu menjadi tempat melepaskan geram Tajudin kepada pemandu berkenaan.

Harakahdaily yelah mendapat audio rakaman pertembungan berkenaaan. Berita awal mengenai hal ini telah disiarkan dalam akhbar politik Siasah keluaran hari ini.

"Mana dia, hari ini ada dia datang...mana dia," tanya Tajudin di perhimpunan itu. Orang ramai yang menyertai perhimpunan itu menjawab,"Ada...dia ada."

"Saya yang buat laporan polis," kata pemandu berkenaan yang tampil ke depan di majalis perhimpunan itu.

"Mana dia laporan polis itu," tanya Tajudin.

"Mana dia tanda kena pukul," tanya Tajudin bertalu-talu.

"Ada, ini dia," kata pemandu itu.

"Mari sini," kata Tajudin..."Biarkan perkara ini diselesaikan di sini...mana dia tanda kena pukul itu...mana....mana," tekan Tajudin.

"Mana ada...dah lama," sampuk satu suara yang kedengaran dari rakaman itu.

"Kenapa polis tak datang sampai hari ini...kenapa tidak ada sebarang tindakan (terhadap dia)," tekan Tajudin lagi.

Ekoran itu, pemandu berkenaan tampil ke depan di majlis itu dan kedengaran berkata:-

"Majlis rasmi start pukul lapan, Datuk keluar rumah 9.05 malam....satu jam lewat...Datuk tahu saya orang baru. Dia tunjuk jalan, masuk kiri masuk kanan sampai jumpa jalan mati," kata pemandu itu diiringi tepukan kakitangan Felcra yang hadir di majlis itu.

Ekoran itu, ia telah menaikkan darah Tajuddin dan berkata, "Saya tidak minta tepuk...tak perlu tepuk, ini bukan majlis politik," dengan nada marah.

"Saya minta ambil tindakan mahkamah hari ini juga,....kenapa selepas enam bulan tidak ada tindakan," kata Tajuddin marah dan mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap pemandu berkenaan kerana memalukannya.

"Dia kata dia hormat tetapi dia buat laporan polis. Saya sabar hampir beberapa bulan kerana saya fikir dia budak tidak perlu ambil tindakan. Tetapi hari dia nak tunjukkan dia benar, saya tak takut," kata Tajudin.

Menurut sumber Harakahdaily, peristiwa yang membawa pergaduhan secara berdepan di hadapan kakitangan Ibu Pejabat Felcra ini berlaku pada 21 Oktober 2009 lagi.

Ketika itu, dua pemandu Tajudin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak tidak dapat membawanya kerana seorang sakit dan seorang lagi terpaksa cuti secara tergesa-gesa.

Pemandu ini telah diarahkan membawa Tajudin ke satu majlis di rumah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Namun, mereka tidak jumpa rumah berkenaan. Tajudin menyalahkan pemandunya dan memukul kepala pemandunya dan mengambilalih stering kereta.

Ekoran pukulan itu, pemandu itu membuat laporan polis pada keesokan harinya (22 Oktober) di Balai Polis Johor Bahru Central, Johor.

Ekoran kejadian di ibu pejabat Felcra pada 3 Mei itu, pemandu berkenaan dikatakan telah membuat sekali lagi laporan polis iaitu pada 4 Mei sehari selepas keajadian itu. Laporan kali ini dibuat di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Dalam majlis pada 3 Mei itu, Tajudin yang berucap di majlis itu marah-marah kerana pemandu berkenaan telah membuat laporan polis kononnya dia telah dipukul kira-kira enam bulan sebelum itu.

"Ada laporan kata, saya pukul driver saya....seluruh orang di Perak pun tahu. Kononnya supaya menteri ke, perdana menteri ke tidak dengar cakap saya, dengar cakap dia," mula Tajudin mengaitkan isu ini dalam ucapannya itu.

"Budak driver ini bawa saya pada satu malam nak pergi rumah Tan Sri Muhyidin...ada dalam blog pun...pembangkang gunalah ini, kita dok bagi buahnya," kata Tajudin.

"Nak pergi rumah Tan Sri Muhyidin, dia tak tau jalan...pusing-pusing, dekat satu jam...aik bila nak sampai, majlis nak habis dah...nak suruh saya senyum je dalam motokar...siang tadi kamu tidak pergi recky, mana rumahnya, senang kita nak pergi. Sudahnya saya pula ambil stering bawa dia, dia jadi bos..kita pula jadi diriver dia, hotlah kita," Tajudin memulakan serangannya kepada drivernya itu dalam perhimpunan bulanan yang disertai oleh semua kakitangan ibu pejabat Felcra termasuk semua pegawai kanannya.

Di majlis itu, Tajudin yang akan tamat kontraknya pertengahan Oktober depan turut memperkenalkan CEO baru Felcra Berhad.

"Esoknya, dia boleh berani pergi buat laporan polis dan dakwa dia kena pukul...tak ada tanda pun," kata Tajudin.

Ekoran itulah, pemandu Felcra itu bangun dan memberikan penjelasan di majlis itu dengan di sambut tepukan gemuruh perserta perhimpunan bulanan di Auditorium Felcra Berhad itu.


Akibat daripada insiden ini, CEO Felcra tidak disambung kontraknya. Inilah gaya Tajudin....

Jangan harap isu mandor ini akan dapat keadilan melainkan melalui tindakan undang-undang.
read more...

Thursday, March 10, 2011

Ganding bahu baik pulih dua rumah


FELCRA SRI MAKMUR 10 Mac 2011 - Program Jiwa Murni membabitkan seramai 27 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bergotong-royong membaik pulih rumah penduduk miskin di sini berakhir dengan penyerahan rumah kepada penduduk terbabit. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairudin Mahmud berkata, majlis itu merupakan simbolik kepada penyerahan rumah penduduk yang sudah siap dibaiki.

Menurutnya, gotong-royong itu turut membabitkan pembinaan sebanyak dua rumah penduduk yang usang dan memerlukan ruang lebih selesa untuk meneruskan kehidupan.

“Saya berterima kasih kepada Yayasan Rahah selaku penaja utama program ini di mana mereka menyumbangkan sebanyak RM11,500 untuk membaiki dua rumah penduduk itu.

“Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada anggota TUDM Kuantan yang bergotong-royong menyumbangkan tenaga untuk program ini yang diketuai Komandan TUDM Kuantan, Kolonel Ibrahim Hashim,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini.

Khairudin berkata, selain memenuhi aktiviti tahunan, gotong-royong itu turut memberi peluang kepada mereka untuk membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan.

“Kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran TUDM dan pihak lain yang mahu menganjurkan kerja amal di sini, Mlaah, kami juga amat berbangga dengan pembabitan mereka yang turut peka dengan keadaan masyarakat sekeliling.

“Saya sebagai wakil rakyat di sini bangga kerana masih ramai prihatin dengan keadaan masyarakat di sekeliling mereka dan sudi mengorbankan masa serta tenaga untuk bersama-sama membantu golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Wan Zaleha Wan Deraman yang ditemui berkata, dia turut terharu dengan bantuan itu dan bersyukur kerana kesukaran hidupnya mendapat perhatian sewajarnya.

Menurutnya, kerosakan rumahnya sudah dibaiki dengan usaha TUDM dan JKKK yang sudi membantu meringankan beban hidup sebagai warga emas selain tidak mempunyai punca pendapatan.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak dan berharap supaya kerja mulia ini akan menjadi contoh serta ikutan kepada pihak lain dalam membantu anggota masyarakat memerlukan,” katanya

Ulasan:
Program yang di usahakan oleh TUDM seperti diatas itu sangatlah baik bagi membantu pehak yang kurang berada.

Walau pun begitu, suatu persoalan yang timbul ialah kenapa program baik pulih rumah usang ini di laksanakan di penempatan yang diuruskan oleh satu agensi pembangunan tanah?

Apakah yang menyebabkan pemilik rumah itu tidak berkemampuan membiayai sendiri kos kerja pembaikan rumahnya sedangkan mereka ialah peserta rancangan tanah yang memiliki tanah ladang kelapa sawit seluas 8 ekar yang diuruskan oleh Felcra?

Adakah Felcra gagal menyediakan sumber pendapatan yang berpatutan kepada mereka atau mereka ini sebenarnya yang tidak berupaya menguruskan pendapatan?

Persoalan ini diajukan kerana sebagai peserta rancangan tanah Felcra, setiap mereka diberikan kebun sawit seluas 8 ekar setiap seorang dan sebuah rumah kediaman. Dengan keluasan tanah kebun sedemikian dan dengan harga minyak sawit yang lumayan sejak tiga empat tahun kebelakangan ini, tidak seharusnya wujud peserta Felcra yang dhaif dan tidak mampu mengurus kebajikan keluarga sendiri sehingga memerlukan bantuan pihak lain.

Program yang dianjurkan oleh TUDM ini sepatutnya masuk ke kampung-kampung tradisional dimana penduduknya ada yang tidak memiliki tanah langsung, rumah pun dibina diatas tanah rizab Sungai Pahang atau tanah milik saudara mara.

YB Khairuddin perlu meneliti semula program ini. Penempatan seperti di rancangan tanah Felcra atau Felda memang sudah pun menikmati pelbagai kemudahan dan sudah pun ada agensi khusus menjaga kebajikan peneroka mereka. Berilah perhatian kepada penduduk kampung tradisional yang tidak ada agensi khusus menjaga kebajikan mereka.

Hanya YB Khairuddin sahaja tempat mereka mengadu.
read more...

Sunday, March 6, 2011

Harga Getah Dan Felcra Sri Makmur

Sejak pertengahan tahun 2010 hingga Februari 2011 harga getah naik melambung hingga ke paras RM7.80 sekilogram skrap. Pengingkatan harga ini memberi cahaya gemilang kepada pemilik dan juga pekerja kebun getah.

Secara otomatiknya pendapatan pekebun getah turut meningkat sekiranya mereka mengambil kesempatan dengan usaha yang maksimum mengeluarkan hasil daripada kebun masing-masing.

Bagi pekebun yang rajin, mereka akan ke kebun seawal jam 7.00 pagi untuk menoreh. Manakala bagi yang tiada kebun sendiri pula, mereka mengambil upah bukan satu lot, malah ada yang dua, tiga atau empat lot!.

Kenaikan getah yang begitu tinggi merupakan satu sejarah yang belum pernah tercapai sejak wujudnya negara ini.

Sewajarnya peluang ini dimanafaat sepenuhnya oleh pekebun atau pekerja kebun getah.

Namun begitu, di perhatikan kenaikan harga getah yang sepatutnya juga melonjakkan pendapatan mereka yang terbabit tidak mendatangkan impak yang sepatutnya bagi penduduk Felcra Sri Makmur.

Sepatutnya dengan kadar harga getah yang tinggi akan dapat dilihat kesannya kepada peningkatan kualiti hidup mereka yang terlibat, umpamanya kesan ketara yang mudah dapat dilihat ialah penambahbaikan bangunan kediaman atau peningkatan penggunaan masa bekerja yang lebih tinggi.

Impak ini sepatutnya boleh dilihat kepada kebanyakan peserta Felcra Sri Makmur Peringkat Satu dan Peserta Rumah banjir kerana mereka ini seratus peratus adalah merupakan penduduk tempatan yang memiliki kebun di kampung asal masing-masing yang jaraknya hanya beberapa kilometer sahaja dari Felcra Sri Makmur.

Sayangnya tidak nampak kesan ketara daripada peningkatan harga getah ini kepada kehidupan sosial mereka. Mereka masih ditahap lama pada kitaran harga getah pada RM2.00 sekilo!!!!

Bila diperhatikan disekitar kedai kopi atau warung, saban masa ada sahaja yang berlonggok bersembang sepanjang masa. Jika dilihat pada pukul 7.00 pagi, 10,00 pagi atau petang kedai kopi atau warung ini sentiasa dipenuhi oleh pelanggan yang bersembang panjang!!!!

Di sepanjang jalan ke kawasan kebun pula, didapati mereka yang ke kebun akan pergi bermula daripada jam 8.30 atau 9.00 pagi. Jam 10.30 sudah pun pusing balik ke rumah.
Masa untuk bekerja secara purata hanya 2 hingga 3 jam sahaja sehari bagi sebahagian besar daripada mereka.

Amatlah pelik melihatkan merka ini tidak langsung mahu berusaha merebut peluang menambah pendapatan daripada kenaikan harga getah ini.

Jika masa harga getah RM2.00 sekilo dahulu, mereka menoreh dari pukul 8.30 hingga 10.30, begitulah juga masa harga getah mencecah RM7.80 sekilo pun, mereka tetap menoreh hingga pukul 10.30 juga. Tidak ada perubahan!!!!

Jika rajin ke kedai kopi, dailog yang biasa kedengaran dalam acara bersembang sesama mereka ialah "aaa..hari ni kawan menoreh untuk RM70.00 saja..." Disambung oleh yang lain "kawan hari ni buat lebih sikit...adalah dalam RM150.00 ... sebab besok rasanya malas nak noreh..."

Inilah dialog yang biasa dituturkan. Bayangkan berapa pokok sahaja mereka menoreh setiap hari untuk dapatkan 10kg skrap?

Bukannya tidak ada bilangan pokok yang banyak malah jika ditoreh sepenuhnya, perlukan masa lima atau 6 jam baru siap satu lot kebun.

Malah ada juga penoreh yang memawah kebun seluas 8 ekar mengambil masa 6 hari baru siap satu pusingan menoreh. Bayangkan betapa ruginya penoreh itu dan juga tuan kebun pada hal kebun itu patut disiapkan dalam dua hari sahaja.

Macam mana hendak siap satu pusingan dalam dua hari bila sampai ke kebun pukul 8.30 pagi dan balik pukul 9.50 atau 10.15 pagi? Tuan kebun masih tengah ralit menebas, si penoreh dah start motor untuk balik!!!

Dengan sebab sikap yang tidak bersungguh-sungguh atau sikap sambil lewa inilah yang mendorong pemilik kebun lebih suka mengambil pekerja Indonesia melakukan kerja menoreh. Pekerja Indonesia bekerja 12 jam sehari.

Bukan pemilik kebun sahaja yang mual dengan sikap orang tempatan, malah pihak Felcra sendiri pun sudah lama menggunakan tenaga kerja impot, malah sudah berpuluh tahun Felcra menggunakan tenaga kerja daripada Thailand, Indonesia dan Bangladesh.

Sikap buruk ini sepatutnya telah lama dikikis. Kesempatan harga getah yang tinggi ini sepatutnya dipergunakan dengan sepenuhnya bagi faedah diri dan keluarga.

Sepatutnya di Felcra Sri Makmur ini sudah tidak ada penduduk yang boleh dikategorikan sebagai miskin atau dhaif. Tidak ada projek-projek memperbaiki rumah penduduk miskin oleh TUDM atau tidak wujud PPRT.

Bukan tidak ada peluang pekerjaan samada diladang Felcra atau kebun getah di kampung tetapi kerana sikap yang tidak berubah menyebabkan masih wujud fenomena kemiskinan melampau.

Apa lagi yang mampu dilakukan oleh kerajaan, Felcra dan JKK untuk mengubah nasib mereka ini melainkan mereka sendiri yang sedar mahu berubah daripada hidup dihimpit kesusahan kepada kehidupan yang lebih selesa.

Untuk keluar dari kesempitan hidup ini hanya perlu berubah sedikit sahaja. Berubah daripada malas kepada rajin. Berubah daripada menoreh 2 jam sehari kepada 6 hingga 8 jam sehari. Berubah daripada hanya hendakkan RM70.00 sehari kepada RM200/RM400 sehari.

Bukan mustahil untuk dapatkan RM200 sehari. Jika anda menoreh kebun seluas 6 ekar, anda pasti dapat 70kg hingga 100kg sehari. Dengan 70kg getah skrap, anda akan dapat RM500 pada paras harga RM7.30/kg dan setelah dibahagi dua dengan tuan kebun, anda akan dapat RM250.00!!!

Atau jika anda sendiri tuan kebun, semua RM500 itu milik anda!!!!

Atau anda akan tunggu harga getah jatuh RM2.00 sekilo barulah anda mengeluh kesal!!!
read more...

Friday, March 4, 2011

Masaalah Penagihan Dadah Di Felcra Sri Makmur

Gejala sosial yang melanda anak-anak peneroka Felda sudah menjadi perkara lazim. Dimana-mana penempatan Felda tidak terlepas daripada gejala penagihan dadah dikalangan anak-anak penerokanya.

Fenomena ini tidak terkecuali turut menimpa anak-anak peserta Felcra Sri makmur, Pekan, Pahang. Mereka-mereka yang terlibat bermula daripada yang berumur belasan tahun iaitu remaja yang tercicir diperingkat SPM hinggalah yang berumur hampir 40 tahun.

Keterlibatan generasi kedua ini dengan gejala ketagihan dadah amat memberi kesan negatif terhadap kedamaian masyarakat setempat dimana telah mencetuskan masaalah sosial yang amat berat.

Kes-kes pecah rumah dan mencuri amat kerap berlaku di Felcra Sri Makmur, yang melibatkan penagih-penagih dadah. Mereka ini terpaksa melakukan aktiviti anti-sosial bagi mendapatkan wang untuk meampung perbelanjaan membeli dadah.

Mereka ini juga amat kerap terlibat dengan kegiatan mencuri getah skrap di kebun-kebun getah di sekitar Kampung Sri Makmur. Penagih dadah ini tidak meilih mangsa. Mereka mencuri getah skrap milik siapa sahaja termasuk getah skrap milik ibu bapa sendiri malah ada penagih dadah yang mencuri getah skrap milik isteri.

Pagi hari menghantar isteri ke kebun untuk menoreh getah. Tengah hari pergi jemput isteri balik dari kebun. Waktu petang, pergi mencuri getah skrap isteri!!!

Pada awal bulan Mac baru ini, beberapa kehilangan barangan besi termasuk besi palang jalan masuk ke ladang Felcra telah berlaku.

Pihak polis telah melakukan operasi menjejaki penjenayah/penagih dadah ini dan sehingga ini tidak kurang daripada empat orang telah ditahan untuk soalsiasat.

Apabila berlangsungnya operasi seperti ini, dengan mendadak kes-kes kecurian menurun!!!

Gejala penagihan dadah dikalangan generasi kedua di Felcra Sri Makmur macam sudah tidak terkawal lagi. Ibu bapa yang menmpunyai anak yang terbabit dengan dadah semacam sudah putus asa dan sudah tidak tahu berbuat apa-apa lagi. Hanya berserah kepada takdir.

Rasanya sudah mangli, sudah tidak ada makna apa itu harga maruah sebuah keluarga dan ada yang bertindak seperti badak pekak terhadap apa sahaja perlakuan anak yang terbabit dengan dadah.

Dalam satu keluarga ada yang mempunyai dua, tiga atau empat anak yang terbabit dengan dadah. Bila begini keadaannya, sudah tentu keadaan masyarakat sudah tidak tenteram lagi. Setiap isi rumah berada dalam situasi kebimbangan setiap masa akan menjadi mangsa pecah rumah, kecurian harta benda dan pemilik kebun getah pula sentiasa berasa tidak selamat hasil kebun mereka.

Situasi ini sudah lama berlautan berlaku. Sudah berbelas tahun.

Sungguh pun pihak polis sentiasa menjalankan usaha pencegahan dengan dibantu oleh Pasukan Rela tempatan, tetapi tidak begitu memberi kesan kerana penagih/pencuri ada dalam rumah sendiri!!!

Apa yang menakutkan dimasa hadapan ialah gejala pengihan ini akan terus merebak dari generasi kedua iaitu anak peserta akan berjangkit kepada generasi ketiga iaitu cucu peserta yang masih berada dibangku sekoah rendah dan menengah pada hari ini.

Selepas sepuluh atau lima belas tahun akan datang, generasi pertama iaitu peserta telah pun tiada. Tinggallah generasi kedua yang terdiri daripada penagih dadah dan generasi ketiga yang akan mendominasi Felcra Sri Makmur ini.

Bolehkah diharap generasi kedua yang telah pun dikuasai oleh dadah mencegah generasi ketiga dan keempat daripada terbabit dengan dadah?

Sedangkan mereka sendiri (generasi kedua) pada masa ini dan masa lalu adalah kumpulan yang mencetuskan masaalah sosial yang teruk di kampung sendiri.

Anggota masyarakat Sri Makmur yang masih bebas atau yang sedang terbabit dengan masaalah sosial ini perlulah membina kekuatan dalam diri untuk berazam memastikan anak-anak serta cucu-cucu dihindarkan sejauh-jauhnya daripada terjebak dengan dadah.

Jika sebelum ini ada ibu bapa yang menjadi pelindung kepada anak-anak yang terjebak dengan dadah. hendklah mula berubah dengan memberikan kerjasama kepada pihak polis supaya anak-anak yang malang ini dapat dihantar kepusat-pusat pemulihan.

Tidak ada apa yang hendak dimalukan dengan menyerahkan anak malang ini ke pusat pemulihan.

Yang sebenarnya dengan membiarkan anak malang ini terus bermaharajalela dengan dadah ini lebih memalukan lagi kerana mereka bukan setakat menagih dadah tetapi mereka juga adalah pemecah rumah dan pencuri yang sentiasa disumpah seranah dan di doa laknat oleh segenap penduduk termasuk oleh jiran tetangga dan kaum keluarga sendiri.

Tetapi jika dengan ikhlas menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk dipulihkan, hanya satu tahap malu sahaja yang diterima iaitu hanya terlibat dengan dadah dan anak ini ada harapan besar akan pulih dan mempunyai masa hadapan yang baik. Maka terselamatlah daripada sumpah seranah dan doa laknat!!!!

Dan jika sekiranya anak malang ini dibiarkan berterusan kekal dalam aktivitinya, ibu bapanya akan sentiasa dirundung malang kerana sentiasa di doakan supaya ditimpa bala oleh mangsa jenayah dan semua penduduk kampung. Tidak ada peluang bukan sahaja kepada sianak, malah ibu bapa untuk memperbaiki maruah diri dan keluarga kerana anak malang ini akan terus melakukan lepas satu, satu jenayah bagi memenuhi runtunan ketagihan dadah sehinggalah dia mengakhiri hayatnya.

Apakah situasinya jikalah ditakdirkan satu kampung mengadakan sembahyang hajat dan bacaan Yasin memohon Ilahi menurunkan sesuatu kepada pelaku jenayah sedangkan kita sendiri tahu yang melakukan jenyah itu mungkin anak atau ahli keluarga kita sendiri?

Oleh itu mulakanlah menanam tekad untuk melakukan perubahan kearah memperbaiki diri, isteri/suami dan seterusnya anak-anak kita.

Mulakanlah mengawal anak-anak ketika berusia 12 tahun hingga 18 tahun. Inilah peringkat usia yang amat kritikal yang akan menentukan corak masa hadapan anak-anak kita.

Potensi menjadi positif atau negatif masa hadapan mereka bermula daripada usia 12 tahun hingga 18 tahun. Jika ibu bapa berjaya mengawal dan menanam nilai positif pada peringkat usia ini, pasti anak-anak mereka akan terhindar daripada penyakit dadah ini.

Kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang terbabit dengan dadah, cubalah ambil sedikit masa dan renungi balik bagaimana anda 'mengurus' anak anda yang itu mulai dia berumur 12 tahun hingga anda mengesan dia mengambil dadah.

Cuba bandingkan kaedah anda dengan pendekatan yang diambil oleh jiran anda yang anak-anaknya berjaya menghindarkan diri daripada dadah. Anda tidak terlambat mengubah cara anda mengurus anak kerana anda masih ada satu, dua, tiga atau lebih anak yang perlu dilindingi daripada dadah.

Kepada saudara yang telah terjatuh dalam kancah dadah ini juga, anda sendiri tentu jauh lebih sedar seksaan yang saudara tanggung. Anda juga pastinya tidak mahu anak-anak anda mengikut langkah anda. Anda boleh lakukannya dan saya pasti anda boleh.

Buktinya boleh dikatakan semua anda yang telah beristeri, berjaya tidak melibatkan isteri anda dalam masaalah ini bukan?

Kenapa isteri anda boleh berjaya tidak terlibat sama? Ada beberapa sebab antaranya:

1. Dia mempunyai latarbelakang didikan yang berbeza dengan anda dan dengan itu dapat membezakan yang baik dan yang buruk.

2. Anda tahu dan sedar bahawa pengambilan dadah ini suatu yang tidak baik dan dengan itu anda tidak mahu isteri anda terlibat kerana kesannya tidak baik. Anda buat keputusan biarlah anda seorang sahaja. Dan anda juga berdoa supaya anak anda juga selamat seperti ibunya.

Perkara nombor 2 itu sebenarnya sedang anda lalui masa ini. Dan hendaknya jika pun untuk diri anda sendiri sudah sukar pada pendapat anda untuk undur kebelakang, namun iltizam anda untuk tidak membabitkan isteri dan anak itu merupakan satu iltizam yang amat-amat berharga bukan sahaja untuk masa hadapan isteri dan anak-anak anda bahkan juga ianya disyukuri oleh semua ahli masyarakat sekampung.

Biar pun anda tidak tahu masyarakat bersyukur dan begitu juga masyarakat tidak tahu yang anda bertekad tidak mahu membabitkan ahli keluarga anda tetapi Yang Maha Pengampun Lagi Pengasihani maha mengetahui......

'Pengorbanan' menghindarkan anak-anak dan isteri anda daripada mengikut 'kesilapan' anda itu merupakan satu sumbangan yang amat besar yang boleh anda laukan untuk masa hadapan mereka dan juga masyarakat, negeri, negara dan khususnya untuk ugama islam kita.

Jika boleh saya katakan perumpamaan yang hampir ialah anda seperti lilin...rela berkorban demi kesejahteraan anak dan isteri tersayang....

Sinar lilin akan padam akhirnya tetapi anak-anak dan isteri perlu meneruskan kehidupan. Hendaknya dalam sebuah kehidupan yang harmoni dan diberkati.....

Mohon maaf....wassalam.
read more...

Friday, January 28, 2011

JKKK Felcra Sri Makmur dan TUDM berganding bahu

28 Januari, 2011 - KAMPUNG SERI MAKMUR – Seramai 27 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berganding bahu bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengadakan gotong-royong membaik pulih rumah penduduk miskin di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairudin Mahmud berkata, gotong-royong itu memberi peluang kepada mereka yang terbabit membantu masyarakat yang memerlukan.

Menurutnya, aktiviti itu turut membabitkan pembinaan rumah penduduk yang usang dan memerlukan ruang lebih selesa untuk meneruskan kehidupan.
“Kehadiran TUDM yang menyertai kerja amal ini amat dialu-alukan. Kami di sini amat berbangga dengan pembabitan mereka yang turut peka mengenai keadaan masyarakat sekeliling.

“Saya sebagai wakil rakyat bangga kerana anggota tentera bukan sahaja berkhidmat mempertahankan negara malahan menerapkan budaya masuk kampung untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui sewaktu program itu.

Hadir sama, Flight Sargent Alias Mat yang mengetuai operasi gotong-royong bersama JKKK Seri Makmur dan Pengerusi JKKK, Abu Bakar Kadir.

Khairudin turut menyertai gotong-royong bersama penduduk setempat itu dan ia dimulakan dengan mengikat bata rumah mereka yang terbabit.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada UMNO Bahagian Pekan yang menyumbang perbelanjaan membina rumah dan Yayasan Rahah yang turut menghulurkan bantuan.

Sementara itu, penerima bantuan, Minah Patinggi yang ditemui berkata, dia terharu di atas pemberian bantuan itu dan bersyukur kerana kesukaran hidupnya mendapat perhatian pihak berkenaan.

Menurutnya, dia meneruskan hidup dengan tabah kerana terpaksa menanggung sembilan anak sejak kehilangan suami beberapa tahun lalu.

“Saya merupakan mualaf sejak sembilan tahun lalu. Walaupun kehidupan sukar namun saya akan berusaha untuk meneruskan hidup terutama dalam membesarkan anak-anak,” katanya.
-sinat harian
read more...
CUIT SIKIT!!  

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl